Ahad

BUNGA MATAHARI GERGASI MONGGOLIA: POKOK DAN BIJINYA MENGUJAKAN

Tags






Tanomkinotuan sebenarnya jarang menanam pokok-pokok bunga di laman rumah. Tanomkinotuan hanya menumpuhkan sayur-sayuran dan herba dalam dan luar negara sahaja. Lazimnya adik perempuan tanomkinotuanlah yang mengambil alih tugas menanam pelbagai jenis bunga di halaman rumah yang sudah pun sempit dipenuhi pokok bunga. Tetapi tanomkinotuan berkecuali terhadap bunga matahari, tanomkinotuan ada menanam beberapa variati bunga matahari dan salah satunya ialah variati Monggolian Gaint Sunflower.

Bunga Matahari Monggolia Gergasi adalah satu variati bunga matahari jenis pokoknya dan benihnya bersaiz besar sekali diantara pokok dan benih yang lain. Ketinggian pokok boleh mencecah 3 hingga 5 meter manakala saiz bunganya pula berukur lilit 18' hingga 24' inci setiap satu jika dijaga dengan betul. Daunnya juga bersaiz besar berwarna hijau.

Awal tahun ini, tanomkinotuan tercari-cari benih untuk ditanam. Puas sudah tanomkinotuan mencuba benih-benih yang biasa dijumpai di tempat sendiri jadi dengan memulakan mengetik laptop mencari laman-laman sesawang yang berkaitan sambil tanomkinotuan berfikir ligat benih apa yang dimahukan. Belum sempat akal ini memutuskan apa-apa tanomkinotau ternampak benih bunga matahari yang dijual. Nampak jelas nama tertera pada item tersebut iaitu Monggolian Gaint Sunflower. Maka akal ini mengambil keputusan untuk membelinya, kenapa tidak mencuba benih baharu betul tidak? kadang-kadang menyemai dan menanam benih baharu memperlihatkan kepada kita cabaran, rintangan dan boleh menambah pengetahuan dalam penelitian ciri-ciri sesuatu tanaman itu agar akan datang kita dapat menanamnya dengan lebih baik lagi.

Dua minggu kemudian benih bunga matahari monggolia gergasi sudah ada ditangan. Kini cabaran untuk menanamnya pula. Pertama tanomkinotuan rendam benih bunga matahari monggolia gergasi selama 1 jam lebih. Biar benih di dalamnya sedikit kembang. Dengan berhati-hati tanomkinotuan kopek kulitnya dan mengeluarkan biji putih di dalam kulit benih tersebut. Dengan menggunakan kontena plastik lutsinar tanomkinotuan hamparkan beberapa helai tisu di dalamnya dan menaburkan beberapa benih bunga matahari monggolia gergasi yang telah dikopek kulitnya. Kemudian dilapisi dengan sehelai tisu di atasnya pula bertujuan sebagai melembabkan benih tersebut agar tidak mudah kering. Tanomkinotuan spray keseluruhannya untuk dilembabkan dan sedikit basah, jangan pula air bertakung dengan banyak dan jangan pula agak kering.

Kontena tadi ditutup dan diletakkan di tempat terkena cahaya matahari pada waktu pagi atau petang. Suhu diperlukan dalam kontena agar dapat mempercepatkan benih bercambah. Kita boleh melihat dengan sendiri apabila dalam kontena tersebut menghasilkan wap air yang tersejat. Hanya 3 hari sahaja proses percambahan menampakkan kejayaan dengan benih tersebut telah pun memunculkan akarnya yang pendek.

Dengan percambahan ini, tanomkinotuan alihkan benih bunga matahari monggolia gergasi ke polibag yang menggunakan media campuran buatan sendiri. Setelah anak pokok sudah mempunyai 4 helai daun tanomkinotuan pindahkan ke tanah di ruang hadapan rumah dengan membuat sedikit batas. Batas tersebut digembur, dibubuh kompos dan kapur pertanian. Kemudian anak pokok bunga matahari ditanam di atas tanah. Pada awalnya pertumbuhannya sangat terseksa, tiap-tiap malam diganggu oleh serangga pemakan daun. Setiap hari daun-daun anak pokok bunga matahari akan bertukar corak lubang-lubang yang diukir oleh serangga daun. Namun aktiviti ini terhenti apabila pokok sudah membesar.




Tidak rumit menjaga pokok bunga matahari monggolia gergasi. Cukup sekadar disiram dengan air 2 kali sehari jika musim kemarau dan ditabur baja organik 2 kali seminggu. Apabila pokok sudah agak-agak mengeluarkan bunga tabur baja bunga untuk membantu pokok menghasilkan bunga bersaiz besar dan cantik.

Kita akan dapat tahu apabila pokok bunga matahari ini sudah mula hasilkan kudup bunga. Pada hujung pokok terdapat kudup mula membesar yang masih diliputi kelopak warna hijau. Perlahan-lahan kudup tersebut membesar dan terbuka sendiri memperlihatkan bunga matahari yang cantik. Tempoh ini mengambil masa 7 hingga 13 hari untuk kembang sepenuhnya. Tidak seperti bunga matahari yang lain, pokok bunga matahari monggolia gaint hanya mempunyai satu bunga untuk satu pokok. Jadi pokok dapat menumpuhkan segala nutrient kepada satu bunga sahaja. Akan mengembang sepenuhnya selepas 13 hari terhasilnya kudup bunga. Melalui pengamatan tanomkinotuan bunganya boleh bertahan selama 7 hari atau lebih. Selepas itu bunganya secara perlahan-lahan mula layu dan mengering meninggalkan benih-benih yang akan matang tidak lama lagi. Jangan bimbang jika bunga matahari anda menunduk seperti dalam gambar 2 di atas. Pokok sangat kuat menahan bunganya sehinggalah kering.

Periksa biji bunga matahari tersebut dengan teliti jika sudah cukup sifat pengeringannya. Tanda-tanda yang perlu diketahui sebelum menuai biji bunga matahari ialah kelopak hijau di tepi bunga tersebut harus menampakkan kekeringan, biji benihnya sudah cukup matang (kehitaman sedikit) dan keseluruhan daunnya mula mengering. Apabila terdapat tanda-tanda seperti di atas anda sudah boleh menuai bunganya untuk proses kedua iaitu pengeringan secara menual. Letak bunga matahari yang dituai ditempat terik matahari agar benih cepat kering.





Inilah bunga matahari monggolia gergasi yang dituai tempoh hari. Kelopak disekitarnya sudah mula kering, benih matang sepenuhnya. Tanomkinotuan tuai dan keringkan di bawah cahaya matahari. Anda juga boleh biarkan bunga-bunga tersebut kering secara semula jadi di pokoknya tanpa dituai terlebih dahulu dengan syarat masa itu adalah musim kemarau. Musim hujan akan merosakkan benih bunga matahari jika dibiarkan pada pokok walaupun bunga tersebut sudah boleh dituai.

Menariknya bunga matahari monggolia gergasi ini bijinya boleh dimakan. Disebabkan benih bersaiz besar ia boleh disanggai di atas periuk tanpa minyak, masak hingga biji-biji menjadi ranggup dan sejukkan. Boleh dimakan sebagai makanan ringan bersama keluarga sambil menonton TV. Mengujakan bukan? 





Gambar di atas adalah perbandingan benih 4 jenis atau variati bunga matahari yang dimiliki oleh tanomkinotuan. Melihat saiz benih Monggolian Gaint Sunflower 5 kali ganda lebih besar di antara tiga jenis bunga matahari yang lain. Dari arah kiri (atas) ialah benih bunga matahari (Gaint sunflower small seeds) dan  Bunga Matahari Lemon Queen, Dari arah kiri (bawah) Bunga Matahari Monggolia Gergasi dan Bunga Matahari Green Heart.

Untuk berkongsi dengan kawan benih monggolian gaint sunflower sudah habis terjual. Adapun benihnya untuk tanomkinotuan semai semula pada tanaman seterusnya. Mudah-mudahan benih bunga matahari ini tumbuh elok pada tuan baharu.

Kepada mereka yang berminat menanam bunga matahari, tanomkinotuan ada menjual 3 variati benih bunga matahari seperti:

1. Gaint Sunflower (small seeds)
2. Lemon Queen Sunflower
3.. Green Heart Sunflower

Harga kasih sayang iaitu rm2.00 untuk 15 biji sepeket dan berikut harga untuk membeli dengan jumlah yang banyak:

RM10 - 250 biji
RM30 - 500 biji
RM50 - 1500 biji
RM100 - 4000 biji

Jika pembaca berminat untuk mendapatkan benih bunga matahari ini, emailkan ke borosmomogun@gmail.com atau whatsapp ke 019-5320756 (jus) untuk proses pembayaran dan pengeposan. Terima kasih....

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

saya tunggu tuan ada benih mongolia ni baru order :D :D

shaimading ada sudah benih monggolian gaint


EmoticonEmoticon