Selasa

Rewiew: Variati Lobak Merah ditanam di KBR Yang Lepas

Tags


Beberapa tahun lepas semenjak tanomkinotuan berjinak-jinak dalam dunia perkebunan di laman rumah. Sudah banyak benih-benih termasuk benih luar negara yang ditanam di kebun mini belakang rumah. Kadang-kadang tumbuh dengan baik tanpa gangguan dan kadang-kadang juga habis lunyai dikerjakan oleh serangga perosak. Begitulah lumrah pusingan roda seorang penanam. Kadang-kadang memperolehi hasil yang lumayan dan sebaliknya pula. Macam roda hari ni kita di atas esoknya sudah berada di bawah. Apa pun sebagai penanam dan mencintai bidang ini secara sambilan tetapi semangat harus kuat dan mencuba sesuatu yang baru. Ia satu kepuasan yang sangat-sangat berbaloi.

Tanomkinotuan membuat review mengenai beberapa jenis atau variati lobak merah yang pernah ditanam sepanjang tanomkinotuan dalam bidang ini. Antara yang pernah ditanam ialah Lobak merah variati Danvers, Parisian mini carrot, Snow white carrot dan atomic red carrot. Satu lagi variati ialah lady's finger carrot tetapi tidak ada gambarnya.




Royal Chantenay's Carrot

Royal Chantenay carrot mempunyai bentuk lobak yang bersaiz besar bahagian pangkal dan menirus ke bawah. Agak pendek berbanding dengan jenis lobak yang lain. Tetapi jika ditanam ditempat asalnya lobaknya bersaiz besar pendek. Sangat berjus dan sesuai dimasak tumis atau sup.

menyukai media jenis poros untuk pembesaran lobak secara konsisten. Kira pokok ini tahan hujan lebat. Pokok masih boleh bertahan walaupun musim hujan lebat. Tanomkinotuan tanam dalam bekas sahaja.





Parisian mini carrot atau lobak merah bulat ini mempunyai jenis lobak bulat. Sesuai ditanam pada jenis tanah yang poros dan gembur. Tidak perlu menggunakan pasu yang tinggi memadai menggunakan pasu atau bekas yang saiznya sederhana kecil kerana lobak tidak memanjang ke bawah. Ia sangat sesuai ditanam dalam pasu sahaja.





Siapa kata lobak merah tidak ada jenis putih, inilah dia lobak merah putih atau dikenali sebagai Snow white Carrot. Lobak merah ini jenis imperor yakni mempunyai lobak bersaiz panjang. Oleh itu jika menanam lobak jenis ini maka wajib menggunakan pasu bersaiz 2 kaki setengah panjang atau batas yang digembur sedalam 2 kaki setengah. Ia sangat tahan dengan cuaca panas tetapi alah dengan hujan lebat atau siraman air yang terlalu banyak.




Akhir sekali ialah lobak merah atomic red, lobak jenis ini mempunyai warna ungu dan sesuai ditanam pada jenis tanah poros dan tidak mengikat air terlalu lama. Sesuai dicampur ke dalam masakan berasaskan sup kerana agak kenyal sedikit dan struktur rasa yang kuat. Namun lobaknya saiz kecil sahaja tidak sesuai dengan cuaca yang panas mungkin?

3 tahun berkecimpung dalam bidang ini tanomkinotuan sudah mencuba menyemai dan menanam benih termasuklah lobak merah. Lobak merah ini cirinya sedikit cerewet maklumlah benih diimport dari luar dan kadang-kadang bila disemai benih mengalami culture shock atau stress akibat perubahan cuaca yang mendadak. Lobak merah sesuai bercambah pada kadar purata 60 hingga 65 F atau lebih kurang 15 hingga 18 darjah celsius. Suhu tanah pula ialah 55 hingga 75 F atau 12 hingga 23 darjah celsius. Ini kerana lobak merah termasuk dalam kumpulan tanaman musim sejuk atau cool season plant. Jika suhu mencapai 95 F atau 35 darjah celsius benih lobak merah tidak akan bercambah.

Jadi bagaimanakah kita mengekalkan suhu pada kadar maksimum bagi percambahan lobak merah? Pertama kita boleh letak teduhan jaring hitam untuk mengekalkan suhu atau menutup batas/pasu dengan plastik hitam dalam tempoh seminggu untuk tujuan yang sama. Teknik ini berjaya mendapatkan hasil lobak merah yang boleh dijadikan santapan seisi keluarga walaupun tidak secantik yang dijual di pasaran.

Inilah hasil lobak merah yang ditanam dahulu. Satu lagi variati ialah lady finger carrot (saiz kecil) tetapi dah tidak menjumpai gambarnya dalam file. Struktur asa masing-masing berbeza dan ada keunikan tersendiri. Apa kata tahun ini kalian mencuba menanam lobak merah di laman rumah anda. Mungkin hasilnya lagi bagus, siapa tahu kan?

Selamat bertani dan menuai hasil...

Khasiat Pokok Herba Pegaga Kampung

Tags

Pegaga / Centella Asiatica



Pokok herba pegaga sinonim dengan ulam-ulaman yang enak dimakan dengan nasi bersama sambal belacan. Pokok herba ini terkenal dikalangan kaum Melayu bukan sahaja dijadikan ulam tetapi juga sebagai ubat tradisional bagi mengurangkan masalah kesihatan tubuh badan. Kaum Cina serta kaum India menggunakan daun pegaga ini sebagai teh dan diminum untuk beberapa masalah kesihatan ringan.

Pegaga adalah tumbuhan jenis herba sukulen, berdaun hijau berbentuk bulat/bujur dengan hidup menjalar di atas tanah. setiap ruas batangnya mengeluarkan tunas baru bagi membentuk pokok baru yang menjalar di atas tanah. Bunganya adalah ungu pucat ke merah jambu-merah, dan umbel punya dua hingga ke lima buah. Ia sedikit aromatik, dengan rasa pahit sederhana. Tanaman matang dalam tiga bulan dan seluruh pokok termasuk akar dituai secara manual. Tumbuh di kawasan lembab dan separa teduh yang sedikit berair.

Pegaga ini menghasilkan bunga dan buah yang boleh dikumpul benihnya untuk ditanam. boleh juga menanam anak pokok yang dicabut pada perdu induknya dan tanam pada pasu atau batas. Sangat menyukai cuaca panas dan separa teduh. 

Pokok pegaga atau pennywort ini dengan daun hijau bentuk ginjal juga dirujuk sebagai Indian pennywort kerana rupanya yang seakan satu keping duit syiling. Ia adalah tumbuhan asli negara-negara seperti MalaysiaSri LankaIndiautara AustraliaIndonesiaIranMelanesiaNew Guinea dan beberapa bahagian Asia lagi. Nama saintifiknya adalah Centella asiatica/Hydrocotyle asiatica. 

Pokok pegaga yang tumbuh dilaman rumah adalah jenis daun bergerigi ditepinya. Bentuk daun dan nipis. Ini adalah pegaga jenis umum atau biasa dijumpai di negara kita dan kadang-kadang disebut sebagai pegaga kampung. Sambil-sambil tanomkinotuan membersihkan kebun mini di belakang rumah terlihat anak pokok pegaga hidup subur dicelah-celah tanaman sayuran maka tanomkinotuan biarkan anak pokok pegaga tersebut tanpa dicabut. Lama-kelamaan pokok pegaga tersebut membesar dan merayap dengan banyaknya. Tanomkinotuan sudah 3 kali tuai daun muda untuk dijadikan ulam dicicah dengan sambal belacan dan juga dibuat jus minum sebelum tidur.

Tumbuhan pegaga kaya dengan mineral seperti kalsium, zat besi, magnesium, mangan, posporus, selenium dan zink. Ia kaya dengan vitamin C dan vitamin B serta kandungan phytochemical antioxidant seperti saponin dan beta-carotina.


Kebaikan pokok pegaga kepada kesihatan manusia tidak boleh dinafikan. Kaum India menggunakan pokok herba ini dalam perubatan Ayurveda. Juga dijadikan teh dan diminum sebagai air tonik untuk kesihatan,  mempertahankan keremajaan dan mencegah masalah arthritis. Antara kebaikan pokok pegaga ialah:

1. Meningkatkan daya ingatan


Pokok pegaga dipercayai dapat memberikan peningkatan daya ingatan yang baik dengan dan dipercayai makanan kepada otak kita. Kajian mengatakan bahawa memakan 2 hingga 4 helai daun setiap hari dapan membentuk daya ingatan yang tajam, kepekaan dan awet muda kepada yang mengamalkannya. 


Kajian juga melalui pemerhatian terhadap kesan herba ini boleh digunakan untuk mengurangkan penderitaan penyakit Alzheimer.


2. Nervous sistem

Pusat nervous sistem menjadi lebih baik apabila menggunakan pokok herba pegaga setiap hari. Ia memberikan perasaan yang santai kepada fikiran kemudiannya membantu mengurangkan masalah penyakit nervous, masalah nyanyuk, stroke dan epilepsi.

3. Sistem imunisasi

Kandungan dalam pegaga mampu melindungi sistem imun dalam badan daripada toksik. Selain itu meringankan masalah darah tinggi, jangkitan air kencing. Ini kerana pegaga bersifat antibiotik mampu memberikan impak kesihatan yang sempurna terhadap keseluruhan tubuh badan.


4. Memperbaiki kondisi kulit

Mengamalkan memakan pokok pegaga sama ada dimakan sebagai salad atau dibuat jus mampu membersihkan darah dan mengurangkan masalah eczema, ulser kronik, sores dan scleroderma yakni mengenai masalah kulit. Ia mampu menegangkan kulit jika disapu secara konsisten dan diamalkan hari-hari. Ia juga meempercepatkan menyembuhkan luka pada kulit. Ia juga meransang peredaran darah pada kulit seterusnya mencadikan kulit senantiasa gebu, cantik dan menawan.


Petua kecantikan menggunakan tumbuhan herba pegaga:

1. Hilangkan jeragat muka

Ambil sepuluh helai daun pegaga yang dicuci bersih. Tumbuk/blend daun pegaga tersebut dengan dicampurkan 1 sudu minyak zaitun dan setengah sudu bedak sejuk. Sapu pada muka sebelum tidur dan basuh pada keesokan harinya. Amalkan petua ini setiap malam hingga jeragat muka beransur hilang.


2. Menaikkan seri wajah

Ambil 10 helai daun pegaga yang dicuci bersih. Kemudian rebus daun pegaga dengan 2 cawan air. Rebus sehingga 30 minit. Tapis airnya masukkan ke dalam gelas dan sejukkan. Minum rebusan pegaga pada tiap malam. Seeloknya selepas makan malam. Boleh diamalkan meminum rebusan pegaga 3 kali seminggu.

Diturunkan resepi membuat salad pegaga seperti di bawah:

Bahan-bahan:

1. Seikat pegaga dipotong kecil
2. 1 sudu kecil daun ketumbur dipotong kecil
3. 1 biji bawang merah/bawang benggala dihiris nipis
4. 1 biji tomato dipotong dadu saiz kecil
5. 5 biji cili api dipotong halus

Bahan dressing:

1. 3 sudu sos soya atau jika suka boleh guna sos ikan
2. 1 sudu kecil pes asam jawa atau perahan limau nipis
3. 1 sudu besar gula perang
4. 1 biji bawang putih ditumbuh halus
5. 1 sudu kecil bijan untuk hiasan atau kerisik.

Cara penyediaan:

1. Campurkan kesemua bahan di atas ke dalam bekas besar kecuali bijan dan gaul sebati. Rehatkan seketika dan gaul lagi sehingga bahan-bahan cukup sebati.

2. Akhir sekali tabur bijan di atas untuk hiasan atau kerisik. Bolehlah dihidangkan. Selamat mencuba.

Selamat bertani dan menuai hasil...

Isnin

Pokok Cincau Hijau Jenis Perdu

Tags




Setelah berjaya menanam pokok cincau hitam vietnam kini  tahun lepas, kini tanomkinotuan beralih kepada satu lagi jenis cincau yang dikenali sebagai cincau hijau jenis berkayu atau perdu. Nama saintifik bagi pokok cincau hijau ini ialah Melasthoma polyanthum ini mudah tumbuh dengan menanam menggunakan keratan batang. Tanomkinotuan dapatkan anak pokok dari kawan dua tahun lepas kerana teruja dengan keunikannya untuk dijadikan sebagai bahan cincau yang enak dan sedap.

Jenis kedua cincau hijau selepas berjaya menanam cincau hitam dua tahun lepas. Pokok ini jenis berkayu lembut dan boleh mencecah sehingga 5 meter jika tidak dipangkas. Dahan pokok berwarna coklat gelap berdaun hijau jenis lonjong dan licin serta tebal. Setiap dahan dipenuhi daun selari antara satu dengan lain. Mudah bertunas jika dipangkas dan menghasilkan akar serabut pada pangkal daun bila pokok sudah berusia. Sesuai ditanam di dalam pasu mahupun di tanah. Tanomkinotuan menanam pokok cincau hijau perdu ini di pasu sahaja dan sudah dituai daunnya pertama kali pada tahun lepas.

Secara jujurnya tanomkinotuan menyukai pokok cincau hijau jenis ini kerana tidak perlu menunggu daunnya dikeringkan terlebih dahulu malah boleh diproses menjadi cincau serta merta. Tanomkinotuan telah bereksperimen tahun lepas dengan menuai beberapa helai daun cincau dan dibersihkan kemudian membuat cincau hijau mengikut panduan di youtube yang banyak video memproses daun cincau tersebut. Selepas direhatkan seketika pati cincau dari daun tersebut mengeras dan enak dimakan begitu sahaja. Agak rasa pelik sebab klorofilnya sangat kuat namun rasa tersebut boleh dikurangkan dengan menambah sedikit air perahan lemon dan bahan-bahan asas seperti bertih jagung rebus, jelly, gula atau aiskrim apa-apa perisa. Tambah ais cube dan bolehlah dimakan sambil menonton TV atau berkumpul dengan sanak saudara. memang super sedap.

