Sabtu

PANDUAN MENGAKARKAN ROSEMARRY DARIPADA KERATAN BATANG

Tags


Hobi berkebun yang ada dalam diri seseorang tidak kesah bermain dengan tanah, alatan tangan, baja berbau busuk khususnya tinja binatang. Tidak ada perasaan jijik, malu atau bosan dalam aktiviti ini. Paling mendapat kepuasan yang sebenar ialah apabila tanaman yang ditatang bagai minyak yang penuh dari sekecil benih hinggalah mengeluarkan hasil ialah masa menuai hasil. Kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata mahupun pena. Inilah yang mendorong para pekebun sambilan atau hobi bercucuk tanam di laman rumah untuk menyukai hobi ini. Dalam pasu pun boleh jadi asalkan cahaya matahari cukup.

Tambahan pula bagi mereka yang suka mengumpulkan tumbuhan herba untuk ditanam di laman rumah. Segala jenis kunyit, halia, serai, sambung nyawa, rumput baijing dan sebagainya, kalau mahu ditanam hingga penuh laman. Tidak cukup dengan itu, pokok herba luar negara juga hendak dikoleksikan. Hehe. Yang berjaya menanam pokok herba luar negara harus bangga dan tanomkinotuan memang salute lah. Sebabnya pokok-pokok herba luar negara agak cerewet sikit bila ditanam di negara kita terutamanya pokok herba asal wilayah mediterranian yang menerima julat hujan yang sedikit berbanding negara kita. 

Hari ini tanomkinotuan tidak bercakap mengenai jenis-jenis herba. Hari ini kita berkongsi panduan menanam pokok herba rosemarry melalui keratan batang. Kadang-kadang terbaca rungutan kawan-kawan kita di mana sukar mencambahkan keratan rosemarry. Di sini tanomkinotuan membincangkan secara ringkas cara mengakarkan keratan batang herba rosemarry sebelum ditanam ke polibag atau pasu. 


Pokok herba rosemarry berasal dari wilayah mediterranian yang menerima hujan hanya sedikit. Untuk makluman semua pokok rosemarry tidak memerlukan air yang banyak untuk meneruskan hidup seharian. Cukup media lembab sudah baik untuk pokok rosemarry untuk tumbuh dengan baik. 

Untuk memulakan pembiakan rosemarry melalui keratan batang. Harus memilih pokok rosemarry yang sihat dan bebas penyakit. Pilih keratan batang bersaiz besar dan cantik.



Dengan menggunakan pisau tajam, potong pucuk muda diantara batang coklat dengan putih. Lebih baik lebihkan sedikit ke kawasan batang yang berwarna coklat. Batang coklat bermaksud batangnya sudah kira matang dan bersedia untuk pengeluaran akar apabila dibiakkan. 

Namun kadang-kadang pemotongan keratan batang yang berwarna putih juga boleh berakar dalam kes-kes tertentu cuma agak lambat dan ini membenarkan keratan batang tersebut membusuk sebelum mula proses pengeluaran akar.




Inilah hasilnya pucuk muda yang dikerat untuk pembiakan. Terdapat dua cara sama ada anda lurutkan daun bawahnya sebelum direndam atau biarkan sahaja. Terpulang dengan anda. Tanomkinotuan biarkan sahaja daunnya tanpa dibuang. Rendam sahaja dalam air.



Gunalah apa-apa bekas untuk merendam keratan batang rosemarry. Anda boleh guna gelas, botol kecil dan sebagainya. Tanomkinotuan guna gelas plastik sebab botol tidak ada. 

Masukkan air setengah ke dalam gelas dan rendamlah keratan batang rosemarry selama 2 minggu ke 3 minggu. Tanomkinotuan tunggu selama 3 minggu untuk mendapatkan akar yang lebih panjang dan banyak. Tambah air jika didapati kurang dan tukar airnya selang 3 hari atau mengikut kesesuaian anda. Ini bertujuan agar jentik-jentik tidak membiak dalam air, tidak pasal-pasal anda dikompaun hanya disebabkan rosemarry. Haha...

Letaklah ditempat teduh tetapi masih terkena cahaya matahari waktu pagi atau petang. Boleh letak berhampiran jendela dapur, jendela bilik, balkoni atau seumpamanya. Pemilihan lokasi sangat penting untuk keratan batang tidak mati jika diletakkan di kawasan panas. 




Selepas 3 minggu beginilah hasilnya. Keratan batang pokok herba rosemarry kini sudah berakar halus dan panjang. Ketika ini keratan tersebut sudah boleh dialihkan ke polibag atau pasu.

Oleh kerana pokok rosemarry tidak sukakan jumlah air yang banyak. Maka gunalah media poros atau media yang tidak menakung/menyerap air terlalu lama dalam pasu. Datang ke nusery dan tanya tanah yang sesuai untuk pokok rosemarry. Mengikut pengalaman tanomkinotuan, majoriti penanam bunga atau yang mempunyai nusery banyak menggunakan tanah merah menanam pokok rosemarry dan terdapat juga penanam menggunakan media campuran. Maka dengan itu pilihan ditangan pembaca mana media yang difikirkan sesuai.

Masukkan media ke polibag atau pasu. Buat lubang ditengah dan tanamlah keratan batang rosemarry yang sudah berakar. Simpan ditempat teduh terlebih dahulu selama seminggu. Proses ini tidak diperlukan cahaya pagi atau petang. Tidak perlu... Sebab kenapa? Sebab masa ini kita perlukan pokok untuk sesuaikan diri pada media baru tanpa mengganggu pokok dari sinaran matahari. 

Setelah seminggu bolehlah dialihkan ke tepi jendela untuk penyesuaian pokok pada cahaya matahari pula. Apabila pokok sudah kuat dan mempunyai tumbuhbesaran yang ketara letaklah ditempat kawasan cahaya penuh untuk pertumbuhan yang seterusnya. Masalah meletakkan pasu pokok rosemarry di kawasan terbuka ialah hujan. Hujan lebat berturut-turut memungkinkan pokok rosemarry akan mati. Oleh itu letak dibawah teduhan lebuh sesuai atau di tempat balkoni berbumbung yang masih disinari cahaya matahari. Siraman terlalu kerap dengan jumlah air yang banyak juga boleh mematikan pokok. Oleh itu selagi media lembab tidak perlu disiram. 

Pokok rosemarry merupakan herba terbaik dalam memerap daging, bahan rempah dalam membakar daging dan sebagainya. Aromanya cukup menawan. Ia boleh mengurangkan bau daging kambing tersebut. Jom menanam pokok-pokok herba khususnya pokok rosemarry di laman rumah. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

6 komen

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

Terima kasih info ni bagus.Sy suka sb byk kali cuba tnm guna keratan tk berjaya..Sy ade herba taragon dan oregano yg ditnm.Masih bkeadaan baik..:-)

Semoga percubaan kali kedua memperoleh hasil yg memuaskan puan. In Sha Allah

Semoga percubaan kali kedua memperoleh hasil yg memuaskan puan. In Sha Allah

Sy dh 3x beli on9 pokok rosemary tapi akhirnya layu & mati... kenapa ye sdgkan masa dapat segar & akarpun byk. Tksh

Hai fiza!

Harus diingat bahawa pokok rosemarry bukan pokok tropika, bermaksud anda harus mengelak menggunakan media basah untuk mengalikan pokok rosemarry. Juga jangn siram hari2 mcm menyiram pokok tropika yang lain.

Tanam menggunakan media lembab/separa kering. Jgn guna media yng basah. pokok layu dan mati. Jangan siram terlalu kerap jika akar masih muda. Pokok rosemarry tak akan mati jika media kering pun cuma spray sedikit dgn air utk bagi lembab jgn basah lecun.

buh baja organik setelah pkk rosemarry dah strong. Caranya tanam baja dlm tanah. semoga bermanfaat


EmoticonEmoticon