Khamis

Resipi Rahsia Serunding Tuhau Sabahan




Salam lebaran kepada semua pembaca.

Hari ini hendak berkongsi resepi serunding tuhau. Makanan kegemaran rakyat di Sabah terutamanya kaum Dusun dan Kadazan. Makanan ini adalah campuran beberapa bahan lain dan diperasakan dengan garam. Bagi mereka yang kurang mengenali pokok tuhau. Tuhau atau pokok tepus boleh dijumpai di hutan tebal. Baunya agak kuat dan sesuai dijadikan jeruk atau sambal cili tuhau. Berikut adalah resepi dan cara membuat serunding tuhau.

Bahan-bahannya:


50 batang umbut tuhau.
3 biji bawang holland saiz besar.
1 mangkuk cili putih borneo.
5 kuntum bunga kantan (paling bagus bunga yang sudah kembang).
1 mangkuk ikan bilis.
1/2 mangkuk kacang tanah.
Garam secukupnya.
Minyak untuk mengoreng.

Cara membuatnya:


1. Bersihkan umbut tuhau dan potong kira-kira dua inci kemudian hiris memanjang nipis-nipis. Kemudian jemur. Lagi nipis lagi baik agar cepat garing apabila digoreng. Ketepikan.

2. Cuci cili putih borneo dan hiris nipis. Ketepikan.

3. Cuci bunga kantan kemudian dileraikan dari tongkol bunganya. Elok terlerai satu persatu agar mudah garing ketika mengoreng. Ketepikan.

4. Bersihkan ikan bilis, toskan dan ketepikan.

5. Bersihkan kacang tanah dan ketepikan

6. Panaskan kuali, masukkan minyak dalam kuantiti banyak. Apabila minyak sudah panas goreng cili putih borneo terlebih dahulu. Goreng hingga keperangan tetapi tidak hangit atau menjadi pahit. Apabila sudah garing sepenuhnya angkat dan toskan. Tujuan cili putih borneo digoreng terlebih dahulu ialah agar gorengan seterusnya akan merasa pedas sedikit.

7. Kemudian goreng tuhau pula. Tuhau mengambil masa untuk garing. Apabila tuhau bergumpal ketika dikacau itu tandanya tuhau sudah garing dan bolehlah diangkat, toskan.

8. Seterusnya goreng bunga kantan hingga garing. Toskan

9. Lalu goreng bawang besar holland hingga garing. Mengoreng bawang holland sedikit sukar kerana perlu garing secukupnya bagi mengelak serunding tersebut menjadi lemau dihari kemudian. Dan ia boleh jadi hangit dan terasa pahit jika terlalu dimasak pula. Jadi disini kekreatifan anda memasak sangat-sangat diperlukan.

10. Akhir sekali goreng kacang tanah hingga garing, toskan.

11. Sejukkan kesemua bahan dan bolehlah melangkah ke proses seterusnya.

12. Dengan menggunakan besen bersaiz besar, bersih dan kering. Masukkan kesemua bahan dalam besen dan bubuh garam secukupnya. Gaul hingga sebati.

13. Masukkan ke dalam balang kedap udara dan simpan ditempat suhu bilik agar keranggupannya bertahan lama. Selesai.


Serunding tuhau enak dimakan bersama nasi dan menu lain. Ia sangat vesertile dalam apa juga situasi. Serunding tuhau boleh masuk pada semua makanan. Dimakan begitu sahaja sambil menonton tv pun boleh. Tetapi sediakan air untuk mengurangkan kemasinan dalam mulut.

Tips:


1. Lagi elok selepas tuhau, bunga kantan, bawang holland dan cili putih borneo dihiris tabur garam secukupnya agar meresap ke dalamnya. Agak-agak jumlah garam jangan terlebih kerana ikan bilis sudah cukup masin.

2. Untuk memudahkan bawang holland garing, gaul dengan sedikit tepung jagung dan tepung beras.

3. Supaya serunding tuhau lebih garing dan tahan lama seboleh-bolehnya bahan-bahan digoreng hingga benar-benar garing.

4. Anda juga boleh menambah bahan selain bahan diatas seperti bunga betik, hirisan halia digoreng dan lain-lain.


Selamat mencuba

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

4 komen

Terima kasih atas perkongsian ini tuan. Nk ty, kalau xda tuhau, ganti dgn bunga kantan boleh ke tuan?

rebus selama 15 minit dan jemur dan bubuh sedikit garam. kemudian goreng hingga garing.


EmoticonEmoticon