Ahad

PANDUAN MENANAM KANGKUNG MELALUI BIJI BENIH

Tags



Kangkung atau water spinach adalah tumbuhan yang boleh ditemui di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania.  Nama saintifik bagi pokok kangkung ialah Ipomoea spp. adalah jenis sayuran berdaun tropika dari keluarga Convolvulaceae. Kangkung sekeluarga dengan keledek sebab itu jika kita pernah memakan kangkung dan pucuk keledek sebagai sayur, rasanya seakan-akan sama. Kangkung sangat versatile di mana tertulis dalam Hikayat Sulalatus Salatin yang kononnya Hang Tuah dapat melihat muka maharaja cina dengan memakan kangkung yang tidak dikerat dengan mendonggakkan kepalanya ke atas. Kangkung hidup subur di kawasan berair atau tanah lembab. Tidak susah mencari pokok ini kerana sangat mudah beradaptasi keadaan dan suhu setempat.

Pokok kangkung sesuai tumbuh pada media yang lembab, peroi dan sedikit berpasir tetapi juga boleh hidup subur pada pelbagai jenis media atau tanah. Kangkung lebih sesuai disemai terus ke batas atau pasu dan biarkan membesar seperti yang diinginkan. Tidak perlu semai dan cabut untuk dialihkan. Kangkung juga perlukan cahaya matahari penuh melebihi 6 jam dalam sehari untuk pertumbuhan yang baik. 

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara dan panduan menanam kangkung sama ada batas atau pasu melalui biji. Benih kangkung tidaklah cerewet untuk ditanam. Dapatkan benih kangkung yang dijual di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Pertama pastikan benih kangkung tersebut haruslah baharu dan segar. Lihat tarikh luput pada pembalutnya terlebih dahulu dan jangan terbeli benih kangkung yang sudah tarikh luput. Benih sudah tidak bercambah sekiranya benih sudah mengalami tarikh luput. Anda juga boleh menanam kangkung dari keratan batang yang dibeli di pasar. Tanomkinotuan akan menyinggung tajuk ini pada akan datang.

Jika anda menanam kakung pada batas atau tanah di laman rumah anda, maka anda harus melebihi sedikit tenaga anda untuk membuat batas yang dikehendaki. Korek sedalam 1 kaki dalam dan bentuk batas 1 x 4 kaki persegi atau 2 x 6 kaki persegi, namun saiz
batas yang dibuat harus juga melihat keluasan laman rumah anda. Gembur batas sehingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil. Kemudian tabur kompos sebanyak 500 - 1 kilo pada batas yang dibuat. Jika tanah anda berasid maka perlu ditabur kapur pertanian (lime stone) untuk mengurangkan kemasaman media. Untuk mengetahui kedudukan nilai PH tanah anda, anda harus mempunyai penyukat nilai PH meter yang boleh dibeli di kedai pertaniaan atau hardware berhampiran. Tabur juga baja subur NPK organik yang juga boleh dibeli di kedai pertanian dengan 3 genggam atau lebih. Gaul media hingga sebati dan siram dengan air secukupnya. Rehatkan tanah selama 1 minggu hingga 2 minggu untuk memberikan ruang baja, kapur pertanian dan baja NPK organik sebati dengan tanah.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu pula, sangat mudah di mana anda perlukan media yang boleh dibeli di kedai yang dikenali sebagai tanah campur atau potting soil. Pilih tanah campur 6 in 1 kerana ia sangat berkualiti untuk pokok kangkung anda. Jika tidak anda boleh membuat media anda sendiri iaitu campuran cocopeat, kompos dan pasir sungai dengan nisbah bahan 2:1:1. Anda juga boleh menggunakan media campuran seperti tanah hitam atau tanah lampung yang ditambah dengan kompos tumbuhan dan sedikit pasir sungai. Selain itu, tanah merah juga boleh digunakan dengan syarat tambah kompos banyak-banyak. Masukkan media yang telah digaul sebati ke dalam pasu hingga penuh. Tips menanam sayuran dam pasu atau apa-apa bekas ialah sebelum memasukkan media anda haruslah mencari rumput kering, daun kering atau atau apa-apa tumbuhan kering dan masukkan ke dalam pasu tekan bahan tadi hingga menjadi padat di bawah barulah masukkan media ke dalamnya. Ini bertujuan agar air tidak bertakung lama di dalam pasu lebih lama dan juga akan menjadi makanan berzat kepada pokok kangkung apanila ia mula mereput. Oleh itu, mula dari sekarang segala rumput kering, daun kering atau apa-apa tumbuhan kering jangan dibakar tetapi simpan dalam tempat selamat. Anda boleh gunakannya apabila menanam sayuran di dalam pasu. Tetapi jika sukar mendapatkan bahan-bahan disebutkan tadi, guna batu pun boleh.

Setelah menyiapkan batas dan direhatkan selama 1 hingga 2 minggu maka anda sudah boleh menyemai benih kangkung. Pada batas anda, buat lubang sedalam 1 inci dalam dengan jarak antara lubang ialah 5 hingga 6 inci. Masukkan 1 hingga 2 biji ke dalam lubang dan siapkan hingga selesai. Kemudian siram menggunakan air secukupnya. 

Bagi yang menanam dalam pasu atau apa-apa bekas pula. Perkara yang sama dibuat iaitu buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak antara lubang 5 inci. Masukkan 1 atau 2 benih dalam 1 lubang dan timbus dengan tanah kemudian siram dengan air. 

Percambahan benih kangkung mengambil masa selama 5 hari hingga 7 hari, anda sudah boleh melihat benih kangkung mula bercambah. benih kangkung sangat sesuai bercambah pada suhu 27 darjah celsius. Oleh yang demikian, kangkung sangat sesuai tumbuh di dengara kita yang bersuhu sedemikian. 

Selepas 2 minggu anak pokok kangkung bercambah tabur baja subur organik di keseluruhan batas atau pasu dan disiram dengan air yang cukup. 

Sekiranya ditanam di atas batas, tentu rumput rumpai tumbuh dengan banyak. Untuk mengelak persaingan antara pokok kangkung dan rumput rumpai cabut rumput rumpai tersebut hingga selesai. Pokok kangkung anda tumbuh dengan sihat dan segar.

Selepas 4 hingga 5 minggu (1 bulan lebih) pokok kangkung tanam sendiri sudah boleh dituai. Jika kangkung anda sudah mencecah 1 setengah hingga 2 kaki bolehlah dituai dengan memetik batangnya dan bukan dicabut. Ini kerana pokok kangkung akan bertunas semula dan menghasilkan pucuk-pucuk muda bagi bekalan dapur. Selagi pokok kangkung anda sihat dan dijaga bajanya serta disiram selalu selagi itu pokok kangkung tersebut menghasilkan sayur secara berterusan. Untuk pengetahuan pembaca, pokok kangkung adalah sayuran yang tidak cerewet untuk dijaga dan cepat mendapat hasil. Tanam kangkung dilaman rumah untuk sayuran dapur berterusan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.   


Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon