Rabu

SEMAIAN BIJI BENIH MULA KELIHATAN DI PERMUKAAN TANAH.

Tags


Tanaman musim kedua tahun ini 2016 kini bermula lagi selepas tanaman musim kedua kian di penghujung. Hari ini tanaman musim ketiga pula menyusul. Hari tu tanaman kebanyakan ditanam ialah sayur berdaun seperti sawi kerinting, sawi putih, sawi putih taiwan, kacang panjang renek, sorghum, kobis dan kobis bunga. Masih terdapat jagung korea dan kacang tanah dalam proses pematangan dan tidak lama lagi bolehlah dituai.

Untuk tanaman kali ketiga pula tanomkinotuan bertemakan sayur buah dan sedikit sayur daun luar negara. Tanomkinotuan mahu mencuba sayur luar negara yang menyukai suhu sejuk. Jika menjadi alhamdullilah rezeki dapur tetapi jika sebaliknya tanomkinotuan redha ketentuan rezeki dariNya.

Kali ini tanomkinotuan mencuba menanam semula benih yang pernah ditanam tahun-tahun yang lepas. Kejayaan menanamnya satu kepuasan yang tidak terhingga. Apa salah mencuba lagi, hasil yang diperolehi boleh menjadi bekalan dapur sebulan dua, jimat belanja sayur yang dibeli di pasar. Betul tak? Berikut gambar anak pokok tanaman musim ketiga yang berjaya diambil tadi pagi:




Anak pokok zucchini hijau atau dalam bahasa Englishnya ialah black zucchini, mereka memanggil black zucchini kerana kulitnya seakan-akan hitam dan bagi membezakan variati-variati zucchini yang banyak wujud di sana. Namun di sini bolehlah dirujuk kepada zucchini hijau sebelum lambakan variati zucchini yang lain. haha, memandai jer...

Makluman kepada pembaca bahawa pokok zucchini adalah salah satu tanaman yang memerlukan makanan yang banyak aka nutrient yang tinggi dalam tanah. Oleh yang demikian jika anda menanamnya pada batas, pastikan bubuh kompos dengan jumlah yang banyak. Di sini bolehlah menggunakan tanah kelapa sawit asli tanpa campuran apa-apa media/bahan. Ia banyak dijual dan harga berpatutan.

Caranya gembur tanah batas tersebut dan bubuh kapur pertanian mengikut saiz batas anda. Seterusnya tuang kompos tanah sawit setinggi 5 inci secara keseluruhan batas dan gaul sebati. Anda juga boleh meletakkan jerami, rumput kering yang telah reput pada batas bagi menambah kuantiti nutrient dalam batas. barulah semai benih zucchini tersebut. Sebulan lebih pokok sudah mengeluarkan bunga jantan dan betina. 





Ini kali kedua tanomkinotuan menanam pokok swiss chard, pertama tanomkinotuan menanam variati swiss chard jenis putih dan hari ini tanomkinotuan menyemai variati swiss chard jenis Faint Fordhook, pokok ni jenis putih juga cuma pokok agar besar sedikit. Ia boleh semai terus ke tanah dan boleh dicabut untuk dijarakkan atau ditanam semula ditempat sesuai. Gambar di atas adalah disemai secara rawak. Bila dah berdaun 4 tanomkinotuan alihkan untuk ditanam secara teratur. 





Anak pokok French Bean Bush atau buncis perancis renek ini juga sudah mula kelihatan di permukaan tanah. Disemai pada pada hari ahad sebelum raya korban keesokan harinya, hari ini sudah boleh nampak anak pokok yang comel. Benih warna putih dan bersaiz kecil. Benih french bean bush juga sesuai ditanam terus dalam tanah kerana benihnya agak besar sedikit. 




Oleh kerana bekalan benih timun mini tanomkinotuan tinggal sedikit (hanya tinggal beberapa pek lagi) maka tanomkinotuan menyemainya semula untuk bekalan benih yang seterusnya. Jadi para pembaca yang berminat membeli timun mini ini kena tunggu benih daripada anak pokok dalam gambar ini. Kira-kira 2 bulan setengah hingga 3 bulan lebih sudah ada benihnya. Tanomkinotuan akan war-warkan juga pada masa akan datang.





Benih kale variati forage ini juga mula bercambah dengan baik. Sayur kale seakan-akan pokok sayur kailan cuba berbeza dari segi daun yang membujur panjang. Daunnya enak dimakan sebagai sayur. 





Kali kedua menyemai kacang pea hijau pada batas. tahun lepas kacang pea tanomkinotuan tidak begitu menjadi akibat cuaca panas melampau. Oleh kerana musim ini adalah musim hujan dan suhu agak sederhana panas, bercambahlah benih kacang pea hijau tanaomkinotuan. Tanomkinotuan tidak mengharap ianya tumbuh dengan baik. Kita tahu pokok ini menyukai suhu sejuk dan amat sesuai ditanam di tanah tinggi. Kawasan tanomkinotuan tanah rata yang panas membahang pada musim panas.





Ini pula ialah anak pokok timun marketmore , antara benih yang disemai tempoh hari. Buah timun ini seperti timun jepun yang hijau gelap dan buah kurus panjang. Lebih ranggup dan manis jika dimakan mentah. Enak sangat. Abaikan gonggok merah di gambar tu, dia pun hendak selfie juga masuk blog wakakakaka...





Ni pula anak pokok buncis renek ungu. Pokok tidak perlukan junjung sebab pokok jenis renek. Ia seperti kacang panjang renek tersebut. Oleh itu kepada mereka yang tinggal di kawasan perumahan yang mempunyai ruang menanam terhad boleh menanam buncis renek ungu ini dalam pasu. Ini kali pertama tanomkinotuan menanam buncis renek ungu, tanomkinotuan sudah mempunyai benih buncis ungu jenis memanjat. Kita lihat apa kesudahannya nanti. 





Akhir sekali pada gambar di atas ialah anak pokok salad berdaun ruby. Salad dicambahkan di atas batas tanpa disemai pada tray semaian. Jika tidak mendapat gangguan dari semut dan serangga lain ia tumbuh dengan baik. Mungkin serangan semasa proses percambahan agak kurang menyebabkan benih keluar dari permukaan dengan jayanya. Tanomkinotuan akan alihkan anak pokok ini setelah ia berdaun 4 dan perlu diletakkan jaring hitam sebagai teduhan bagi mengurangkan kematian anak pokok.

Begitulah senarai anak pokok yang sudah berjaya bercambah dan masih menunggu cambahan benih seperti benih gandum syria, kacang thorogreen, lobak merah lady finger, bendi spineless, bunga matahari mammoth kelabu dan bayam spinach. Akan datang tanomkinotuan akan updatekan perkembangan benih ini untuk perkongsian kepada pembaca. Oh ya, agak sedih kerana pagi tadi bila menjengok kebun cambahan salad ruby leaf hilang macam tu sahaja. Habis segala akarnya dimakan oleh siput saya kira. Tapi kita redha mungkin belum rezeki untuk mendapatkan tanaman salad ruby leaf lagipun masih ada semaian salad ini yang pertama dan hidup subur.

Jomlah bertani kecil-kecilan dilaman rumah, guna pasu pun boleh asalkan ada kemahuan disitu ada jalan. hehe...

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon