Ahad

PANDUAN MENGALIHKAN ANAK POKOK ASPARAGUS KE BATAS/TANAH

Tags


Beberapa sahabat kita diluar sana mungkin bertanya adakah pokok asparagus boleh hidup subur di negara kita? Sebenarnya pokok asparagus ialah tumbuhan yang tumbuh pada musim panas dan ianya sesuai ditanam di negara kita. Tidak seperti di negara 4 musim, pokok asparagus akan luruh pada musim luruh dan menjadi dorment pada musim sejuk. Pada musim panas pokok asparagus tumbuh semula seperti biasa. Di negara kita pokok asparagus tumbuh sepanjang tahun dan ini membolehkan pertumbuhannya lebih cepat dan tempoh tuaian lebih pendek.

Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara menanam anak asparagus yang dialihkan ke batas atau pasu. Kaedahnya lebih kurang sama dan tanomkinotuan akan membincangkan kedua-duanya sekali.

Anak pokok asparagus plastik sudah dibuka


Pertama sekali datang ke nusery berhampiran dan bertanya sekiranya ada menjual anak pokok asparagus. Anda boleh memilih pelbagai variati asparagus yang ada seperti variati asparagus Marry washington, asparagus Martha Washington, asparagus pacific purple, Asparagus passion purple, Asparagus king Jersey dan sebagainya. Anak pokok asparagus selalunya ditanam dalam polibag saiz kecil. Apabila anda sudah mendapatkan anak pokok asparagus yang ditanam dalam pasu atau polibag kecil haruslah dipindahkan ke bekas atau pasu yang bersaiz besar atau lebih elok tanam di atas tanah untuk pertumbuhan maksimum. 

Jika anda menanam di dalam pasu, sediakan bekas pasu, polibag atau polistrin terbuang yang bersaiz besar. Guna bekas berdiameter 24' ke atas. Ini kerana akar pokok asparagus sangat banyak dan menggunakan bekas saiz besar agak praktikal untuk pernafasan dan pergerakan akar tersebut. guna media yang boleh dibeli di nusery atau kedai yang ada menjual tanah untuk pertanian. Media campuran lebih sesuai dan bagus untuk pokok asparagus anda. Masukkan mdia ke dalam pasu sehingga penuh. Hentak-hentakkan pasu tersebut atau tekan media ke bawah agar ruang-ruang udara dalam media dapat dikurangkan. Jika media kurang tambah semula tanah ke dalam pasu dan tinggalkan 2 inci ruang dari mulut bekas tanaman. Ini bermaksud media jangan penuh sangat sehingga separas dengan mulut bekas tanaman, ini menyukarkan kita untuk menyiram kemudian. Air akan melimpah keluar.

Buat lubang ditengah pasu atau polibag mengikut saiz media pada anak pokok. Sekirannya tanah anak pokok 6 inci maka lubang haruslah dikorek sedalam 8 inci. Masukkan segemggam kompos atau baja tinja binatang dan timbus dengan senipis tanah di tepinya. Ini bertujuan agar baja tidak bersentuhan secara langsung dengan akar pokok yang memungkinkan berlakunya akar melecuh atau terbakar oleh sentuhan baja. Tanggalkan polibag pada anak pokok secara berhati-hati menggunakan pisau tajam dengan menoreh polibag tersebut dari atas ke bawah. Jangan tertoreh akarnya pula. Buka polibag tersebut dan masukkan ke dalam lubang yang telah dibuat tadi. Timbus semula lubang tersebut dan padat-padatkan secara perlahan-lahan. Jangan lupa menyiramnya dengan air yang cukup.


Bagi mereka yang menanam anak pokok asparagus di atas tanah pula haruslah membuat batas (raised bed) sekiranya anda menanam anak pokok asparagus melebihi 5 pokok. tetapi jika menanam sepokok dua ikut langkah asas ini. Pertama korek tanah sedalam 2 x 2 kaki perseki sedalam 1 kaki. Buat pengemburan tanah dan tambah kompos dan kapur pertanian jika perlu. Setelah selesai pengemburan dan penaburan kompos buat lubang mngikut saiz polibag anak pokok asparagus. Buka plastik polibag pada anak pokok secara berhati-hati dan tanam anak pokok pada lubang yang disediakan. Timbus semula dan siram dengan air yang banyak.


Sekiranya anda memilih untuk menanam pokok asparagus di atas tanah sila pilih kawasan atau lokasi yang menerima cahaya matahari dari pagi atau petang atau sekurang-kurangnya menerima cahaya matahari melebihi 6 jam sehari. Pokok asparagus memerlukan cahaya matahari yang cukup untuk pertumbuhan dan mengeluaran tombak muda (young shoots) yang banyak. Sebaliknya pokok asparagus menjadi kurus, menghasilkan tombak yang kurus dan tidak sihat dan tidak produktif mengeluarkan tombak baru jika ditanam dilokasi yang menerima cahaya matahari yang kurang dari 6 jam sehari. Jadi kita sudah tahu faktor penyebab mengapa pokok asparagus hasilkan tombak yang bersaiz kecil. Sila ambil perhatian perkara ini untuk mengelak masalah yang akan dihadapi di masa akan datang. 



Pokok asparagus akan mula membesar selepas 2 minggu ke 3 minggu dengan munculnya tunas/tombak baharu dari dalam tanah. Ini menandakan pokok asparagus anda selesa ditempat baru. lakukan pembajaan 2 minggu sekali untuk hasil yang baik. Sekiranya pokok asparagus anda cukup nutrient, kelembapan dan cahaya maka pokok tersebut akan senantiasa hasilkan tombak baru yang akan dituai sebagai sayuran. Perlu diingatkan tuaian tombak asparagus haru dilakukan apabila pokok asparagus anda sudah mencapai usia 2 tahun setengah kecuali anda menanam dari crown asparagus usia 3 tahun lebih, anda hanya menunggu selama 3 bulan sahaja untuk tuaian pertama.

Jika menanam pokok asparagus dan mahukan tuaian tempoh pendek tanamlah crown asparagus (mahkota akar asparagus), jika nak tanam asparagus dan tidak tergesa-gesa hendak menuai, tanam menggunakan benih atau anak pokok usia sebulan. Tidak berniat menanam pokok asparagus? Jom menanamnya untuk keplebagaian sayuran dapur kita...

selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon