Ahad

PANDUAN MENANAM POKOK KACANG PANJANG RENEK DALAM PASU

Tags



Kacang panjang adalah salah satu sayuran yang banyak dikomersilkan di negara ini. Terdapat beberapa variati kacang panjang yang biasa kita nampak dijual dipasar atau supermarket seperti kacang panjang galaxy (warna putih), kacang panjang hitam, kacang panjang hijau, kacang panjang thai (warna hijau dengan benih merah-putih), kacang panjang perang dan sebagainya. Kesemua variati di atas adalah jenis kacang panjang pokok menjalar (pole).

Tahukah pembaca terdapat satu lagi variati kacang panjang yang dikenali sebagai kacang panjang renek (bush) yang boleh ditanam dalam pasu. Variati kacang panjang ini tidak menjalar malah pokok renek dan tidak perlu menggunakan junjung atau pancang kayu. Cukup sekadar tanam dan dijaga kelembapan media dan pembajaan. 

Pokok kacang panjang renek dipercayai berasal dari negara jiran kita iaitu negara Filipina. Juga pokok ini adalah hasil gabungan antara pokok kacang panjang memanjat dengan cawpea (cv. group unguiculata) telah menghasilkan variati kacang panjang renek. Pokok ini di bawah ke negara Thailand dan menyebar dari utara semenanjung Malaysia. Pokok ini banyak ditanam secara ladang dan juga secara kecil-kecilan. 

Hari ini kita berkongsi panduan menanam kacang panjang pokok renek dalam pasu yang mudah dijaga dan tidak cerewet.

BENIH KACANG PANJANG POKOK RENEK
Pembaca perlu dapatkan benih kacang panjang pokok renek yang boleh dibeli dari kedai pertanian atau nusery berhampiran. Pastikan lihat terlebih dahulu tarikh luput pembungkusnya di mana dapatkan benih yang masih baharu berdasarkan tarikh luput tertera.

Selain itu pembaca boleh mendapatkan benih kacang panjang pokok renek daripada kedai benih online yang berkelayakan. 

Selain itu, pembaca juga boleh mendapatkan benih kacang panjang pokok renek dari saudara mara, jiran tetangga dan kawan-kawan yang ada menanamnya. Bolehlah minta beberapa biji untuk ditanam.

PENYEDIAAN PASU DAN MEDIA:
Benih kacang panjang pokok renek adalah jenis benih bersaiz besar. Oleh yang demikian benihnya boleh sahaja semai langsung dalam pasu atau hendak samai dalam tray semaian terlebih dahulu pun tiada masalah.

Beli pasu bersaiz besar atau hendak menggunakan polibag pun boleh. Pilih polibag uv bersaiz 16x 16 atau 18 x 16. Polibag yang digunakan ini membolehkan akar bebas bergerak di dalamnya. Antara bekas tanaman yang boleh anda gunakan ialah polibag, kontena saiz besar, besen, baldi dan sebagainya. Gunakan bahan kitar semula lagi baik dan jimat.

PENYEDIAAN MEDIA TANAMAN
Anda boleh mendapatkan media tanaman di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Belilah tanah campuran atau potting mix yang berkualiti yang mengandungi peatmoss atau cocopeat, perlite, vermiculite atau pasir, habuk kayu dan kompos jerami. Media berkualiti akan menjadikan pokok kacang panjang renek anda tumbuh dengan baik.

Anda juga boleh membuat media campuran sendiri dengan menambah tanah hitam atau merah, pasir sungai atau perlite dan kompos. gaul sebati dan sedia untuk digunakan. Jika sukar mendapatkan bahan-bahan media campuran memadai menggunakan tanah dis ekeliling rumah anda dengan syarat dibaikpulih dengan menambah kompos/baja organik di dalamnya dengan jumlah yang banyak dan rehatkan selama 2 minggu agar kompos atau baja organik tersebut matang sepenuhnya.

PROSES PENANAMAN BENIH KACANG PANJANG RENEK
Setelah langkah di atas sudah dilakukan, langkah seterusnya ialah memasukkan media ke dalam kotena atau pasu pilihan anda seperti berikut:

  • Masukkan terlebih dahulu sedikit serpihan kayu buruk, rumput kering atau daun kering ke pasu atau kontena. Tujuan meletakkan bahan-bahan tersebut ialah mengurangkan dan mempercepatkan pengaliran air keluar dari bekas tanaman. bahan-bahan ini juga akan menjadi kompos dan makanan kepada pokok kacang panjang renek anda setelah ia mereput. Anda juga boleh menggunakan batu-batu kecil untuk tujuan di atas.
  • Kemudian masukkan media ke dalam pasu hingga penuh. Padat-padatkan sedikit agar ruang udara di dalamnya dapat dikurangkan.
  • Buat lubang kira-kira 1/2 inci dan semai sebiji atau dua biji benih kacang panjang renek ke dalam lubang dan timbus dengan tanah. jangan lupa menyiram dengan air secukupnya. 
  • Letakkan ditempat terkena cahaya matahari langsung kerana kacang panjang renek memerlukan haba yang tinggi untuk bercambah dengan baik.
  • Jagalah pokok kacang panjang enek anda seperti mana menjaga tanaman yang lain.

Kacang panjang renek akan mula bercambah setelah 5 hari hingga 7 hari disemai. Anda sudah boleh melihat rekahan tanah menandakan benih kacang panjang renek mula bercambah. 

Bubuh baja subur pada minggu ke2 selepas disemai. Kira-kira 4 helai daun. Selepas pokok kelihatan mengeluarkan kudup bunga bubuh baja buah sekali lagi berserta sedikit baja subur untuk pertumbuhan sihat dan pembuahan yang banyak. 

Kematangan buah kacang panjang renek sangat cepat, oleh itu anda harus memetik buahnya lebih kerap agar tidak terlalu tua kecuali anda jadikan buah tersebut benih pada tanaman musim akan datang. Semoga panduan menanam kacang panjang renek ini dapat membantu para pembaca bagaimana memulakan menanam kacang panjang renek di laman rumah. Bertani sama seperti profesion-profesion lain di mana perlukan sedikit ilmu untuk melaksanakannya. Dengan itu, hasil tanaman juga tampak maju dan bekalan dapur anda sentiasa cukup.

Berminat menanam kacang panjang renek dengan harga kasih sayang RM2.99 (anggaran benih 15 biji) dan postage RM4.00 (pos ekspress), sila whatsapp ke 019-5320756 (jus) atau email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

Assalamualaikum wbkth tuan.. sya ada membeli tanah sawit dlm karung drpd penjual. Setelah dibuka sya dapati medium trsebut mengandungi ulat2 putih dan gonggok yg byk. Bolehkah sya guna terus tanah trsebut utk tanaman @ perlu diperam trlebih dahulu selama beberapa hari?...

~ Ummi

wa alaikum salam

Tanah sawit yang mengandungi ulat bermakna tanah sawit tu belum terkompos sepenuhnya. Komposkan dahulu sehingga benar2 menjadi kompos yang sebenar dgn baunya bau tanah (earthy) dan tidak berbau bangkai/tengik. Jngn diguna tanah sawit yg belum terkompos kerana ia tidak sesuai untuk pokok atau anak pokok. Ia akan mati akibat proses pengemposan masih berjalan. Kadang2 bakteria yg ada di dalamnya boleh menjejaskan kar pokok dan mati. Moga bermanfaat


EmoticonEmoticon