Sabtu

JAGUNG PULUT INDIAN PELANGI: TUAIAN YANG SANGAT LUMAYAN

Tags


Selamat bersungkai (berbuka puasa) kepada semua pembaca sekalian. Moga-moga ibadat puasa kita mendapat keberkatan dari Allah SWT. Bulan Ramadan sangat bermakna untuk kita semua, apa tidaknya kepada mereka yang rajin bercucuk tanam segala sayuran adalah petik dan tuai dari laman rumah sahaja. Tidak perlulah membazir sangat, cukup ala kadar untuk berbuka In Sha Allah berkat.


Hari ini tanomkinotuan mengambil kesempatan untuk membuat entry baharu mengenai jagung pulut india pelangi atau Waxy Indian Corn. Jagung ini telah ditanam secara open-polinated beberapa jenis atau variati jagung sehingga menjadi satu variati jagung yang berbeza dari yang asal. Daripada pemerhatian tanomkinotuan terdapat beberapa campuran jenis jagung dari segi warna iaitu putih, putih susu, ungu, kuning, oren dan ungu cair sehinggakan warna-warni jagung ini sangat menyerlah dan mengkagumkan. Sebab itu kadang-kadang jagung ini juga disebut jagung pelangi atau jagung pelbagai warna.

Benih jagung ini tanomkinotuan perolehi dari seorang rakan di facebook yang menjualkan kepada saya benihnya. Tanomkinotuan sudah lama berminat mendapatkan benih jagung pulut india pelangi disebabkan ia sangat rare di kawasan tanomkinotuan. Selesai urusan jual beri tidak lama kemudian benih pun sampai ditangan tanomkinotuan. Tanomkinotuan dengan tergesa-gesa ingin menanam sebahagian benih pada batas di laman rumah dengan membuat pengemburan dan menaburkan kompos secukupnya. kemudian menanam benih jagung tersebut pada batas.

Oleh kerana musim menanam benih jagung ini pada musim kemarau di mana jarang dapat dilakukan aktiviti penyiraman pokok jagung pulut india pelangi tidak menjadi seperti yang diinginkan. Walaubagaimana pun sempatlah sepokok dua berbuah dan buah tersebut dimatangkan untuk dijadikan benih pada tanaman musim akan datang. Tanomkinotuan terasa sedikit kecewa akan masalah yang dihadapi tetapi akhirnya redha akan ketentuan rezeki yang Allah berikan kepada tanomkinotuan. 

Tidak ingin rasa kecewa berpanjangan tanomkinotuan mula mencari sudut laman yang dijadikan tapak menanam benih jagung pulut india ini di mana tanomkinotuan. Tapak menanam dipastikan di belakang rumah. Kawasan tersebut baru sahaja diracun dan tanomkinotuan tidak perlu membuat batas kerana percaya tanah tersebut dirasakan sangat subur dan lokasi yang sesuai. Tanomkinotuan ingin menggunakan kaedah menanam secara tradisi sahaja iaitu buat lubang sedalam 2 inci dan masukkan benih lalu timbus semula dengan tanah.

Kaedah ini adalah kaedah yang digunakan dalam penanaman tradisi di kebun secara zaman berzaman. Tidak ada aktiviti membuat batas, menabur baja pada batas dan sebagainya. Maka dengan itu tanomkinotuan melakukan penanaman tersebut dengan menanam benih-benih jagung pulut india pelangi secara besar-besaran. Ceewahhhh besar-besaran apa pula... hanya memuatkan 95 biji jagung sahaja. Bolehlahkan... inilah tanaman jagung tanomkinotuan yang agak luas berbanding tanaman jagung pada tahun-tahun lepas.

Pada permulaan tanaman kemarau masih berlansung, dengan itu dihujung minggu tanomkinotuan harus melakukan penyiraman pokok-pokok jagung. Kadang-kadang hujan turun sekali-sekala tetapi dengan cepat tanahnya kembali kering. Apabila pokok jagung sudah kira-kira 1 kaki hingga 1 kaki setengah tanomkinotuan mula membuat pengemburan tanah dipangkal pokok dan membubuh baja NPK organik (Brand humic) yang boleh dibeli dikedai pertanian. Baja ini diperbuat dari tinja ayam jika tidak salah tanomkinotuan. Tinja ayam sangat tinggi nitrogen dan sesuai ditabur untuk pertumbuhan segala jenis pokok. Tanomkinotuan tidak lupa juga menyiram pokok jagung ini dengan booster air roti, EM1, Mol Pisang dan Mol kangkung yang dibuat sendiri. Ini bermaksud segala baja dan penggalak pokok disembur dan dibubuh pada pokok jagung tersebut. Namun harus diselang-selikan agar tidak overdose pula.


Dengan pembajaan dan penyiraman konsisten pokok jagung kini membesar dengan baik. Setakat pemerhatian tanomkinotuan tidak banyak amsalah yang dihadapi daripada serangan makhluk perosak. Cuma masalah aksi brutal ayam-ayam pencen dan segala jenis ayam togel yang suka sangat memakan daun pokok jagung tanomkinotuan. Adalah rosak sedikit tetapi ianya tidak menjejaskan pertumbuhan pokok. Tanomkinotuan biarkan sahaja selagi tidak memudaratkan kepada pokok selagi itu ayam-ayam tersebut dibenarkan mematuk dan memakan daun-daun muda. 

Pada pertengahan pertumbuhan pokok jagung pulut india pelangi ini, hujan mula kelihatan setiap petang atau 3 kali sehari adalah hujan membasahi bumi. Ini banyak membantu melembabkan tanah dan meransang pertumbuhan pokok-pokok jagung yang dibaja 2 kali seminggu.

Hampir sebulan setengah berlalu sudah kelihatan bunga jantan kelihatan muncul dipucuk pokok. Ini menandakan musim berbuah bagi pokok jagung sudah bermula dan sudah tentu kawasan ini akan menjadi lawatan dan kehadiran beberapa serangga pendebunga yang berlegar-legar menghirup sap atau madu pada bunga jantan.


Cerita perkembangan dan pertumbuhan pokok-pokok jagung pulut india pelangi tergendala selama 2 minggu akibat tanomkinotuan tidak kembali krumah akibat tugasan yang harus disiapkan. Oleh itu selama tempoh dua minggu segala pemerhatian tertutup setakat ini. Adalah tanomkinotuan mencuba menghantar whatsapp kepada adik saya bertanyakan pokok-pokok jagung tersebut dan jawapan sangat mendukacitakan "pokok tu sudah berbuah" itu sajalah jawapan mereka jika ditanya. Sekurang-kurangnya tanomkinotuan mendapat respon positif. hehe

Selepas 2 minggu berada di tempat kerja barulah tanomkinotuan kembali ke rumah. Dan melihat pokok jagung sudah mengeluarkan buah-buah yang bersaiz besar berbanding pokok jagung pulut india pelangi yang ditanam musim pertama. Sesetengah pokok pada bunag jantan sudah kelihatan mengering dan sebahagian yang lain sang kelulut dan serangga lain masih berpesta mendapatkan sap pada bunga jantan. 2 minggu sebelum bulan puasa tahun ini tuaian pertama jagung pulut india dapat dilakukan, hampir sebesen penuh dapat dituai. Gembira rasa hati, dapatlah merasa buah jagung pulut pelangi yang enak dan sedap itu.

Apa lagi tanomkinotuan bersihkan dan rebus dalam belanga, sekejap sahaja sudah dihidangkan dan semua ahli keluarga merasa titik peluh menanam jagung sendiri. Sangat-sangat berbaloi.

Jagung pulut india pelangi ini mengeluarkan tongkol jagung 2 hingga 4 dalam satu pokok. Tidak seperti jagung manis taiwan atau thai di mana satu pokok hanya menghasilkan satu tongkol buah sahaja. namun kadang-kadang buah yang terletak di bawah tidak sepenuhnya berisi disebabkan kesukaran berlakunya pendebungaan. Satu helah yang harus pembaca tahu bilamana menanam jagung ialah tanamlah seberapa banyak yang boleh untuk memudahkan penyebaran pendebungaan kepada bunga betina. Jika menanam pokok jagung dalam sekala besar sudah tentu kebarangkalian buah jagung 98% berisi kerana tarikan para pendebunga-pendebunga mendekati pokok untuk memperolehi keuntungan yang pasti. Dengan itu proses pendebunga berjalan secara normal dan semulajadi. Huhu tanomkinotuan membebel apa ni sebenarnya... hahaa.

Rasa jagung pulut india pelangi sama dengan jagung pulut tempatan, sedikit melekit dan keras. Rasa manisnya sederhana dan berlemak. Tanomkinotuan menyukai jagung sedemikian yang tidak terlalu manis. Bagi mereka yang meminati jagung manis rasanya jagung pulut ini sukar untuk dinikmati. Ini pandangan tanomkinotuan sahaja ya. bukannya berdasarkan penyelidikan pun.

Jika pembaca berminat menanam jagung pulut india pelangi ini bolehlah menempah benih dari tanomkinotuan.blogspot.com, harga kasih sayang 1 paket hanya RM2.00 (anggaran benih 25 biji), postage bolehlah memilih antara pos ekspress rm4.00 atau pos laju rm10.00. Pembaca boleh emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke nombor 019-5320756 untuk cara pembayaran.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon