Ahad

UPDATE SAYURAN DI KBR BULAN MAC 2016

Tags


Sudah lama tidak membuat entry dalam blog ini. Awal-awal tahun sibuk dengan kerja-kerja yang perlu dibereskan sebelum due date. Hari ini baru dapat mengemaskini blog yang sudah bersawang kata orang. Fenomena el nino di negara kita masih berterusan hingga kini. Suhu meningkat bagai dalam ketuhar, panas bukan main. Kepada petani kecil-kecilan, petani sambilan dan petani suka-suka harus menambah usaha untuk menyiram tanaman sendiri bagi mereka yang menggunakan kaedah siraman manual seperti tanomkinotuan.

Baru-baru ini tanggal 13 Mac 2016 kita dihidangkan fenomena gerhana matahari, tempat tanomkinotuan gerhana separa sahaja, tidak mengelami suasana gelap remang-remang gitu. Namun situasinya amat berbeza sekali. Keadaan yang sangat sunyi, hening dan sinaran tidak terlalu panas. Agak sukar menyatakannya dalam bentuk perkataan Subahanallah. Maka digalakkan melakukan solat sunat gerhana sesiapa yang mempunyai masa terluang ketika itu dan pahala dan kebajikan solat sunat gerhana amat besar sekali. Untunglah yang dapat melakukannya.

Hari ini ingin tanomkinotuan ingin berkongsi sayuran yang tumbuh baik di KBR. Oleh kerana idea terbantut hendak membuat tajuk entry mengenai sayuran maka ini sahajalah yang termampu, in sha Allah akan datang tanomkinotuan membuat entry berkaitan nanti. Antara sayuran dan tanaman tersebut ialah:






Ini ialah pokok tomato epal. Buahnya bulat dan agak keras walaupun sudah masak/matang berbanding tomato jenis brandywine. Para petani suka menanam pokok tomato jenis ini kerana tahan lama dan bersaiz besar.

Tanomkunotuan dapatkan benih di supermarket tempoh hari. Ambil benihnya dan keringkan dahulu kemudian semai dan tanam di KBR. Dapatlah 10 pokok dan kini sudah mula berbuah dan buah yang masak itu sudah pun dimakan malam semalam. Tahan panas dan kurang serangan penyakit.




Selepas kejayaan menanam lobak merah variati kurado F1, lobak merah mini bulat, lobak merah snow white kini tanomkinotuan mencuba pula menanam lobak merah kosmik ungu. 

Benih ini disemai dalam peti sejuk selama dua minggu barulah disemai semula dalam pasu. Pertumbuhannya 80% berjaya. Tunggu pokok-pokoknya hasilkan lobak pula.




Pokok timun kristal bulat juga sedang membesar dan mula hasilkan bunga jantan. Semasa entry ini dibuat, kelihatan bunga jantan mula berkembang. 

Nampaknya pokok timun bulat senang diserang makhluk perosak. Sebelum ini jenuh tanomkinotuan membuang ulat-ulat hijau bertenggek di pucuk-pucuk mudah. Adalah dua tiga hari membelek-belek pucuk-pucuk tersebut untuk membuang sang ulat yang ghairah memakan daun muda. Nasib serangan tidak teruk. Kelihatan juga serangga pengorek buah sudah siap sedia bermalas-malasan di atas daun-daun timun ini. Belum keluar buah serangga ini sudah tempah mana buah yang disuntik untuk telur-telurnya.




Pokok markisa ungu kini boleh dituai. Dua biji untuk hasilkan air sirap markisa. Tambah hirisan daun pudina dan manisan stevia. Letak ais sikit. Memang sesuailah dikala cuaca panas sekarang. Aroma buah ini cukup memikat.




Siapa tahu buah apakah ini? Ya buah delima. Ditanam awal tahun 2014, awal tahun 2016 (bulan Mac) sudah berbuah dengan baik. Musim kemarau pula tu. Harap bertahan dan tidak ada ada masalah hingga matang. Belum ada pengalaman lagi mengenai pokok ini. Kira pokok ini berbuah sulung. Terdapat 3 biji semuanya.



Tomato roma juga sudah matang, namun cuaca panas buahnya mereka. Sudah dituai campur dalam sup tempoh hari. Buahnya juga jenis keras dan tahan lama. 

Inilah tanaman sempat dikongsikan buat masa ini. Masih berusaha untuk membina batas untuk tanaman sayuran berdaun. Batas-batas yang sudah siap dibuat kini sudah pun ditanam sayuran seperti radish sakurijima, kacang panjang renek, bendi alabama, timun kristal bulat, dan edamame. Hanya perlu dijaga dan berikan kasih sayang sepenuhnya. Semoga berjalan lancar dan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rezeki ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon