Isnin

PENYEBAB KEMATIAN ANAK BENIH DALAM SEMAIAN (DAMPING OFF) DAN CARA MENGATASINYA

Tags

Anak pokok epal

Keterujaan dan keghairahan kita untuk bertani terutamanya para pekebun yang baharu sahaja menceburi bidang ini di rumah secara sambilan atau suka-suka akan menghilangkan segala-galanya keterujaan dan keghairahan apabila berlaku kes kematian anak-anak benih yang baru bercambah di dalam bekas semaian seperti pasu, tray semaian, kotak, kontena dan sebagainya. Adakah kes ini juga dalami oleh anda? sehinggakan semangat anda yang mengunung tinggi untuk bertani luntur sama sekali?

Ketahuilah bahawa masalah kematian anak-anak benih atau dalam istilah bahasa Englishnya ialah damping off dalam semaian juga berlaku kepada para pakar atau mereka yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang tersebut. Dengan itu soalan-soalan di bawah menjadi teras kepada perbincangan kita pada kali ini antaranya ialah;

1. Apakah yang dimaksudkan dengan kematian anak-anak benih diusia awal? 

2. Apakah penyebab kepada berlakunya kematian anak-anak benih dalam usia awal?

3. Bagaimanakah cara kita mengelak masalah ini berlaku?

4. Bolehkah anak-anak benih ini diselamatkan lagi?

5. Adakah masalah kematian benih-benih awal ini akan berlaku sekali lagi atau berkali-kali?


Tanomkinotuan menyenaraikan beberapa persoalan yang harus kita tumpukan untuk merungkai permasalahan ini hinggakan kita memahami sebenar-benarnya yang berlaku khususnya kematian anak-anak benih diusia awal. Seringkali kita terdengar, terbaca akan rintihan dan keluhan kawan, sahabat handai dan orang terdekat tentang isu ini di mana-mana. Jadi Apakah masalah sebenarnya? 


1. Apakah yang dimaksudkan dengan kematian anak-anak benih diusia awal? 
Kematian anak-anak benih diusia awal atau damping off ialah penyakit horticultural atau keadaan yang disebabkan oleh sejumlah perbezaan pathogen-pathogen di dalam media yang membiak dalam kadar yang tinggi dan menyerang anak-anak benih yang baru bercambah melalui akar dan batang lembut. Menyebabkan berlakunya perubahan ciri anak benih seperti batang dari bawah mengecut dan kering walaupun daun pemulanya masih elok, anak benih terkulai dan beberapa daunnya pula layu. Namun ciri perubahan yang berlaku berbeza-beza mengikut jenis pathogen yang terlibat. Dengan berlakunya kes seperti ini terhadap benih semaian anda, sememangnya agak sukar untuk menyelamatkannya kecuali bertindak melakukan pencegahan lebih awal.

Tanomkinotuan juga pernah mengalami benda yang sama. Di awal pembabitan aktiviti bertani ini pernah menyemai benih sawi bunga dan bercambah dengan baik hingga memenuhi ruang bekas semaian. Hati gembira bukan kepalang namun setelah dua tiga hari. Satu persatu anak benih sawi bunga layu, tumbang, terkulai dengan batang lembut di bawahnya (pangkal akar) menyusut dan kering. Seminggu kemudian anak benih tersebut mati sepenuhnya. Tanomkinotuan agak kecewa sebenarnya kerana keghairahan untuk bertani terbantut dan menurunkan kadar motivasi yang tinggi itu sebelum ini.

Namun istilah putus asa dibuang jauh-jauh malah tanomkinotuan semai semula benih tetapi bukan diletakkan di kawasan teduhan tetapi di tanam di atas tanah terbuka. Alhamdullilah anak-anak sawi membesar dengan jayanya dan berjaya dialihkan ke batas yang disediakan dan berjaya dituai dan menjadi sayur bekalan dapur untuk beberapa minggu.


2. Apakah penyebab kepada berlakunya kematian anak-anak benih dalam usia awal?
Penyebab kepada berlakunya kematian anak-anak benih diusia awal ialah disebabkan oleh pathogen yang ada di dalam media dan menyerang melalui akar dan batang lembutnya. Pathogen membiak dalam media dan menyerang anak-anak benih tersebut. Secara umumnya pathogen penyebab kematian anak-anak benih di usia awal boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan yang utama iaitu fungi sebenar termasuklah Rhizoctonia, Fusarium dan Thielaviopsis genera. Kumpulan kedua, sebelum ini diklasifikasikan sebagai kumpulan kulat tetapi kini dimasukkan dalam kumpulan oomycetes iaitu Pythium dan Phytophthora genera.

Pathogen-pathogen ini bukan sahaja menyerang benih sayuran tetapi juga menyerang tumbuhan yang hidup di alam semula jadi di sekeliling kita.


3. Bagaimanakah cara kita mengelak masalah ini berlaku?
Melalui pencegahan awal kita boleh mengurangkan kadar jangkitan pada benih semaian kita. Akan tetapi setelah jangkitan ini berlaku kepada anak benih sayuran anda memang sukar dan malah anak benih anda sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Namun terdapat beberapa cara dan langkah yang boleh kita ambil sebagai langkah pencegahan dan keselamatan untuk benih dan anak benih seperti mana di bawah ini:

  • Lakukan pensterilan terhadap media yang ingin digunakan khususnya media yang dibuat sendiri oleh kita dengan menggunakan oven atau microwave dengan suhu kepanasan di antara 180 - 200 F selama 10 minit atau sehingga media mendesing.
  • Bekas semaian yang pernah digunakan sebelum ini haruslah dicuci bersih dan keringkan.
  • Jangan terlebih siram anak benih dan media, media hanya berkeadaan lembab sahaja. Media lembab boleh mengundang kehadiran pathogen ke media tersebut dan membiak di dalamnya dan menyerang anak benih anda.
  • Letakkan bekas semaian anda di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik. pengudaraan yang baik menjadikan anak pokok sihat dan tidak mengalami tekanan. Ini dapat mengelakkan berlakunya kematian anak benih yang baru bercambah.
  • Boleh menabur sedikit racun anti-fungal ke dalam media sebelum menyemai benih. Racun tadi dapat membunuh kehadiran atau keberadaan fungi di dalamnya dan dapat mengurangkan serangan ke atas anak pokok. Kaedah ini tidak digalakkan bagi pengamal-pengamal nutrisi organik.
  • Anda juga boleh menaburkan sedikit serbuk kayu manis sebagi agen anti fungal dipermukaan media, juga boleh menggunakan peat-moss dan pasir yang ditabur dipermukaan untuk tujuan yang sama.
Ringkasnya, sterilkan media yang digunakan, menjaga kebersihan bekas semaian, pengudaraan yang baik serta menambah bahan-abahn anti-fungal ke dalam media adalah benda yang boleh menghindarkan diri kita dari masalah kematian anak benih pokok tanaman. Namun tanomkinotuan lebih menyukai menggunakan kaedah sendiri iaitu menyemai benih di dalam bekas semaian dan meletakkan bekas tersebut ditempat terkena cahaya matahari sekurang-kurangnya 3 jam atau kawasan terlindung/teduhan tetapi masih terkena haba. Untuk makluman semua, pathogen akan mati atau kurang membiak pada kawasan yang suhu atau haba yang tinggi dan anak pokok yang akan disemai selamat. Juga tanomkinotuan praktiskan siraman mengikut keperluan. Jangan overwater kata orang kampung tanomkinotuan hehe...


4. Bolehkah anak-anak benih ini diselamatkan lagi?
Maaf sekali lagi bahawa jawapannya ialah tidak dapat diselamatkan. Namun bagi serangan awal mungkin boleh dialihkan anak benih yang belum dijangkiti penyakit dan tanam dalam bekas lain, simpan ditempat teduh dulu hingga anak pokok benar-benar kuat barulah diletakkan ditempat panas.



5. Adakah masalah kematian benih-benih awal ini akan berlaku sekali lagi atau berkali-kali?
Ya. Masalah ini akan berulang kembali sekiranya media yang digunakan telah dijangkita atau fungi membiak di dalamnya. Oleh itu lakukan pensterilan media, kebersihan bekas semaian, dan kawal mutu siraman. Dan paling penting ialah media harus disinari dengan cahaya matahari sekurang-kurangnya 3 jam.

Oleh yang demikian untuk mengelak masalah ini kita seharusnya mengambil pencegahan awal di mana dapat mengurangkan serangan kulat pada anak benih yang baru bercambah. masalah kematian anak benih di usia awal kurang berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu tinggi atau dalam keadaan suhu sekitar. Oleh itu para pembaca kenalah tahu di mana bekas-bekas semaian benih itu patut diletakkan agar tidak timbul masalah kematian benih nanti. Mudah-mudahan artikel yang tidak seberapa ini bermanfaat kepada para pembaca. Dan jangan putus asa atau merajuk dengan ujian yang kita hadapi dan anggaplah ianya sebagai cabaran yang perlu kita tempuhi untuk berjaya dalam aktiviti bertani. Semoga kita berhasil untuk mencapai apa yang kita inginkan dalam aktiviti sampingan ini.

Selamat bertani dan menuai hasil

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon