Sabtu

PANDUAN MENANAM PERILLA HIJAU

Tags



Daun perilla atau juga dikenali sebagai shiso (di Jepun) merupakan tumbuhan herba yang dimakan daunnya bersama sampingan lain, antara negara yang menggunakan daun ini sebagai diet makanan harian ialah Korea, Jepun dan China. Perilla adalah pokok termasuk dalam keluarga pudina (mint) iaitu Lamiaceae. Terdapat pelbagai variati perilla iaitu perilla merah dan juga hijau.

Daunnya dimakan mentah sebagai salad dengan mengambil sehelai daun perilla serta meletakkan beberapa bahan sampingan lain seperti hirisan daging, sayuran, sedikit nasi, sos dan dilipat kemudian dimakan. rasanya enak dengan aroma bercampur dalam mulut ketika dikunyah. Berikut adalah cara menanam benih perilla hijau.

Benih Perilla Hijau

Pokok perilla hijau bukanlah mudah didapati di negara kita, kita jarang atau langsung tidak melihat daun perilla hijau ditanam atau dijual di pasar-pasar terbuka kecuali mungkin ada dijual di pasaraya-pasaraya besar di ibukota.

Oleh yang demikian, dapatkan benih terlebih dahulu dengan membeli dengan kawan atau membelinya secara online. Walaupun pokok ini kurang menonjol di negara kita tetapi jika rezeki baik boleh terjumpa dengan penjual benih di Malaysia yang ada menjual benih tersebut. Pastikan benih segar, berkualiti tinggi dan yang paling penting benih masih tidak tarikh luput dalam tempoh penanaman.

Menanam atas batas atau pasu


Terdapat dua cara menanam pokok perilla hijau. Anda boleh menanam secara langsung pada batas atau dalam pasu.

Sekiranya anda memilih menanam pada batas atau di laman rumah anda. pertama yang harus anda lakukan ialah membuat proses pengemburan pada tanah. cadangan pengemburan ialah 1 kaki dalam dan 1 kaki tinggi. Saiz dan panjang anda tentukan sendiri mengikut keluasan laman dan berapa jumlah anak pokok perilla hijau ditanam. Korek tanah dan gembur hingga serpihan-serpihan tanah menjadi kecil. Segala benda asing seperti retakan tile, semen, batu, kayu, wayar dan sebagainya harus diasingkan. Tinggikan tanah tersebut seperti batas. Tabur segenggam kapur pertanian jika perlu.

Fungsi kapur pertanian ialah menutralkan tanah kepada kurang berasid dan membekalkan sumber kalsium dan magnesium kepada tanah yang digunakan oleh pokok perilla hijau nanti. Namun jika tanah masih elok dan sihat tak perlu tabur kapur pertanian takut terlebih PH tanah bertukar kepada alkali dan sukar pokok perilla hijau tumbuh pada tanah dalam keadaan Ph tanah beralkali. Nilai PH tanah yang baik untuk pokok perilla ialah PH 6.8 hingga 7.0. Kurang dari itu tanah sudah bersifat asid dan lebih dari sukatan di atas tanah sudah bersifat alkali.

Sesudah ditabur kabur pertanian, tabur kompos sebanyak 3 genggam untuk 2 kaki persegi. Kompos banyak jenis, anda boleh memilih kompos tinja ayam kerana kandungan nirogen yang tinggi berbanding kompos tinja kambing, lembu, tinja kelawar dan lain-lain. Elakkan menggunakan tinja ayam yang baru diambil dari reban ayam dikhuatiri tinja tersebut kaya dengan patogen merbahaya kepada akar pokok. Atau anda juga boleh menggunakan kompos tumbuhan (manure green) yang diperbuat dari bahan-bahan tumbuhan. Selain itu bolehlah ditabur vermicast (tanah cacing) untuk menambah kualiti dan memperbaiki tanah/batas anda. Tanah yang berkualiti akan menghasilkan pokok perilla hijau anda tumbuh subur dan sihat.

Rehatkan batas anda selama 2 minggu, tujuan merehatkan batas selama dua minggu ialah agar sinaran matahari terik lansung pada batas akan membunuh atau mengurangkan mikroorganisma merbahaya dalam tanah sedia ada. Pada masa yang sama kapur pertanian, kompos dan vermicast akan bersebati dengan tanah tersebut.


Bagi anda yang menanam pada pasu pula akibat ruang yang terhad, Anda boleh membuat sendiri tanah/media untuk tujuan tersebut iaitu dapatkan 2 bahagian cocopeat, 1 bahagian perlite dan satu bahagian kompos berkualiti. Gaul semua bahan tadi dan jadilah potting soil yang asas. Anda boleh menambah bahan-bahan lain yang difikirkan perlu jika mahu. Masukkan ke dalam pasu, hentak-hentakkan pasu secara perlahan untuk mengurangkan ruang-ruang udara dalam media dengan ini media akan termampat ke bawah secara sendiri dan penuhkan semula pasu jika perlu.

Penyemaian benih
Semasa menunggu batas direhatkan selama 2 minggu bolehlah menyemai benih perilla hijau pada tapak semaian atau tray semaian yang sedia ada. Disyorkan menggunakan tray semaian kerana ia mudah untuk mengalihkan anak pokok apabila proses mengalihkan anak pokok tiba waktunya. Guna potting soil atau media campuran 6 in 1 yang ada dijual kat nusery. Cuba bertanya kepada penjual media yang sesuai untuk semaian benih. Mereka akan maklumkan kepada anda jenis-jenis media yang sesuai.

Isi tray semaian dengan media dan padat-padatkan sedikit agar media tidak mendap ke bawah apabila disiram. Buat lubang kat tengah pada setiap lubang tray semaian dan semai 2 biji perilla hijau pada setiap lubang. Tujuan menyemai 2 biji setiap lubang ialah agar apabila salah satu biji tersebut tidak bercambah yang satu lagi akan back up. Anda juga boleh membuat media semaian sendiri dengan mencampurkan 2 bahagian cocopeat, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian perlite. Gaul hingga sebati dan bolehlah dimasukkan ke dalam lubang tray semaian.

Benih perilla hijau mengambil masa 6 hingga 14 hari untuk bercambah mengikut faktor suhu dan kelembapan pada media. Siram menggunakan sedikit air takut akar lemas dan bertukar menjadi kuning. Pokok ni tidak suka dengan air banyak tetapi tidaklah seperti pokok rosemarry atau pun pokok herba dill. Tunggu anak pokok sudah mempunyai 4 helai daun dan barulah dipindahkan ke pasu atau batas.

Pemindahan ke batas atau pasu

Setelah anak pokok sudah mempunyai 4 helai daun sebenar maka bolehlah dipindahkan ke batas atau pasu. Oleh kerana disemai menggunakan tray semaian maka tanam bersama-sama media dalam tray semaian tersebut.

Untuk batas sebelum proses pemindahan, gembur sekali lagi batas yang direhatkan selama dua minggu. Ini bertujuan untuk melonggarkan media, pengemburan dapat menyebatikan bahan-bahan terlibat dan pengudaraan dalam media menjadi baik. Selepas gembur buat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 15 inci hingga 20 inci setiap lubang. Penjarakan menanam penting supaya pokok tumbuh subur tanpa persaingan yang teruk, pengudaraan di sekelilingnya baik untuk mengelak makhluk perosak berkuntum ke pokok perilla tersebut.

Cara mengeluarkan anak pokok dari tray semaian ialah picit hujung lubang semaian dan bila media sudah longgar tarik perlahan-lahan jangan media terlerai atau terlepas dari akarnya, tanam anak pokok dalam lubang pada batas yang disediakan tadi. Timbus semula dengan tanah dan siram menggunakan air secukupnya. Lakukan pemindahan anak pokok perilla hingga selesai. Kemudian tutup batas menggunakan jaring hitam untuk melindungi anak pokok dari sinaran matahari terik selama 1 minggu atau lebih. Apabila anak pokok perilla sudah kuat dan sihat (mula membesar) buka teduhan jaring hitam tersebut untuk pertumbuhan pokok secara maksimum. Pokok perilla hijau suka akan cahaya matahari yang banyak.

Bagi dalam pasu pula, isi media campuran di dalam pasu dan buat lubang ditengahnya. keluarkan anak pokok dari tray semaian dan tanam anak pokok ke dalam lubang yang dibuat tadi. Timbus semula dengan tanah dan siram air secukupnya. letak pasu ditempat teduh selama seminggu dan alihkan ke tempat panas sekiranya pokok sudah kuat dan sihat.

Tips untuk menanam anak pokok perilla hijau ialah tanam ikut paras media pada anak pokok tersebut atau lebih sedikit pun boleh. Jangan tanam hingga terbenam anak pokok. Sampai kiamat pun pokok tak akan tumbuh.

Pembajaan dan penjagaan

Siram anak pokok perilla dua kali sehari sekiranya media mula mengering. Jika media amsih lembab biarkan dahulu. Perilla hijau tidak suka akan lebihan air dalam media.

Cabut rumput rumpai dan buatlah pengemburan tanah untuk pengudaraan yang baik. Anda boleh meletakkan sungkupan pada batas seperti jerami, rumput kering, kertas dan sebagainya untuk mengelak rumput rumpai tumbuh di kawasan tersebut dan disamping itu dapat melembabkan tanah/media.

Pembajaan anak pokok dilakukan dua kali seminggu. Disyorkan menggunakan baja organik yang kaya dengan nitrogen. Tabur 2 sudu makan baja organik disekeliling anak pokok perilla hijau dalam pasu dan gemburlah tanah tersebut lalu disiram. Bagi batas pula, tabur 2 sudu makan disekeliling anak pokok dan gembur tanah agar baja sebati dengan tanah. Jangan lupa disiram. Oleh kerana pokok ini dituai daunnya maka gunalah baja organik yang kaya dengan nirogen untuk pertumbuhan pokok yang sihat, daun lebar dan sihat. Tidak perlu menggunakan baja buah sebab bukan buah atau bunga yang dituai.

Penjagaan serangan penyakit

Mengikut pengalaman tanomkinotuan, pokok perilla hijau disukai oleh siput dan belalang terutamanya masa anak pokok. Siput babi suka memakan daunnya. Kadang-kadang belalang boleh menghabiskan satu anak pokok perilla hijau dalam satu malam. Oleh itu guna racun serangga organik untuk mengawal belalang untuk memakan daun perilla hijau. Anda juga boleh menggunakan telur ayam yang dihancurkan secara kasar dan tabur banyak-banyak di sekelilingnya. Untuk hasil yang baik guna kuantiti yang banyak.

Apid juga sangat menyukai pokok ini. sekiranya apid bermaharajalela di kebun anda, sudah pasti pokok perilla juga akan dijangkitinya. Apid menghisap sap/cecair pokok menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Cara mengatasinya ialah guna semburan racun organik yang boleh dibeli di kedai atau nusery. Anda juga boleh membuat sendiri racun serangga organik dengan menggunakan bawang putih, halia, minyak makan dan cili padi. Kisar semuanya dan tambah sedikit air untuk dicairkan. Sembur pada apid, lakukan penyemburan hingga apid hilang.

Tuaian daun perilla hijau


Setelah sebulan hingga dua bulan pokok perilla hijau anda sudah pun besar dan matang. Anda sudah boleh menuai daunnya untuk menu anda. tuai daun yang sihat, dan bersaiz besar. Rendam seketika dan cuci bersih toskan dan bolehlah disimpan dalam peti sejuk. guna apabila perlu.

Daun perilla hijau dimakan seperti salad. Ada pelbagai cara memakannya seperti ambil sehelai daun perilla hijau letakkan sehiris daging tidak kiralah daging masak apa atau ikan. daging ayam juga boleh. Letakkan sayur mayur sedikit, sos dan sebagainya. lipat daun dan bolehlah dimakan. Apa kata tanamlah pokok perilla hijau di laman rumah anda. Pokok perilla hijau menyajikan menu yang enak dan sedap.

Selamat bertani dan menuai hasil.  

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

10 komen

Tksh atas info berkenaan cara2 penanaman benih pokok perilla. Baru skrg jumpe wpun dh lama mncari. Saya dah ada benihnya & akan cuba ikut cara2 penanaman diberi. Nak tahu benih perilla jenis yang mudah hidup/dijaga atau sensitif @ susah utk hidup. Tksh

Hai Fira!

selamat datang ke blog.. tak susah, benih senang cambah pastikan media lembab dan siram atau spray media jika agak kering. Apabila pokok perilla sudah bercambah ia mudah dijaga seperti sayuran lain..

Tksh reply... Carlz Jafran di Msia ke... if Msia boleh tak nk order pokok perilla... sng terus jaga saja... hihi

Tksh reply... Carlz Jafran di Msia ke... if Msia boleh tak nk order pokok perilla... sng terus jaga saja... hihi

Anak pkk perilla hijau mmg ada tp masih saiz kecil. tunggu dah besar sikit sy war2kan kat blog ye

Saya dh cuba semai benih perilla tapi tkde 1 pun yg tumbuh.... mmg frust tapi saya ada beli lagi benih2 tersebut.... boleh kongsikan cara yg betul @ bagaimana nak tahu benih tersebut boleh guna @ tidak..
(Sy juga ada beli benih rasbery tapi belum cuba semai..)

pastikan media bebas penyakit. benih perilla hijau juga harus guna media lembab bukan terlalu basah. Tabur di atas media dan siram letak ditempat teduh tetapi masih terkena haba. Tunggu benih bercambah. Benih perilla akan bercambah setelah 7-14 hari setelah disemai.

Hi Carlz, boleh jualkan anak pokok perilla?

Ank pkk x der. Benih je ada jual. Rm2 sepeket

boleh hubungi secara whatsapp utk mengetahui lebih lanjut?


EmoticonEmoticon