Ahad

SAYURAN LAMAN RUMAH YANG HIDUP JUARA

Tags

Sudah lama tidak mengupdate sayuran bergambar dalam blog ini. Kesibukan melanda menyebabkan tidak cukup ruang untuk berkongsi sayuran yang ditanam di KBR. Minggu ini hujan mencurah-curah di kampung. Mungkin keadaan cuaca sudah kembali pulih sedia kala. Setiap petang hujan turun dengan lebatnya.

Sempena cuti sekolah selama dua minggu. Tanomkinotuan tidak kemana-mana. Sahabat lain sudah merancang bercuti ditempat lain malah ada yang bercuti ke luar negara. Iyalah kerja penat dan letih dengan melancong sedikit sebanyak dapat merehatkan minda dan fikiran. Bagi tanonkinotuan bercuti di laman rumah sahaja dengan bermain dengan tanah, cangkul, rumput dan benih.. Hehe

Berikut adalah gambar sayuran yang ditanam di kebun KBR. Terdapat sayuran yang sudah habis dimakan dan ada juga sayuran yang kukuh berkembang di batas. 



Ini ialah kobis cina bulat. Ditanam di laman rumah. Pokok ini memerlukan nitrogen tinggi dalam tanah. Oleh itu digalakkan bubuh baja banyak-banyak sebelum tanam. Tanomkinotuan menggunakan tinja ayam yang ditabur pada batas dan direhatkan selama 2 minggu.

Sudah ada beberapa pokok yang dituai untuk dijadikan sayur. Tidak perlu tunggu pokok membulat (heading) jika pokok sudah kembang setaman tuailah kalau tidak. Ulat pemakan daun senyum sakan nanti. 


Ini pula pokok tomato tanomkinotian. Tanomkinotuan ingin mencuba pula menanam pokok tomato dalam pasu secara terbuka. Musim lepas tanomkinotuan menanam pokok tomato dalam pasu di kawasan teduh. Di tepi dinding rumah sebenarnya. Ia tidak terkena hujan dan cuaca melampau. 

Harapan tanomkinotuan agar pokok tomato ini tumbuh hingga dituai buahnya. 


Bendi alabama adalah bendi yang baharu di negara kita. Tanomkinotuan mencuba menyemai benih alabama ini dalam pasu. Tanaman bendi alabama musim pertama ditanam di atas batas pada musim kemarau. Jadinya pokok dan buah tidak memberansangkan sangat tetapi berkualiti tanpa serangan pentakit dan serangga.


Ini dia pokok brokoli ungu kalau tidak silap. Hari itu menyemai dua jenis brokoli ungu berbeza variati tetapi 4 pokok yang dialihkan ke cup plastik mati hanya tinggal 4 lagi yang hidup. Oleh itu ID pokok tidak diketahui sangat. Moga-moga berbunga diwaktu masa terdekat dapatlah diketahui brokoli jenis apa.



Pokok perilla hijau juga hidup subur di laman rumah. Disemai menggunakan benih dan dialihkan terus ke batas. Bolehlah feefiling memakan makanan korea yang menggunakan daun perilla. Pokok perilla juga dikenali sebagai shiso.


Pokok jagung waxy indian dwi-warna mengeluarkan buah yang cantik. Pokok ini sudah pun ditebang untuk diambil buahnya. Direbus dan dimakan begitu sahaja. Agak waxy atau berpulut sikit. Sedap mengunyah bagi mereka yang menyukai jagung pulut.

Inilah antara tanaman yang sempat dikongsi kepada para pembaca. Tabomkinotuan masih lagi menambah gambar-gambar berkaitan tetapi kompuer buat hal pula. Semoga mendapat inspirasi dan idea apa jenis sayuran yang ingin ditanam di laman rumah. 

Jom bertani sendiri. Tanamlah apa-apa yang dirasakan sesuai dengan pasu atau apa-apa bekas sekiranya ruang tanah terhad. Alami sendiri sayuran tanam sendiri. Organik dan bebas kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

MEMBUAT KOMPOS TUMBUHAN (MANURE GREEN) SENDIRI DI LAMAN RUMAH

Tags

Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi membuat kompos atau baja yang murah dan jimat tetapi kuasa pembajaannya sangat-sangat berkualiti. Hanya menggunakan bahan-bahan disekelilingnya yang ada anda sudah mampu melakukannya. 

Selain membeli baja yang ada di pasaran apa kata kita mencuba membuat kompos sendiri. Tanomkinotuan ada membuat entry mengenai membuat kompos pada pos-pos yang lepas. Cuba cari dan fahami langkah-langkahnya. Entry kali ini pula adalah cara menggunakan satu bahan sahaja iaitu tumbuhan hijau. Tumbuhan hijau seperti rumput, pangkasan bunga, pokok buah-buahan dan sebagainya.

Pertama sekali kumpulkan tumbuhan hijau yang ingin dibuang. Contohnya rumput yang dicabut dilaman rumah, potongan rumput yang menggunakan mesin rumput, pangkasan pokok bunga-bungaan dan buah-buahan. Lebihan sayur di dapur juga boleh dicampurkan. Apa-apa sahaja jenis sisa sayuran yang dibuang didapur.



Dalam entry ini tanomkinotuan mengambil contoh tumbuhan hijau yang ingin dibuang dilaman rumah. Tidak kiralah apa jenis. Tanomkinotuan tidak mengetahui nama tumbuhan pada gambar diatas, apa yang pasti pokok ni cepat terkompos. 

Dengan menggunakan pisau atau parang tajam, potong rumput/tumbuhan tersebut dan longgokkan hingga dalam kuantiti yang banyak. Pastikan box kompos sudah disediakan. Jika belum anda harus membuat box kompos terlebih dahulu dengan menggunakan bahan seperti papan terbuang. Saiz box kompos terpulang kepada pembaca. Bagaimana jika bahan membuat box kompos seperti papan dan paku sukar diperolehi? 

Tidak mengapa anda boleh menggunakan baldi untuk meletakkan kompos anda atau mencari bekas sesuai. Jika menggunakan baldi pastikan baldi tersebut dilubangkan terlebih dahulu supaya cecair dari tumbuhan tersebut dapat dialirkan dengan baik dan ini mempercepatkan tumbuhan itu dikomposkan.



Tumbuhan yang sudah dipotong bolehlah dikumpul terlebih dahulu ditempat sesuai.



Tumbuhan hijau tersebut dimasukkan ke dalam box untuk dikomposkan. Ratakan tumbuhan tersebut ke seluruh box agar ketinggiannya sekata.




Beginilah box buatan sendiri buatan tanomkinotuan. Tidak pasti apa saiznya. Tanomkinotuan tidak pula menyukatnya. Disinilah tanomkinotuan bubuh segala-galanya dari sisa dapur, rumput yang dicabut di kebun dan sebagainya. Semasa entry ini ditulis box kompos tanomkinotuan masih dalam proses pengomposan.

Tunggu 3 bulan untuk hasil pengomposan yang baik. Bolehlah mengambilnya dengan mengorek kompos dari bawah box. Warna hitam menunjukkan ia sangat-sangat berkualiti dan kaya nutrient. Apa tunggu lagi jom berkompos sendiri di rumah. Hebe

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumaat

POPCORN INDIA DWI-WARNA YANG TUNGGU UNTUK MATANG

Tags


Jagung rebus sememangnya enak dimakan bersama keluarga. Atau juga sedap dirata dengan membakarnya sahaja. Dulu-dulu bakar jagung menggunakan bara api kini boleh saja membakarnya dalam microwave. Kerja mudah dan tidak akan kenyit-kenyit mata disebabkan asap tebal. Hehe

Ada yang menyukai jagung manis dan ada juga mengemari jagung pulut (waxy corn). Tanonkinotuan lebih menyukai jagung jenis pulut atau jagung kampung kata orang sini. Walaupun tidak berapa manis tetapi rasa pulut dan kelemakannya cukup mengenyangkan. Lagi pun tanomkinotuan ingin mengelak termakan jagung manis dari keluaran syarikat mosanto iaitu jagung GMO bt. Cukup merbahaya untuk kesihatan. Tanomkinotuan juga mengelak membeli makanan yang berasaskan jagung GMO yang telah diproses seperti dalam tin, keropok dan sebagainya kecuali terdapatnya kenyataan bertulis dalam pembungkus sebagai 'Non-GMO'


Berbalik kepada tajuk di atas, ingin tanomkinotuan berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai tumbuhan dalam keluarga jagung iaitu popcorn india dwi-warna atau indian popcorn dwi-color. 

Popcorn india dwi-warna adalah salah satu jenis popcorn yang wujud dan boleh ditanam di negara kita. Jagung ini sangat sesuai dengan cuaca di negara kita yang lembab dan panas sepanjang tahun. Percubaan menanamnya sangat memberansangkan. Pokok popcorn india dwi-warna 100% sama dengan jagung biasa, dari akar, batang, daun dan buahnya cuma bezanya saiz buah bersaiz kecil dan buah popcorn india dwi-warna ini perlu dimatangkan/tua untuk bersedia dijadikan sebagai popcorn untuk kudapan menonton wayang atau TV. 

Tanomkinotuan tidak pasti pula jika jagung ini sesuai untuk direbus kerana tanomkinotuan tidak pernah mencubanya. Mungkin para pembaca boleh mencuba menanam dan merebus setonggol dua dan maklumkan kepada tanomkinotuan tentangnya di bahagian komen. Hehe

Pokok popcorn india dwi-warna ini ditanam pada pertengahan bulan Februari yang lepas. Hanya ditanam dalam polibag menggunakan tanah sawit dicampurkan dengan sedikit tanah dan cocopeat. Oleh kerana pertama kali menanam dalam polibag tanomkinotuan hanya tanam sebiji satu polibag yang tanomkinotuan rasakan sangat membazir ruang. Oleh kerana polibag tersebut agak bersaiz besar akan datang tanomkinotuan mencuba menanam dua biji dalam satu polibag. Kadang-kadang kita mesti melakukan eksperimen atau try and error supaya kita tahu keputusan yang mana paling baik.

Sudah lama sebenarnya tanomkinotuan mencari benih popcorn ini. Tertanya-tanya tanomkinotuan daripada keropok popcorn terhasil. Sekarang info tersebut sudah dalam genggaman dan kini bereksperimen pula menanamnya.



Oleh kerana tempat meletakkan polibag sangat terhad. Tanomkinotuan telah meletakkan di belakang rumah di mana hanya terkena cahaya pada waktu pagi hingga jam 1 petang menyebabkan pokoknya tidak bersaiz besar. Jagung popcorn india dwi-warna perlukan media yang kaya nutrient dan bebas penyakit. Dua minggu sekali dibubuh baja npk organik untuk pertumbuhan yang maksimum.

Sementara itu tantomkinotuan menanam jagung waxy india dwi-warna di sebelahnya dan jagung ini sudahpun dituai untuk direbus.




Tadaaa! Inilah buah popcorn india dwi-warna. Pelbagai warna dapat dilihat dalam satu tongkol. Antara warna yang terlibat ialah ungu gelap, ungu cair, kuning, oren, merah jambu cair dan putih.

Tanomkinotuan ingin mencuba membuat kudapan popcorn nanti. Tanomkinotuan sudah membeli marjerin untuk bahan memasaknya. Tengok macam mana jadi atau tidak. Hahaha.. Akan datang tanomkinotuan menanam popcorn india dwi-warna ini kerana keindahan warna warni pada bijinya.

Kepada pembaca diluar sana yang menyukai atau ingin menanam popcorn india dwi-warna boleh emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke 019-5320756 untuk maklumat lanjut. Harga rm2.00 sepaket dengan anggaran benih ialah 10 biji.

Selamat bertani dan menuai hasil.

BENDI ALABAMA DARI US KE BUMI SABAH

Tags



Pertama kali menanam bendi alabama yang benihnya datang dari Alabama USA ini tumbuh subur di bumi Sabah, Malaysia. Bendi menyukai cuaca panas dan lembab sepanjang tahun sebab itu benih bendi tidak bermasalah untuk ditanam di negara kita. Sebelum ini tanomkinotuan telah pun berjaya menyemai dan menanam variati bendi seperti bendi ungu, bendi combo gergasi dan bendi cina. Semuanya boleh membesar dan hidup subur.

Bendi alabama merupakan satu variati bendi yang ada dan wujud di dunia. Pokoknya pula tidak ada beza dengan pokok-pokok bendi yang lain. Bendi alabama seakan-akan bendi arab khususnya saiz dan bentuk iaitu besar dan pendek. Bendi alabama ini berwarna hijau tetapi mempunyai warna merah dihujung setiap buahnya. Rasa lebih lembut dan manis sedikit berbanding dengan variati lain. Jangan tanya tanomkinotuan akan berlendir ke tidak. Memang semua variati bendi mempunyai lendir pada buahnya setelah dimasak. 

Percubaan kali pertama menanam benih alabama ini menjadi dengan jayanya. Tanomkinotuan menanam pokok bendi alabama pada batas yang telah digembur. Tahun lalu dan awal tahun ini tanomkinotuan menggunakan batas dalam menanam segala sayur. Tetapi kini tanomkinotuan hanya beralih kepada pasu dan kontena sahaja. Sebahagian sayuran ditanam dalam pasu dan sebahagian yang lain ditanam pada batas.



Biasanya tahun-tahun lepas, tanomkinotuan lebih kepada menanam di atas batas berbanding menanam melalui bekas tanaman tetapi bermula tahun ini tanomkinotuan mula berjinak-jinak pula menanam sayuran pada pasu. Setiap minggu atau bulan tanom kinotuan membeli pasu 3 hingga 5 buah mengikut bajet sendiri. Tidak mengapa lama-lama pasu bertambah banyak.

Tanaman musim pertama pokok bendi alabama sangat menjadi hingga buahnya berjaya di matangkan, elok buahnya tanpa serangan penyakit. Kini tanomkinotuan mencuba menanam bagi musim kedua di mana tanonkinotuan menanamnya dalam pasu dan polibag. Tanomkinotuan menggunakan media bekas menanam jagung popcorn india dan tomato ceri anggur yang lepas. Hanya menambah dua genggam tinja ayam, segenggam kompos sawit dan satu sudu teh kapur pertanian. Tanomkinotuan gaul sebati dan rehatkan sehingga dua minggu.

Tanaman kedua ini benih bendi alabama disemai terlebih dahulu dalam bekas semaian seperti cup plastik dan polibag saiz kecil barulah dialihkan ke bekas tanaman bersaiz besar. 

Pokok bendi yang ditanam dalam pasu atau polibag bersaiz besar ini menghasilkan batang yang besar dan sihat, daun lebar dan semasa entry ini ditulis pokok bendi alabama yang ditanam di dalam pazu tersebut telah mengeluarkan kudup bunga tetapi belum lagi berkembang. Untuk tingkatkan kualiti tanah tanomkinotuan siram menggunakan mol pisang, baja penggalak cecair ikan dan baja penggalak belacan dua minggu secara berselang seli. 

Gambar 1 dan gambar 2 ialah gambar yang diambil pada tanaman musim pertama. Pokok tidak cukup kasih sayang sebab masa tersebut adalah tempoh kemarau yang maha panjang. Hujung minggu sahaja dapat melakukan kerja-kerja penyiraman. Namun pokok hidup hingga menghasilkan buah walaupun tidak berkualiti. Syukurlah daripada tiada, hehe. Tanomkinotuan ingin melihat buahnya yang sebenar pada tanaman musim kedua ini.

Berminat benih bendi alabama ini bolehlah email ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke no. 019-5320756 untuk maklumat dan cara pembayaran. Benih bendi alabama hanya rm2.00 sepaket dengan anggaran benih 35 biji. Anda boleh memilih postage sama ada pos biasa rm2.00, pos ekspress rm4 atau pos laju rm10.00. 

Peringatan: jumlah benih yang ingin dibeli digalakkan menggunakan pos laju.

Selamat bertani dan menuai hasil.