Rabu

KOBIS MUSIM PANAS TANAH RENDAH

Tags


Setelah mencuba menyemai dan menanam kobis ungu tahun lepas yang habis dimakan ulat seribu dan tanomkinotuan hanya berjaya memakan babynya sahaja iaitu tunas-tunas yang muncil dicelah daun yang masih dua tiga helai daun. Inilah yang dituai dan dibuat sayur masak sos tiram dan sememangnya amat sedap. Kini tanomkinotuan mencuba meyemai benih kobis biasa. Benih hanya dibeli di kedai RM2.00 sahaja. Agak murah tetapi benihnya jenis hibrid dan bukan jenis heirloom atau warisan. Benih hibrid cepait dituai.

Percubaan kali kedua menyemai dan menanam benih kobis ini sangat kuat kerana inginkan satu cabaran yang mencabar. Kata orang menanam kobis cabarannya sangat tinggi dari segi serangan makhluk perosak seperti belalang, siput babi dan ulat seribu. Ulat seribu jika menyerang dalam satu malam 90% daun tanaman akan botak tinggal batang. Jadi cabaran-cabaran ini tanomkinotuan ingin mengalaminya sendiri. dengan pengalaman-pengalaman ini kita dapat meningkatkan pemahaman kita berkaitan dengan tanaman dan serangga yang berkaitan.




Mungkin ramai pembaca di luar sana terfikir menanam pokok kobis di tanah rendah seperti taman perumahan di kawasan-kawasan bandar atau sub-bandar sangat-sangat mustahil dilakukan. Ini kerana pokok kobis merupakan pokok yang sesuai tumbuh membesar di kawasan tanah tinggi yang bersuhu sejuk. Benar dan saya mengiyakan pendapat ini bahawa kobis mempunyai pertumbuhan yang lebih baik di kawasan tanah tinggi seperti kawasan tanah tinggi Kundasang Sabah dan Tanah Tinggi Cameron Highland di semenanjung sana. Tidak hairanlah bahawa kobis-kobis yang banyak dijual di pasaraya berasal dari dua lokasi yang disebutkan di atas.

Tetapi harus difahamkan dan maklum bahawa kobis juga mempunyai jenis variati yang berbeza-beza mengikut ketahanan suhu dan kesesuaian pertumbuhan di kawasan-kawasan tertentu. Misalnya ada benih kobis sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi yang bersuhu sejuk dan ada variati kobis yang sesuai ditanam di kawasan tanah rendah, terdapat juga benih kobis yang tahan akan salji dan suhu sejuk melampau dan juga terdapat benih kobis yang mempunyai ketahanan kepada suhu panas. Oleh yang demikian pembaca harus memilih benih kobis yang sesuai tumbuh di tempat anda. Jika hendak menanam kobis di tanah rendah pilih benih kobis yang sesuai tumbuh di kawasan tanah rendah, jangan pilih benih yang yang sememangnya khas ditanam di kawasan tanah tinggi, alamat memang tak jadilah.

Tanomkinotuan menggunakan benih kobis dari variati Gloria F1 Cabbage. Variati ini sememangnya tahan panas dan sesuai tumbuh di kawasan tanah rendah. Malah musim kemarau bulan-bulan lepas tidak menjejaskan pokok kobis tersebut walaupun tanah sudah bertukar menjadi batu. Jangan sahaja tanah tersebut dibiar kering pastinya pokok kobis akan layu pada tengahari. Tanomkinotuan tahu dan faham tempat tinggal tanomkinotuan mempunyai suhu kepanasan sehingga 29 darjah celsius hingga 31% darjah celsius. Jadi memilih jenis benih yang sesuai sangat dititikberatkan.

Semaian benih kobis dilakukan di tapak semaian terlebih dahulu. Ini bagi tanomkinotuan cuba mengelak dari benih diganggu oleh makhluk perasan hebat merosakkan tanaman, mentang-mentanglah pemakan sayur segar dan mentah. Suka-suka saja rosakkan pokok, batang dan daun. 

Lazimnya dalam peringkat semaian benih tanomkinotuan lebih menyukai menggunakan media campuran atau potting soil dalam menyemai benih. Media potting soil sangat gembur, kaya nutrient, pengudaraan yang baik dan saliran air yang sangat efektif. Dengan demikian proses percambahan benih sangat cepat dan subur belaka. Pernah tanomkinotuan menggunakan tanah biasa yang hanya dicampurkan dengan baja atau kompos untuk menyemai benih sawi kerinting aka ong king. Tetapi pertumbuhannya agak perlahan dan terbantut mungkin disebabkan pengudaraan dalam media kurang dan saliran air yang kurang. Media tersebut juga cepat kering dan keras. Oleh itu tanomkinotuan sarankan kepada pembaca menggunakan potting soil dalam proses menyemai benih. 

Makluman para pembaca, benih dari kelompok sayuran Brassica ini hanya mengambil masa 2 hingga 5 hari bercambah tidak kiralah dari sawi bunga, ong king, kailan, brokoli, kobis bunga, brussel sprouts, kohlrabi dan sebaginya. Memang cepat berbanding jenis benih sayuran lain. Masa 3 hari selepas di semai tanomkinotuan sudah melihat akarnya keluar dari biji benih berwarna putih, itu menandakan benih tersebut sudah bercambah. Tanomkinotuan hanya tabur diatas permukaan media dan siram tidak ditanam secara timbus. Apa yang perlu dilakukan oleh pembaca ialah memastikan media berada dalam keadaan lembab hingga benih bercambah dan membesar. Jangan media menjadi kering. Walau bagaimanapun, pastikan media tersebut hanya dalam kedaaan lembab dan bukan terlalu basah. Jika terlalu basah akan menyebabkan fungi membiak di dalam media dan menjejaskan pertumbuhan anak pokok.

Oleh kerana pada masa ini tanomkinotuan masih bermain dengan batas buatan sedniri, kobis tersebut ditanam di atas batas sahaja. (Semasa entry ini ditulis tanomkinotuan sudah beralih menanam sayuran menggunakan pasu, tukar-tukar angin pula). Oleh kerana kobis sangat high feed makan tanomkinotuan menabur batas yang telah digembur terlebih dahulu dengan manure green compos atau kompos berasaskan tumbuhan pada batas secara keseluruhannya. Kemudian digaul merata hingga sebati. Sedikit kapur pertanian ditabur pada batas tersebut untuk tambahan nutrient kalsium dan magnisum dalam tanah.

Tanomkinotuan menanam anak pokok kobis pada batas dan menjaganya seperti menjaga sayuran lain. Semasa entry ini dibuat kobis tanomkinotuan membesar dengan jayanya tetapi belum menghasilkan bebola kobis, dalam peringkat pertumbuhan sebenarnya. Akan datang tanomkinotuan akan mengupdate perkembangan pokok kobis di KBR dengan gambarnya sekali. Kobis sememangnya boleh ditanam di kawasan tanah rendah yang penting pilih benih yang tahan panas dan boleh ditanam dikawasan tanah rendah. Apa kata para pembaca mencuba menanam kobis di laman rumah, dalam pasu pun tidak mengapa dan tunggu hasilnya. Mengikut pengalaman kobis sudah boleh dituai selepas 4 bulan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

Mana mau beli tu benih Gloria F1 Cabbage?

Datang sahaja di kedai-kedai menjual benih. Tanya mahu beli kobis tahan panas. Dorg tahu tu...


EmoticonEmoticon