Sabtu

POKOK KACANG ITIK TIDAK LAMA LAGI BOLEH TUAI

Tags


Bunga kacang itik


Tanomkinotuan amat menyukai menanam tumbuhan jenis kekacang sama ada jenis merimbun atau memanjat. Oleh kerana tanomkinotuan menyukai memakan kacang tanah rebus, maka tanomkinotuan sering menanam kacang tanah setiap tahun bagi merasai kacang rebus tanam sendiri. Bukan tidak ada menjual kacang rebus di sini terutamanya di tamu/open market tetapi lebih berbaloi dan satu kepuasan jika pokok kacang tanah yang ditanam membuahkan hasil lumayan. Senyuman pasti sampai ketelinga kata orang. Menanam kacang tanah tidak cerewet, cuma gembur batas, korek lubang dan tanamlah benihnya timbus. Tunggu selepas 3 bulan atau pokoknya mula mengering pasti anda terkejut podnya bergayutan.

Tanomkinotuan juga sering menanam edamame atau soy bean green iaitu pokok kacang soya yang dituai podnya sebelum usia pengeringan di mana kira-kira pod sudah berisi biji yang cukup sempurna. Semasa entry ini ditulis tanomkinotuan ada menanam edamame di KBR sebatas. Pokoknya semakin membesar dan tunggu berbunga dan berbuah. Tanomkinotuan menanam edamame variati midori gaint edamame. Edamame juga hanya dirtebus dan diletakkan sedikit garam.

Sekali lagi dengan keterujaan menanam jenis kekacang yang enak, tanomkinotuan mencuba nasib menanam kacang itik hasil pemberian sahabat dari negeri Kelantan Darul Naim. Kacang itik ini banyak ditanam di Kelantan sebagai kudapan sihat. Ia juga selain direbus boleh dimasak mengikut resepi kesukaan sendiri.


Buah kacang itik



Inilah dia buah kacang itik, tanomkinotuan kurang pasti mengapa kekacang ini dipanggil kacang itik, tidak sempat bertanya pula dengan sahabat tempoh hari. Walau bagaimana pun pokok kacang itik jenis memanjat dan merimbun apabila ditanam dikawasan tanah yang subur. Setiap batang menjalar tersebut akan ditumbuhi tunas baru yang juga akan menghasilkan bunga dan buah. Daun berbentuk bulat hati dan berdaun 3 serangkai dalam satu tangkai daun. Berbunga berbunga warna putih kira-kira 25 hingga 35 dalam satu gugus tangkai bunga. Sangat produktif menghasilkan buah. Namun tanomkinotuan pernah melihat bunga kacang itik berwarna ungu cerah, sungguh menawan.

Pokok kacang itik menyukai media yang kaya nutrient, lembab dan sesuai menerima cahaya matahari penuh dari pagi hingga petang. Tanam benihnya dulu pada bekas semaian sehingga mempunyai 2 hingga 4 helai daun kemudian bolehlah dipindahkan ke batas atau pasu. Diharuskan ditanam atau pasu diletakkan dikawasan terkena cahaya matahari bagi pertumbuhan maksimum dan berbuah lebat. Setakat ini pokok ini juga boleh diserang oleh apid putih dan hena, oleh itu harus disembur dengan racun perosak orgtanik atau menggunakan campuran racun organik daripada bawang putih, cili, sabun pencuci piring dan sedikit minyak yang digaul bersama dan sembur kepada pokok kacang itik yang diserang penyakit.

Agak lama juga menunggu pokok ini berbunga dan berbuah. Pokok harus menjalar dahulu dan merimbun barulah tangkai bunga keluar dari celah pangkal daun setiap batangnya. Jika pokok menerima cahaya matahari penuh maka banyaklah buah terhasil dan sebaliknya jika ditanam dikawasan terlindung buahnya sedikit terhasil. Oleh kerana pokok ini berbuah dan buahnya dimakan sebagai kacang rebus yang enak maka kurangkan menabur baja yang tinggi nitrogen. Lebihkan menabur baja buah yang tinggi magnesium. Boleh cari baja subur di kedai-kedai pertanian atau nusery berhampiran.

Untuk memastikan buah (pod) kacang itik ini boleh diambil atau tidak, ialah cuba lihat pod buahnya. Jika podnya agak berwarna hijau tua, podnya membengkak menandakan biji di dalamnya sudah matang sepenuhnya maka anda sudah boleh menuai buah-buah kacang itik tersebut untuk direbus atau dimasak mengikut kesukaan anda. Tanomkinotuan masih menunggu pod-pod kacang itik ini matang sepenuhnya untuk tuaian bagi merasa keenakan bijinya. terbaca testimoni dan pendapat kawan-kawan di semenanjung sana yang pernah menanamnya mengatakan bahawa kacang itik rasanya seperti kacang tanah rebus. Dengan demikian teruja tanomkinotuan hingga tidak sabar-sabar untuk menuainya. Inilah keunikan bertani, kita ada rasa tertunggu-tunggu akan hasil yang kita tanam.

Sepanjang pokok ini tumbuh membesar hanya sekali tanomkinotuan meletakkan baja subur dan 4 kali baja buah. Tidak perlu meletakkan baja subur banyak-banyak kerana jika ini berlaku, pokok kacang itik akan merimbun tanpa hasil buah yang banyak.

Harapan tanomkinotuan agar dapat merasai kacang itik ini untuk membandingkan rasa dan struktur isi dengan edamame dan kacang tanah. Adakah anda teruja menanam benih kacang itik? Pelihara itik pun bagus kan?

Selamat bertani dan menuai hasil.

 

M

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon