Ahad

KOBIS DRUMSTICK MENCECAH HAMPIR 900 GRAM

Tags


Bertemu kembali diruangan blog berkongsi cerita dan ilmu mengenai pertanian.

Sebatas kobis drumstick

Selepas musim kemarau yang lepas kini musim hujan pula mencurah-curah ke bumi setiap petang. Sayuran yang ditanam di KBR semakin baik dengan tanah menjadi lembab dengan kehadiran mikroorganisma dan cacing tanah yang bekerja untuk penyuburan. Walaubagaimana pun, hujan berlarutan sehingga setiap hari tidak sah membasahi bumi sedikit sebanyak menjejaskan kualiti sayur khususnya sayuran atau tanaman yang tidak menyukai kehadiran lebihan hujan dalam tanah. Kadang-kadang musim hujan mengundang beberapa makhluk serangga ke kebun untuk menjamah sayuran serta meninggalkan mutiara-mutiara pembunuh pada masa tertentu yakni telur-telurnya. Tanomkinotuan lebih menyukai musim kemarau. Walaupun panas membahang tetapi jika rajin menyiramnya pokok akan mampu hidup subur tanpa gangguan makhluk serangga. Namun begitu tanomkinotuan tidaklah membantah malah redha akan ketentuan cuaca negara kita yang mengikut aturan alam dari Allah SWT.

Melihat kejayaan kawan-kawan kita menanam sayur kobis di laman rumah yakni pokok sihat membesar dan menghasilkan bulatan kobis (heading) yang cantik. Tanomkinotuan pun mahu mencuba menanam pokok kobis tersebut. Masa lapang yang panjang tanomkinotuan mengembara secara maya di internet mencari apa-apa yang menarik perhatian. Kadang-kadang memasuki blog-blog rakan-rakan, seronok melihat gambar-gambar sayuran yang dikongsikan bersama. Malah sempat pula mendarat ke laman seswang atau blog luar negara. Membaca petikan-petikan di dalam Bahasa English yang belum tentu difahami sepenuhnya tetapi kerana yakin dan bersemangat dibaca juga sampai habis walaupun sepatah haram pun tak difahami. Hahahahaha...

Dengan pengembaraan di alam maya maka tanomkinotuan berminat membeli kobis drumstick yang sangat cantik. Mengikut pembacaan tanomkinotuan, pokok kobis yang suka dan sesuai ditanam di tempat sejuk dan cuaca panas, lebih ranggup dan manis. jadi tanomkinotuan urus segala keperluan untuk proses pembelian secara online. 2 minggu kemudian benih sampai ke tangan dan bermulalah episod untuk mengerjakan benih-benih ini.

Untuk lebih berkualiti dan ingin mendapatkan hasil memuaskan tanomkinotuan membuat batas (raised bed) bagi menanam kobis drumstick. Digemburnya tanah di laman rumah dengan kedalaman 1 kaki serta lebarnya 2 kaki dan panjang pula ialah 10 kaki (2x10 kaki persegi). Dengan kudrat yang masih ada tanomkinotuan cangkul tanah untuk pengemburan. setelah selesai tanomkinotuan tambah 8 kilo kompos yang dibeli di kedai nusery serta ditabur 5 genggam kabur pertanian. Tanomkinotuan susun lebihan bata yang tersusun cantik di belakang rumah untuk benteng batas tersebut. Dan tanomkinotuan rehatkan batas ini selama 2 minggu untuk mengurangkan mikrob jahat dalam tanah.

Dalam tempoh proses merehatkan batas, tanomkinotuan menyemai benih kobis drumstick pada cap plastik terbuang. Isi media campuran dan semai benih kobis. Benih kobis mula bercambah selepas 3 hingga 7 hari. Agar percambahannya maksimum, media disiram dua kali sehari dan tanomkinotuan tidak mahu media tersebut kering. jika kering pertumbuhan anak pokok kobis tidak sekata dan boleh mati. Selepas 2 minggu tanomkinotuan gembur sekali lagi batas tersebut agar tanah, kompos dan kapur pertanian sebati secara keseluruhannya. Untuk meningkatkan kualiti tanah dalam tempoh 2 minggu tanomkinotuan siram EM1, kompos teh buatan sendiri dan MOL pisang secara berselang seli. Semua booster ini bertujuan untuk mengayakan mikroorganisma dalam tanah dan menyuburkan tanah.

Setelah digembur kali kedua tanomkinotuan membuat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 15 inci pada setiap jalur / barisan. Dan benih-benih kobis drumstick ditanam lalu disiram dengan air secukupnya. Pada masa tanomkinotuan alihkan anak pokok kobis tersebut ke batas adalah pada masa kemarau tempoh hari. Oleh yang demikian tanomkinotuan sungkupkan dengan net jaring hitam bagi mengurangkan kematian pada anak pokok kobis. Net jaring hitam juga akan melembabkan tanah batas dalam tempoh tertentu dan ini membolehkan anak pokok kobis sempat melakukan pengakaran semula untuk pertumbuhan seterusnya.

Kobis membulat

Pokok kobis pertumbuhannya agak perlahan. Sebulan lebih baru bersaiz sederhana. Jadi tanomkinotuan tidak ingin pokok kobis tidak cukup nutrient, selang 2 minggu sekali ditabur baja subur organik jenama humic. Baja ini bertujuan untuk menyuburan pokok dan pertumbuhan secara menyeluruh. pokok kobis tidak perlu dibubuh baja bunga atau buah kerana kobis tidak dituai untuk buah tetapi daun yang membulat, kecualilah anda ingin mendapatkan benihnya. Pokok kobis memerlukan nitrogen yang tinggi untuk membesar dengan baik.

Tanomkinotuan tidak susah untuk merumput kerana batas menanam kobis tersebut kurang rumputnya. Cuma jenuh hendak menjaga serangan serangga. Habis daun-daun kobis berlubang-lubang dengan pelbagai bentuk. Belalang dan serangga lain telah membuat seni coretan dan lakaran pada daun-daun kobis tanomkinotuan kononnya cantiklah pada pandangan mereka. Namun setakat berlubang masih boleh dimaafkan. Jangan saja ulat seribu yang menyerang, kalau mereka menyerang habis togel 1 pokok dalam masa 1 malam. Agak terasa juga menunggu hasil pokok kobis. Tidak seperti sayuran seperti jenis sayuran sawi. Pejam celik pejam celik dah boleh tuai. Kobis betul-betul mencabar kesabaran. hari-hari mengintai kat celah daun bila nak heading daunnya hingga timbul kemalasan nak teliti satu persatu. Petang sahaja lakukan penyiraman dan selesai.

Setelah beberapa minggu ke bulan tanomkinotuan sudah tidak ingat, waktu petang tanomkinotuan melakukan rutin seperti biasa iaitu menyiram. Wahhhh... terdapat pokok-pokok kobis sudah melakukan kerjanya 'membulat'. Ini menambah kegirangan dihati tanomkinotuan. Maka dikhabarkan kepada ahli keluarga dari emak, adik beradik dan kakak... semuanya menampakkan keterujaan kecuali bapa tanomkinotuan... tahu dia cakap apa?..."Setakat pokok kobis sebatas tidak perlu mendabik dada, setakat sebiji pokok kobis sudah membulat tak perlu bergembira sangat hingga berpesta-pestaan, sebiji kobis tidak cukup untuk ahli keluarga memakannya". Panjang lebar pula ceramah sang bapa kali ini.... Tanomkinotuan tidaklah teruja hingga berpesta sakan tetapi gembira atas usaha selama ini, ditatang bagai minyak yang penuh. Berembun berhujan untuk membuang segala makhluk perosak yang merosakkan pokok kobis tersebut. Dan usaha ini telah menampakkan hasil yang lumayan.... tapi tanomkinotuan luahkan dalam hati saja, tidak berani luahkan depan-depan kang dianggap anak derhaka pula. hehe

Berat mencecah 847 gram


Hampir 4 bulan menunggu pokok kobis ini membulat dengan penuhnya. Dan pokok kobis tersebut membulat tidak seragam. masing-masing membulat ikut masa mereka. Tetapi bagus juga kalau membulat serentak memang tidak termakanlah jawapnya. Pagi sabtu lepas tanomkinotuan sudah ready untuk menuai sebiji kobis yang dikira membulat penuh. Bila ditekan headingnya memang agak keras. Dengan lafaz bismillah... tanomkinotuan potong batangnya dan dapatlah sebiji kobis yang beratnya melebihi 800 gram hampir 1 kilo beratnya. Gembira tidak dapat digambarkan dengan kata-kata beb....... hahahaha. Tetapi sebenarnya pic tuaian kobis pada gambar diatas ialah pokok kobis kedua, pokok kobis pertama agak besar kobisnya tetapi sayang membusuk dan tidak disedari oleh emak tanomkinotuan. Bila tanomkinotuan balik ke rumah dan memandang kobis tersebut sudah buruk aka rosak.

Sekiranya teknik tanaman kita sesuai dan betul apa-apa jenis sayuran yang ditanam boleh membesar dan dituai. Jangan bimbang mencuba teknik dan kaedah pertanian yang baru. Setiap teknik menanam dan penjagaan berbeza-beza mengikut keadaan sekeliling. Adakah anda menyukai sayuran kobis ini? jom menanam kobis dilaman rumah?

Selamat bertani dan menuai hasil...

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

4 komen

As Salam Tuan Admin,

Seronok saya membaca panduan2 yg berguna di sini. Terima kasih atas kesudian Tuan share ya.

Saya baru semai benih kobis. Sudah 2 minggu. Saya ingin bertanya, adakah kobis tidak kisah jika didedahkan kpd cahaya matahari yg banyak? Utk pengetahuan Tuan, batas di rumah saya di buat di balik stor kecil yg dibina belakang rumah. Batas akan terdedah kpd matahari selama 8 jam lebih kurang.
Terima kasih atas sebarang reply dpd Tuan.

Kobis sesuai terkena panas hingga 8 jam x masalah, yg penting harus disiram secara konsisten takut tanah mengering dan membantutkan pertumbuhan. selamat berjaya

Trima kasih byk atas balasan Tuan.
InsyaAllah..

sama2 moga bermanfaat dan selamat bertani.


EmoticonEmoticon