Isnin

LABU BABY HANYA SEBIJI DI KBR.

Tags


Salam Ahad kepada semua pembaca. Moga dihujung minggu ini kita ambil kesempatan untuk beristirehat bersama keluarga tersayang. Beri kasih sayang sepenuhnya bersama anak-anak dan sudah tentu bermanja-manjaan bersama suami atau isteri. 

Kali ini mari mengenal buah labu. Labu yang ditanam oleh tanomkinotuan di KBR adalah jenis yang kecil/saiz kecil seperti kepala baby tidak hairanlah labu ini dikenali sebagai labu baby. Hari tu ada sahabat baik bersedekah benih labu baby dan tanomkinotuan meminta dengannya. Mudah-mudahan pemberi benih tersebut dilimpahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amiin.


Sebenarnya tanomkinotuan tidak pernah menanam labu sebelum ini. Oleh kerana agak sukar mendapatkan benih labu tanomkinotuan tidak berbesar hati untuk menyemai atau menanamnya. Walaubagaimana pun, sebagai hobi bertani paksa diri mencuba menanam apa sahaja janji ianya boleh membekalkan sayur bekalan dapur. Dengan niat tidak betul ini tanomkinotuan hanya mendapat sebiji labu sahaja. Melihat kepada pertumbuhan pokok cukup baik dan bunga betina sangatlah banyak tetapi bunga jantan tidak pernah berbunga kecuali di awal penanaman. Maka dengan itu bunga betina membusuk begitu sahaja kerana tidak dapat didebunga. Rasa tanomkinotuan mungkin terdapat zat yang kurang dalam tanah menyebabkan ia berlaku sedemikian. Malah ulat pemakan buah juga berpesta keriangan. Redha sajalah.

Melalui pemerhatian tanomkinotuan, labu baby ini sama bentuk dengan jenis labu biasa cumanya labu baby tidak mempunyai lekuk atau parit pada buahnya. Membulat bujur dan bersaiz kecil. Pokok jenis menjalar dan mengeluarkan bunga betina dan bunga jantan dalam satu pokok. Bunga betina adalah bunga yang mengandungi bulb kecil pada bunga yang mekar. Bunga ini perlu didebunga oleh bunga jantan melalui perantaraan serangga pendebunga seperti kelulut, lebah dan serangga lain. Bunga betina inilah yang akan membesar menjadi buah kemudian. Pokok labu baby tanomkinotuan sedikit bermasalah dengan hanya mengeluarkan pokok bunga betina tanpa bunga jantan menyebabkan bunga betina tersebut membusuk dan gugur. Adalah muncul bunga jantan pada awal-awal pertumbuhan dan hanya satu sahajalah buah yang terhasil hingga sekarang. Ini akan dijadikan benih untuk tanaman musim akan datang. 

Semasa entry ini ditulis buah labu masih bergayutan di pagar dan masih dalam proses pematangan sepenuhnya. Tanomkinotuan hendak cuba membuat pai labu atau bubur labu apabila buah labu baby ini sedia untuk dituai. Tanomkinotuan sudah menelaah pelbagai resepi pai labu yang memikat hati. Bolehlah memakan pai labu pada petang-petang di beranda rumah sambil meninjau-ninjau tanaman di laman rumah. Boleh ke gini? haha

Menanam pokok labu tidaklah sesusah dan secerewet pokok tanaman 4 musim yang sangat digemari oleh rakyat kita seperti pelbagai herba luar negara atau sayuran luar negara. Oleh kerana pertumbuhan ciri-ciri asalnya ialah di lingkungan negara-negara Asia makan mudah pokok labu baby ini beradaptasi dengan cuaca setempat. Pentingnya pokok ini sangat menyukai cuaca panas sepanjang pertumbuhan dan elok dibiarkan menjalar/merayap di tanah seperti pokok tembikai dan bukan dipanjatkan kepada pagola atau pancang kayu. Ini kerana batang lembut pokok labu baby ini akan juga mengeluarkan akar bagi penyerapan makanan tambahan untuk kesempurnaan pertumbuhan. 

Terbaca entry kawan di blog hari tu bahawa pucuk dan batang separa muda ini boleh ditut dengan cara lukakan sedikit ruas batangnya dan ditutup dengan media campuran cocopeat kemudian ikat kejab dan tunggu batang ruangnya mengeluarkan akar selama 2 hingga 3 minggu. Apabila proses tut berjalan lancar dengan akar yang keluar tersebut sudah banyak dan kuat. Bolehlah kerat batang tersebut dan buka pembalut media tut tersebut. Akhir sekali sediakan batas yang kaya dengan nutrient dan tanam semula. Dikatakan bahawa cara ini membolehkan pokok labu baby tersebut serta merta hasilkan bunga dan berbuah. Jika pembaca di luar sana mempunyai pokok labu pelbagai variati apa kata mencuba kaedah ini untuk menanam labu. Tidak perlu lagi tunggu mendapatkan benih yang perlu dimatangkan. Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah akan langsung dikerjakan batang dan ruas pokok labu baby sebelum adik perempuan tanomkinotuan cantas. Sebab hari itu sudah ada ura-ura dan cadangan mencantas pokok labu tersebut namun dengan kuasa tanomkinotuan yang hebat ini, selamatlah pokok labu baby buat sementara waktu. Hehehehehe... adakah pula?




Panduan ringkas menanam labu baby di laman rumah. Bagi tanomkinotuan pokok labu baby sangat sesuai dengan semua jenis tanah dengan melakukan pembaikan pada media tidak kira jenis tanah apa pun. 

Tanomkinotuan mengemburkan seluas 2 x 2 kaki persegi sedalam 1 kaki. Tanah dikorek dan digembur. Tanomkinotuan menambah kompos 4 genggam dan 1 sudu makan kapur pertanian. Digaul sebati dan menambah 2 genggam baja NPK organik (jenis butir). Tanomkinotuan rehatkan selama 1 minggu dan semai benih yang hanya tinggal 3 biji. Sebelum ini tanomkinotuan telah menyemai 4 biji labu baby tetapi mati disebabkan oleh gangguan kucing yang sangat rajin berkelah di laman rumah, bersantai dan dijadikan kamar peribadinya sehinggakan anak pokok yang baharu belajar membesar ranap tanpa rasa kesihan. hendak marah dengan kucing pun tak betul juga. Kucing tersebut manalah tahu apa-apa dan sekali lagi istilah redha dan sabar digunakan. hohoho

Setelah genap 1 minggu tanomkinotuan buat lubang ditengahnya dan masukkan sebiji benih labu baby. Kali ini tanomkinotuan pacakkan kayu disekelilingnya untuk menghalang segala kemungkinan yang berlaku. tidak mahu pisang berbuah dua kali. 
Benih labu baby dalam masa 5 hari becambah, membesar dan menjalar. Oleh kerana kawasan laman terhad pokok labu baby dipanjatkan ke pagar. Oleh kerana itu, hanya satu buah terhasil dari pokoknya. Mungkin labu baby tidak sesuai dipanjatkan ke pagar atau pancang kayu tetapi perlu menjalar ke tanah.

Walaubagaimana pun, setakat ini serangan makhluk perosak agak kurang mungkin disebabkan belum dikenali atau seumpamanya. Jadi tanomkinotuan tidaklah terlalu memberikan penjagaan yang terlalu rapi cukup sekadar meninjau kelembapan tanah dan menabur baja NPK organik selang 2 minggu bersama dengan baja alfalfa untuk buah. Walaupun cukup diberikan zat masih degil tidak berbuah banyak. Apakan daya....

Sudah tentu rakyat Malaysia menyukai memakan buah labu tidak kiralah apa jenis labu yang ada di pasaran. Pelbagai cara mereka menghidangkan resepi berasaskan labu. Tanomkinotuan pula ingin mencuba membuat pai labu yang diwar-warkan oleh sahabat tanomkinotuan kononnya pai labu memang sedap. Para pembaca sekalian cubalah menanam labu baby dilaman rumah. Tanam dalam pasu pun boleh yang penting cukup kelembapan dan zat makanan, terdapat jenis labu yang boleh dimakan pucuk mudanya kira 2 dalam 1. Bertani dapat memberikan kesihatan tubuh badan dan dapat memakan sayuran organik tanam sendiri.

selamat bertani dan menuai hasil

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon