Khamis

PANDUAN MEMBUAT BOOSTER BELACAN

Tags


Satu lagi booster atau pengalak pertumbuhan pokok yang sihat yang boleh pembaca praktiskan kepada tanaman terutamanya pokok cili (semua variati cili) ialah cecair belacan. Belacan diperbuat dari udang geragau atau ribon yang ditambah garam dan dijeruk dalam tempoh tertentu dan kemudian dimampatkan. Oleh yang demikian proses penjerukan dalam membuat belacan ini sudah membiakkan beberapa mikroorganisma di dalamnya. Bakteria Halophilic lactic asid yang terkandung di dalamnya bermanfaat kepada tanah.

Booster belacan boleh dibuat sendiri di rumah dengan hanya bahan-bahan yang murah dan mudah diperolehi. Dengan itu berikut cara dan panduan menyediakan booster belacan secara bergambar; 



Benda atau barang yang diperlukan.

1. Mangkuk

2. Sudu

3. Besin kecil

4. Botol mineral kosong untuk menapai


Bahan-bahannya ialah:

1. 50 gram belacan. (tanomkinotuan menggunakan belacan papar)

2. 50 gram gula merah.

3. 300 ml air non klorin

Cara penyediaannya ialah:


Sediakan 50 gram belacan tersebut. Tanomkinotuan menggunakan belacan papar yang sedap itu. Dengan jenis belacan yang enak ini diharap pokok cili juga menyukainya. Hehe


Masukan belacan ke dalam mangkuk dan tuang air non klorin sebanyak 20 ml. Kacau dan hancurkan belacan hingga sebati.


Setelah proses mengacau (stir) dilakukan dalam jangka masa beberapa minit, beginilah rupa belacan tersebut.


Kemudian masukkan 50 gram gula perang ke dalam besin kecil. 


Tuang cecair belacan ke dalamnya berserta 280 ml air. (sebab mengapa hanya 280 ml air sahaja? Sebab 20 ml sudah digunakan untuk mencairkan belacan tadi. Rujuk gambar no. 3


Kemudian sebatikan bahan tadi dengan mengacau lebih kurang 10 minit atau hingga bahan-bahan itu hancur.


Seterusnya masukkan cecair belacan tadi ke dalam botol mineral hingga selesai. Tanomkinotuan menggunakan botol mineral 1.5 liter disebabkan tidak ada botol mineral saiz 500 ml. 


Beginilah rupa booster belacan tersebut. Pembaca harus peramkan dahulu cecair ini selama 30 hari atau genap 1 bulan. Barulah boleh digunakan. Pastikan penutup botol tersebut ditebuk menggunakan paku atau benda tajam untuk bebaskan gas. Dan guna kain untuk menutupinya agar tidak dimasuki serangga atau seumpamanya.

Cara menggunakan booster belacan pada cili:

Booster belacan sangat sesuai dengan pokok cili dengan mencairkan 1 sudu makan booster belacan dicampurkan 1 liter hingga 1.5 liter air non klorin. 

Dan sembur pada daun, ranting, pokok, dahan dan tanah sekali seminggu atau sekali dalam 2 minggu. Untuk mengelak masalah, sembur sebahagian daun dan pokok terlebih dahulu untuk melihat kesan sampingan yang berlaku. Jika daun pokok cili anda mengalami kelecuran atau seakan-akan terbakar, kurangkan dos booster belacan tersebut. Jika sebaliknya maka teruskan sukatan tersebut.

Lakukan semburan pokok cili pada waktu pagi dan lewat petang untuk mengurangkan kebarangkalian kerosakan tanaman pokok cili anda. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

5 komen

Belacan di Sabah memang sedap.
Warnanya pun amat berlainan dengan belacan yang dijual di Semenanjung Malaysia.

Alhamdullilah. Ini bermaksud booster belacan homemade tuan berjaya diproses dgn jayanya. Mmg aroma booster belacan mmg sedap. Hihi moga pokok2 tuan tumbuh subur...


EmoticonEmoticon