Ahad

POKOK EDAMAME DALAM PASU MUSIM KEDUA

Tags


Hujan berterusan mengantikan musim kemarau lepas memberikan kesegaran luar biasa kepada tanaman yang gersang akan sumber air berminggu-minggu. Tanomkinotuan kini sangat relax sementara hujan turun mencurah-curah. Dapatlah merehatkan badan dari melakukan penyiraman secara manual. Tidak lama lagi bulan ramadan menjelang tiba. Mungkin aktiviti bertani berkurangan disebabkan kita lebih tertumpuh kepada hal-hal berpuasa dan perayaan hari raya. Namun tanomkinotuan mencuba menanam sayuran daun yang cepat dituai untuk sayuran sahur dan bersungkai, jika di semenanjung lebih popular menggunakan istilah iftar namun di Sabah pula suka menyebut istilah bersungkai, perkataan ini rasanya berasal dari bahasa Kaum Brunei di Sabah dan merentas penggunaannya di kawasan pedalaman. Tetapi perkataan ini tidak popular di Pantai Timur Sabah. 



Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pokok edamame tanaman musim kedua. Tahun lepas pokok edamame yang ditanam hanya sedikit sahaja. Kini tanomkinotuan tanam banyak-banyak untuk bekalan edamame rebus yang lazat itu. Tidak perlu lagi ke restoran Jepun dengan mengeluarkan belanja untuk menikmatinya. Kini tanomkinotuan tuai buah edamame dan rebus dirumah dan makan bersama keluarga sambil menonton TV.

Tanomkinotuan dapatkan benih melalui online tempoh hari. Tanomkinotuan menyukai menanam edamame kerana kurang masalah semasa proses penjagaan, lebih mudah berbanding menanam sayuran berdaun dari segi serangan makhluk perosak.

Terdahulu semasa tanomkinotuan mendapat benih edamame pertama, tanomkinotuan menanam langsung pada batas. Disiram sekali sekala sebab benih edamame tidak menyukai media terlalu basah. Dengan itu banyak benih edamame tidak bercambah dengan baik malah membusuk dalam tanah. Walau bagaimanapun, dapat jugalah tanomkinotuan merasa keenakan edamame rebus. Untuk pengetahuan membaca, edamame ini ialah kacang soya hijau. Istilah edamame adalah panggilan untuk tuaian buah kacang soya yang masih hijau podnya. Dituai untuk direbus dan dihidangkan. Rasanya seperti kacang lain dan sedap rasanya.



Untuk tanaman benih edamame kali kedua tanomkinotuan menukar teknik menyemai seperti dalam gambar yang pertama. Tanonkinotuan semai benih edamame menggunakan media cocopeat yang dimasukkan ke dalam kotak plastik bertutup. 

Tanomkinotuan masukkan media cocopeat setengah kotak plastik. Oleh kerana cocopeat tersebut sedia lembab maka tanomkinotuan tidak perlu lagi menyiramnya. Benih kacang soya ini tidak menyukai media basah, cukup sekadar lembab 

Tanomkinotuan membuat lubang sedalam 1 inci secara rapat dan masukkan benih-benih ke dalam lubang yang disediakan. Kemudian timbus semula lubang-lubang tersebut dan kotak plastik tersebut ditutup rapat-rapat. Untuk membolehkan benih edamame bercambah dengan baik, tanomkinotuan meletakkan kotak plastik tersebut ditempat terkena cahaya atau haba. Haba diperlukan oleh benih untuk memulakan proses percambahan.

Proses ini sama dengan rumah hijau. Ia memerangkap haba dan membolehkan humid sekitarnya meningkat membolehkan benih edamame bercambah dengan baik. Kaedah penyemaian sebegini hanya mengambil 5 hari sahaja untuk benih edamame bercambah



Setelah bercambah tanomkinotuan alihkan anak pokok yang belum berdaun (masih tertutup sepenuhnya) ke pasu dan polibag saiz kecil. Media yang digunakan ialah potting soil buatan sendiri seperti dalam gambar kedua.

Untuk makluman bahawa anak pokok yang belum mempunyai daun sebenar tahan untuk dialihkan dengan syarat simpan ditempat teduh terlebih dahulu. Apabila anak pokok edamame sudah terbuka dan menghasilkan daun pertama bolehlah diletakkan di tempat panas. Tujuannya untuk pertumbuhan anak pokok secara maksima.

Tanomkinotuan membeli pasu bersaiz besar dan mengalihkan anak pokok edamame ke dalam pasu besar. Pokok edamame disiram secara berkala.


Sebulan setengah selepas dialihkan ke pasu besar, inilah hasilnya. Pokok edamame kini menghasilkan pod-pod yang banyak dan cantik tapi sayang tanomkinotuan tidak sempat mengambil musim pokok itu berbunga. Sampai sahaja tanomkinotuan di rumah semua pokok sudah berbuah. Namun begitu, bunga pokok edamame yang baru ini berwarna ungu cerah berbanding dengan pokok edamame tanomkinotuan tahun lepas yang pokoknya berwarna putih. Mungkin keduanya berbeza variati.



Salah satu pokok edamame yang penuh dengan buah yang cantik. Masa ini (gambar) buahnya belum boleh dituai. Kena tunggu buah tersebut membengkak menandakan buah dah sesuai dituai. Beli benih edamame dan cuba tanam di laman rumah anda. Ia sangat menarik ditanam dan boleh menjadi kudapan sambil menonton TV atau bersantai dengan keluarga. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon