Sabtu

TIMUN EPAL KRISTAL BULAT MENGHIASI KBR DENGAN BUAH YANG ELEGAN

Tags


Pokok timun epal kristal

Ini kali pertama menanam dan melihat sendiri pokok timun jenis bulat bagai kristal bersinar di pokoknya. Selalunya tanomkinotuan menanam pokok timun yang biasa ditanam di negara kita iaitu timun cina (buah timun yang memang banyak dijual di pasaran Malaysia) dan beberapa variati timun kampung seperti timun kampung albino, timun kampung hmong dan timun betik. Variati timun ini tanomkinotuan sering melihat di jual di tamu-tamu mingguan di seluruh Sabah terutamanya kawasan di Daerah Ranau, Tambunan, Tamparuli dan Keningau serta ditempat-tempat lain. Bagi timun cina enak dimakan sebagai salad atau campuran dalam pelbagai hidangan seperti nasi lemak, sup dan sebagainya. Bagi timun kampung pula ianya memang lemak-lemak manis bila dibuat sayur tumis kerana tidak mengandungi rasa pahit. Sesuai dicampur dalam sup untuk menyejukkan badan atau blender dan bubuh sedikit madu dan air, minum semasa musim panas memang terbaik.

Kali ini tanomkinotuan menanam satu lagi jenis timun yang agak asing bagi rakyat Malaysia. Jenis timun ini kurang ditanam kerana benih yang sukar diperolehi. Timun yang dimaksudkan ialah timun epal kristal atau Apple Crystal Cucumber.

Buah timun epal kristal berjaya didebunga

Timun epal kristal bulat adalah jenis timun yang banyak ditanam di luar negara. Terdapat pelbagai variati timun jenis bulat yang wujud di dunia. Tanomkinotuan hanya ada benih timun epal kristal bulat yang mana sesuai ditanam di negara kita. Tidak kiralah di kawasan tanah tinggi atau tanah rendah atau dalam pasu mahupun batas. Yang penting senantiasa menjaganya dari serangan makhluk perosak yang tidak terjangka.

Timun epal kristal bulat mempunyai jenis pokok sederhana memanjat dan mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina dengan banyak sekali. Daun bersaiz kecil berwarna hijau dan dahannya bercabang yang menghasilkan banyak buah. 3 minggu selepas ditanam ia mengeluarkan kudup bunga jantan diikuti dengan kudup bunga betina. Seminggu kemudian bunga betina bertukar menjadi bebola kecil yang sangat elegan dan membesar sebagai buah yang berwarna putih cair bak kristal yang disinari cahaya mentari pagi, berkilau-kilauan menarik perhatian. haha apasal bahasa ni lain macam.... bersajak ke apa?

Tidak sukar menanam timun epal kristal bulat ini. Oleh kerana tanomkinotuan menggunakan batas untuk tempat menanamnya dengan itu tanomkinotuan membuat penggemburan batas dengan keluasan 2 x 8 kaki persegi. Dengan menggunakan cangkul tanomkinotuan korek sedalam 1 kaki dan gembur selebar 2 kaki dengan kepanjangan batas ialah lebih kurang 8 kaki. Cukuplah untuk beberapa biji benih timun epal kristal yang akan ditanam. Untuk supaya pokok timun epal kristal ini tumbuh dengan baik tanomkinotuan menaburkannya dengan 5 kilo kompos kelapa sawit dan 2 genggam kapur pertanian lalu tanomkinotuan gaul sebati. Tanomkinotuan juga mengumpulkan rumput-rumput dan dedaun kering lalu dipotong kecil-kecil kemudian ditabur ke batas dan digaul sebati dengan media. Kerja memotong rumput kering sangat leceh tetapi berbaloi untuk pokok timun anda. Ia akan menjadi humus terbaik kepada pokok timun epal kristal anda apabila rumput dan daun tersebut mula mereput dalam tanah.

Buah timun epal kristal

Tanomkinotuan tidak merehatkan tanah seperti mana selalunya. setelah digembur, ditabur kompos dan kapur pertanian berserta potongan rumput dan daun kering. Tanomkinouan membuat lubang sedalam 1 inci ditengah-tengah batas dengan jarak antara lubang ialah 8 hingga 10 inci. Ini ukuran tanomkinotuan buat sendiri, jika pembaca mahukan ukuran yang fleksibal dan tepat sila meminta bantuan khidmat nasihat dari jabatan pertanian berhampiran. Almaklumlah hanya untuk menanam dan makan sendiri tanomkinotuan main hentam sahaja. 

Sebenarnya para pembaca yang budiman, boleh juga menyemai terlebih dahulu benih timun epal kristal ini dalam cup plastik terlebih dahulu. Semai sebiji benih untuk satu cup dan alihkan apabila benih sudah bercambah atau sudah mengeluarkan daun sebenar. Bagi benih timun (apa-apa jenis timun) kaedah menyemai boleh dilakukan dengan menyemai secara langsung ke batas atau menyemai terlebih dahulu pada cup plastik dan barulah dialihkan ke tapak penanaman sebenar. 

Dua minggu selepas bercambah tanomkinotuan bubuh semula baja npk organik dari jenama HUMIC fertilizer yang ada dijual dipasaran. Cuma gemburkan tanah semula disekeliling pokok dan berhati-hati melakukan aktiviti pengemburan agar akar halus pokok timun tidak terjejas, kemudian barulah tabur baja npk organik disekeliling pokok lalu siram menggunakan air secukupnya.

3 minggu sahaja bunga betina sudah kelihatan dan tangan tanomkinotuan gatal hendak membuat pendebungaan secara manual walaupun kelihatan serangga pendebunga berterbangan disekitar pokok timun tersebut seperti kelulut, lebah dan sebagainya. Tidak terkecuali juga serangga penggorek buah, mereka-mereka ini sudah standby untuk melakukan PESTA SUNTIKAN BUAH secara berjemaah. Tanomkinotuan hanya mampu mengucap dalam hati, tidak terkata apa-apa. Biarkan sahajalah kongsi-kongsikanlah harta Tuhan kan? hehe

Ikut kebiasaan tanomkinotuan setiap minggu kembali ke rumah namun pada waktu itu tanomkinotuan tinggal di tempat kerja selama dua minggu disebabkan tugasan yang harus disiapkan. Maka terabailah pokok timun epal kristal di KBR tanpa dibelai dimanja beberapa ketika. Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah dan petangnya turun ke kebun belakang rumah alangkah terperanjat dan sedih melihat keadaan pokok timun epal kristal yang kurang bermaya dan kekeringan. Buahnya habis diserang serangga pengorek buah. Buah yang berjaya dibalut tempoh hari itu sahajalah yang berjaya membesar dengan jayanya dan sempat diabadikan dalam gambar. Namun buah ini juga tidak dapat diselamatkan kerana kekurangan air pada tanah, tambah-tambah lagi musim kemarau yang tidak ada maaf.

Jangan ditanya akan rasa timun tersebut, tanomkinotuan tidak sempat memakan walaupun sebiji, kira hendak matangkan sebiji dua yang terselamat dari seranggan serangga tetapi apakan daya rezeki kali ini tidak memihak kepada empunya badan. Jadi hanya gambar sebagai ingatan dan bukti bahawa tanomkinotuan pernah menanam dan memberikan kasih sayang pokok timun tersebut di KBR. 

walau bagaimanapun, terdapat benih lebihan yang berjaya dijual kepada pelanggan tempoh hari dan mudah-mudahan benih mereka hidup subur dan mengeluarkan hasil buah yang sangat memuaskan. Diharap juga mereka mematangkan sebiji dua buah yang ada agar benih dapat dikumpulkan ditanam semula. Untuk pengetahuan pembaca benih timun epal kristal ialah benih jenis heirloom atau open-polinated. Jika ditanam benihnya ia tetap menyerupai baka induknya tidak seperti benih jenis hibrid. Tanomkinotuan pada masa akan datang perlu membeli semula benihnya untuk ditanam di KBR dan diharap tanaman kali kedua ini mampu memperolehi hasil yang memberansangkan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon