Rabu

CARA DAN PANDUAN MENANAM BUNCIS KUNDASANG DALAM POLIBAG

Tags


Anak pokok buncis kundasang

Buncis adalah jenis tanaman atau sayuran yang banyak ditanam di negara kita secara ladang oleh pekebun-pekebun khususnya di kawasan Cameron Highland di Semenanjung dan Kundasang, Ranau Sabah. Dua tempat ini merupakan pusat penanaman sayuran berskala besar bagi menampung permintaan pasaran. Buncis adalah sayuran buah yang dijadikan sayur yang enak. Pernahkah anda mencuba memasak buncis masa telur kuning masin dengan bawang putih? Amat enak dan mengujakan. Benih buncis kundasang ialah salah satu jenis buncis yang ada di Sabah dan banyak di tanam di Kundasang bagi pasar memenuhi pasaran tempatan. Selain buncis kundasang satu lagi variati yang lazim ditanam ialah buncis bulat yang juga bnyk ditanam di Semenanjung dan Sarawak.

Disini tanomkinotuan ingin berkongsi panduan menyemai benih buncis kundasang. Terdapat banyak cara menanam atau menyemai buncis kundasang sama ada semai secara langsung ke tapak tanaman atau cambahkan dahulu pada bekas semaian kemudian dipindahkan ke tapak semaian atau pasuu. Tanomkinotuan akan menyinggung kedua-dua cara ini untuk maklumat kepada pembaca.


Semaian benih dalam polibag kecil/kontena/tray semaian:
Bahan dan alatan yang diperlukan ialah seperti di bawah:

1. polibag saiz kecil
2. Media campuran (potting soil)
3. Benih buncis kundasang
4. Air untuk menyiram

Bagi memulakan menyemai benih kundasang dalam bekas semaian seperti polibag saiz kecil. Perlulah menyediakan bahan-bahan di atas dahulu. Gunalah media campuran yang berkualiti yang banyak di jual di nusery. Ciri-ciri media campuran yang baik ialah terdapatnya cocopeat/peatmoss, perlite, vemiculite, jerami, kulit kayu dan kompos. Anda juga boleh menggunakan kompos 6 dalam 1 yang banyak dijual di pasaran.

Masukkan media campuran dalam polibag hingga penuh. Kemudian buat lubang 1 inci di tengah media dan masukkan 2 biji benih di dalamnya. Tujuan memasukkan 2 benih ke dalam 1 lubang ialah persediaan awal jika sebiji benih itu tidak tumbuh makan sebiji lagi boleh menjadi penganti dan tidak perlu disemai semula, jimat masa dan tenaga. Namun jika kedua-dua benih tersebut bercambah anda boleh sama ada biarkan dua pokok tersebut hidup subur atau buang sepokok dan tinggalkan sepokok yang sihat dan anak pokok berkualiti. Timbus semula lubang tersebut dan siram dengan air secukupnya. Untuk proses percambahan yang baik, letaklah polibag anda di tempat panas. Tidak menjadi soal sekiranya ia terkena langsung dengan terik matahari atau hujan mencurah-curah. Benih buncis kundasang bersaiz besar dan ia mampu mengharungi kedua-dua keadaan cuaca tersebut dengan syarat benih buncis kundasang masih baharu dan berkualiti tinggi.

Mengikut pengalaman tanomkinotuan, benih buncis kundasang mula bercambah (keluar dari permukaan tanah) selepas hari ke5 disemai. Anda akan nampak kotolidonnya mula memunculkan diri dari celah-celah media. Ini menandakan semaian anda berjaya.

Apabila anak pokok buncis kundasang anda sudah mengeluarkan daun sebenar dan mula menjalar, pindahkan anak pokok pada batas (jika anda ingin menanamnya di batas) atau pindahkan ke pasu dan letaklah pasu anda di tepi pagar atau penghadang balkoni rumah anda bagi ia memudahkan menjalar dengan sempurna. Jika tidak anda boleh memancangkan sebatang kayu yang tahan lasak sebagai junjung bagi memudahkan pokok buncis kundasang menjalar ke atas. Jagalah pokok buncis kundasang anda seperti mana anda menjaga pokok sayuran lain dengan menyiram dua kali sehari jika cuaca panas (media lembah tidak perlu disiram sangat), membaja 2 minggu sekali dan merumput jika perlu.


Semaian langsung ke batas
Semaian kedua yang boleh anda praktiskan apabila menyemai benih khususnya buncis kundasang ialah semai langsung ke batas. Tidak ada kerisauan menyemai terus ke tanah kerana benih buncis kundasang bersaiz besar dan tidak ada amsalah jika anda menggunakan kaedah ini. Kaedah ini sesuai diaplikasikan jika anda mempunyai ruang yang besar dan luas.

Pertama, anda harus membuat pemgemburan tanah dan membuat batas. Korek tanah sedalam 1 kaki dengan lebar x panjang ialah 2 x 8 kaki persegi. Panjang batas terpulang dengan anda kerana hanya anda yang tahu keluasan tanah laman anda untuk tanaman buncis ini. 

Gembur tanah menjadi serpihan-serpihan halus, segala benda seperti batu, pecahan tile, akar dan sebagainya harus dibuang. Sesudah digembur dan dibuat batas, Tabur kompos atau baja organik subur. Ini bertujuan untuk membaikpulih tanah tersebut agar kaya dengan nutrient. Gunalah tinja ayam terproses atau kompos tumbuhan yang banyak dijual di pasaran. Jika didapati tanah anda berasid dengan menggunakan penyukat PH tanah, batas tersebut harus ditambah kapur pertanian dengan segenggam atau 2 genggam sudah memadai (mengikut ukuran batas di atas), jika anda tidak mempunyai kapur pertanian, anda boleh mengumpulkan daun kering, rumput kering, surat khabar dan kertas terbuang dan letakkan ke atas batas dan bakar. Abu pembakaran tadi dapat membekalkan kandungan kalsium, magnisium dan fosforus pada tanah dan beberapa nutrient lain untuk tujuan membaikpulih tanah.

Apabila batas sudah dibentuk, buat lubang 1 inci ditengah batas dengan jarak antara lubang kira-kira 8 hingga 10 inci. Semai 2 biji dalam satu lubang dan timbus semula tanah. Kemudian siram dengan air secukupnya. Anda boleh membuang sepokok anak buncis jika kedua-dua benih tersebut bercambah atau biarkan juga tidak ada masalah.

Sementara menunggu pokok bercambah anda boleh membuat junjung kayu sebagi menyokong pokok memanjat pada amsa akan datang atau menggunakan tali rafia yang mudah dibeli di kedai berhampiran. Untuk mengekalkan kelembapan batas, bolehlah mengumpulkan daun kering dan rumput kering untuk diletakkan pada batas untuk tujuan di atas dan juga dapat mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai.

Apabila anak pokok sudah mula menjalar bolehlah menaburkan baja organik subur dan pokok di ajar untuk memanjat pada tali atau kayu yang disediakan. Dengan hati-hati, ambil pucuk pokok dan lilitkan ke tali atau kayu. Jika boleh ikat dengan tali tetapi jangan kuat sangat memadai dengan mengikat secara sederhana. Yang penting pokok tersebut menemukan tali atau pancang yang disediakan.

Maka dengan itu jagalah pokok buncis kundasang anda dengan memberikan cukup air, baja 2 minggu sekali dan merumput. Sebulan dari itu pokok anda sudah menghasilkan bunga-bunga berwarna putih dan kuning pudar yang cantik hingga mengundang kehadiran pendebunga di sekitarnya. Jangan bimbang serangga pendebunga tersebut tidak menjejaskan pokok anda tetapi jika kehadiran sebut hitam yang banyak hati-hati, sila periksa pokok anda kerana dengan adanya semut hitam datang ke dahan pokok buncis anda bermaksud bena sudah menyerang pokok buncis anda. segeralah hapuskan dengan menyembur racun serangga organik.

Maka dengan itu, tanomkinotuan menyarankan anda mencuba menanam buncis kundasang ini di laman rumah anda. ia boleh ditanam dalam pasu atau batas. Rasa buahnya sedikit manis berbanding buncis biasa. Orang Cina Sabah memang menyukainya. Jom berkebun..

Selamat bertani dan menuai hasil...

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon