Ahad

TANAMAN DI KBR AWAL TAHUN 2016

Tags


Hari ini baru sempat hendak membuat entry mengenai tanaman yang sedang membesar di KBR. Awal bulan Januari hingga pertengahan bulan Febuari adalah masa proses pembersihan kebun dan membuat pemgemburan batas. Kekangan masa menyebabkan batas-batas lewat disiapkan. Hanya berada di rumah pada hujung-hujung minggu jadi hari sabtu adalah hari pembatasan yang sangat memeritkan tetapi berbaloi dengan peluh-peluh petani membasahi seluruh anggota bandan dan menitik jatuh ke tanah. Amboiiii... galaknya bahasa.

Sambil-sambil membuat pengemburan dan pembatasan tanomkinotuan akan mula menyemai atau menanam batas yang telah siap. Masih terdapat batas yang perlu digembur tetapi kenalah ikut giliran yang telah ditetapkan, hehe. Berikut gambar-gambar yang berjaya diambil kelmarin petang. 



Selepas kejayaan menanam kobis bunga, brokoli dan kobis cina bulat kini tanomkinotuan beralih kepada tanaman kobis musim panas pula. Kobis ini disemai dalam cup plastik terlebih dahulu dan dialihkan apabila anak pokok berusia 2 minggu. Pokok anak kobis ini baru berusia 1 minggu selepas dialihkan ke batas.

Batas ini juga ditabur benih sawi putih dan sawi kerinting (Ong King) kerana batas yang disiap agak terhad. Bolehlah praktiskan tanaman campuran atau companion plants..




Inilah pokok timun kristal bulat tanomkinotuan baru berusia 3 minggu disebabkan terpaksa bersaing dengan pokok sawi bunga manis yang ditanam bersama. Pokok sawi manis sudah habis dituai dan kini selesalah pokok timun kristal bulat ini membesar dengan baik. Setakat ini pokok timun kristal bulat tidak mempunyai sebarang masalah dan diharapkan pokok ini membesar sihat.

Benih pokok timun kristal bulat ini sama dengan saudara-saudara timunnya yang lain, daun, pokok dan ciri pokok 100% sama cuma yang berbeza ialah buahnya yang bulat dan berwarna sedikit putih, sebab itu dikenali sebagai timun kristal bulat.Kita tunggu hasil buahnya 3 minggu dari sekarang.




Percubaan pertama kali menanam kacang poi yang benihnya didatangkan khas dari Negeri Kedah. Tanomkinotuan mempunyai seorang kawan yang baik hati dan pemurah. Sanggup dia balik ke kampung untuk mendapatkan benih kacang poi ini dan pos ke Sabah. Terima kasih kepada sahabat ku semoga anda akan dilimpahkan rezeki, kesihatan yang baik dan mendapat berkah sekeluarga dari Allah swt. 

Uniknya kacang poi mempunyai pokok renek dan daun berbentuk 3 serangkai dalam satu tangkai. Isi terhasil dalam tanah dan setiap pod hanya mempunyai sebiji yang berwarna merah saga. Sedap direbus begitu sahaja atau rebus dan buang podnya dan goreng dengan minyak panas. Kemudian bubuh sedikit garam bagi menaikkan lemaknya. memang sedap....




Tempoh hari tanomkinotuan mendapatkan benih kacang renek dari rakan FB, maka ditanamlah benih tersebut. Pokoknya tidaklah sesihat seperti pokok lain. Maka dijadikan cerita hanya satu sahaja buah yang terhasil. Dengan sabar tanomkinotuan biarkan buahnya matang untuk benih dikemudian hari. Inilah hasilnya. Pokok nampak sihat dan hijau cantik. Pokok kacang panjang renek ini akan juga dijadikan benih kerana hanya 2 pokok sahaja yang berjaya membesar. 




Mungkin ramai sudah mengetahui lobak putih yang biasa dan banyak dijual di supermarket atau pasar lain. Tetapi gambar di atas adalah lobak putih atau radish gergasi sakurijima. Tumbuhan berasal dari pulau sakurijima di Jepun. mempunyai umbisi bulat yang bersaiz besar. Pokok radish sakurijima baru berusia 3 minggu. Tanomkinotuan hanya menunggu 2 bulan lagi untuk mendapatkan umbisinya yang bersaiz besar itu. Mungkin radish ini juga sesuai dicampurkan dalam jeruk kimchi sayur kan?
 




Ini pula adalah anak pokok kacang pea ungu. Tanomkinotuan tanam di atas batas yang disungkupkan dengan cebisan kayu reput untuk kelembapan dan mengelak dari pokok rumput tumbuh diatasnya. Kacang pea ungu ini menjadi eksperimen di KBR kerana dimaklumkan bahawa pokok kacang pea ini menyukai cuaca bersuhu sejuk. Harapan mengunung kepada pokok ini untuk membesar dengan baik di kebun KBR yang bersuhu oven melampau.




Gambar di atas adalah tanaman anak pokok terung hijau bulat yang berusia 1 minggu bersama anak sayuran sawi kerinting yang ditabur semasa anak pokok terung hijau bulat ditanam. Keduanya mula menunjukkan tanda-tanda membesar. Anak pokok terung ini benihnya diambil dari pokok induk sebelumnya dan disemai untuk tanaman kali kedua. Pokok terung sangat mudah tumbuh asalkan batas lembab dan cukup nutrient. 




Ramai yang telah menanam bendi di laman rumah. Tanomkinotuan mempunyai satu lagi jenis variati bendi yang ditanam di KBR iaitu Bendi alabama. Mempunyai sedikit warna merah kat pangkal buah dengan warna hijau keseluruhannya. Kita tunggu hasil buahnya kemudian untuk melihat perbezaannya nanti. 




Ini pula sawi bunga manis yang ditanam di atas batas. Sawi bunga manis cepat dituai hanya 4 minggu sahaja pokok sawi bunga sudah boleh dituai dengan jayanya. Musim kemarau ini serangan tidak nampak sangat mungkin serangga sedang merehatkan diri mungkin. Inilah batas yang ditanam pokok timun kristal bulat tersebut. Cuba perhatikan gambar di atas betul-betul nampak pokok timun berusaha bersaing dengan pokok sawi bunga manis. Namun semasa entry ini ditulis sawi bunga sudah habis dituai dan tinggal lagi pokok timun kristal bulat.

Selain itu terdapat juga pokok jagung pulut pandan yang ditanam tetapi belum lagi keluar dari ke permukaan tanah juga pokok asparagus tanomkinotuan semakin galak membesar dengan batangnya sudah bersaiz besar. Inilah sayuran yang sempat diambil untuk dikongsikan kepada pembaca semua. Bertani di laman rumah sangat menyeronokkan malah kita mendapat sayuran jenis organik yang bebas kimia dan racun serangga. Jom bertani di laman rumah...

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

Good Info tq for sharing

Semoga bermanfaat tuan. terima kasih juga singgah di blog ini.


EmoticonEmoticon