Bagaimana tanomkinotuan terjebak menanam pokok cincau ini? Sebenarnya tanomkinotuan menyukai menanam apa-apa tumbuhan yang rare dan jarang ditemui di tempat tanomkinotuan. Suka mencari bunga, pokok, benih sayuran dan umbisi yang boleh ditanam sebagai koleksi peribadi. Jadi apa salahnya mencuba menanam pokok cincau, maka dengan itu tercegatlah tanomkinotuan di hadapan internet untuk mencari pokok cincau yang ada dijual secara online. Hendak mencari pokok cincau di kawasan tanomkinotuan memang tidak ada dan jarang orang tanam. 

Satu website ke satu website tanomkinotuan lawat dan 90 peratus website tersebut datangnya dari negara jiran kita iaitu Indonesia. Sebabnya Tanomkinotuan membuka website dalam bahasa jadi yang banyak terpapar di skrin ialah dari negara seberang. Indonesia sudah lama menanam pokok ini dan sudah menjadi rutin memakan/menimun cincau hijau dalam diet mereka. 

Tiba-tiba tanomkinotuan terlawat satu website pemilik dari Malaysia dan ada membuat promosi penjualan anak pokok cincau perdu ini. Apa lagi tanomkinotuan salin no handphone tertera dan mula menghubungi kawan tersebut kalau-kalau anak pokok cincau masih available untuk dijual. Alhamdullilah tanomkinotuan bertuah sebab anak pokok masih ada dijual. Selesai urusan jual beli maka tanomkinotuan tunggu seminggu anak pokok cincau sampai ke rumah.

Perasaan menunggu anak pokok sampai ke rumah bagaikan setahun lamanya. Begitulah jika teruja punya pasal. Jumaat pagi pos laju cawangan Keningau menghantar text pesanan kepada tanomkinotuan untuk mengambil barang di pos laju. So gembira sangat kerana pokok yang diidamkan sudah ada didepan mata. Bagaikan tidak percaya pertama kali melihat pokok cincau ini sangat-sangat unik.

Mulalah tanomkinotuan menyediakan pasu sesuai dan media untuk menanam anak pokok cincau tersebut. Petang sabtu selesai semuanya dan untuk tidak memberikan tekanan kepada pokok tanomkinotuan meletakkan anak pokok cincau hijau ini ditempat teduh selama 2 minggu. Bila anak pokok sudah mengeluarkan pucuk baharu kira-kira 6 inci barulah tanomkinotuan letak di bawah cahaya matahari terik untuk pertumbuhan maksimum. Pokok cincau hijau ini pada mulanya lambat membesar tetapi selepas 2 bulan dipindahkan ke pasu dan dijaga dengan baik pokok cincau membesar dengan jayanya. Tanomkinotuan menuai daun sehingga 4 kali untuk memproses menjadi cincau hijau yang enak. Sudah ditut dan dapatlah 5 keratan tut pokok cincau yang habis terjual dalam masa 1 hari. Memanglah habis aka sold out sebab 5 je, tak banyak pun tetapi tanomkinotuan gembira tidak kepalang sebab duit membeli anak pokok cincau tempoh hari sudah diperolehi kembali dan dapatlah untuk sikit, haha. Kini pokok cincau tanomkinotuan adalah tunas baharu yang perlu dibesarkan untuk tuaian daunnya akan datang. Bulan puasa akan datang tanomkinotuan akan membuat cincau hijau untuk berbuka kerana daun-daun cincau sudah bersedia untuk dituai.

Jika pembaca mempunyai pokok cincau hijau di laman rumah, harus memangkas pokoknya agar pokok tidak terlalu tinggi dan menghasilkan tunas-tunas yang semestinya akan menghasilkan deduan yang banyak. Rutin memangkas boleh dilakukan 6 bulan sekali. Ini penting agar pokok cincau tidak menjadi pokok terlalu tinggi dan mengelak dari tempat persembunyian binatang berbisa.

Pokok cincau hijau sangat menyukai iklim di negara kita. Pokok ini suka akan matahari terik dan musim hujan. Pokok ini menyukai pelbagai jenis tanah kecuali tanah liat. Jika menanamnya di kawasan tanah liat perlu dibaikpulih terlebih dahulu tanah tersebut dengan menambah kompos dalam kuantiti yang banyak dan barulah ditanam anak pokok cincau. Jangan lupa disiram dua kali sehari pada musim kemarau dan membaja dua kali seminggu. Pokok cincau hijau perdu tidaklah cerewet untuk ditanam. Cukup baja, air dan kelembapan tumbuhlah pokok ini sewajarnya.

Kepada mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kawasan tanah yang luas, bolehlah mengusahakan pokok cincau ini secara ladang. Permintaan jeli cincau sangat-sangat diminati oleh rakyat Malaysia. Sudah tentu keuntungan berlipat kali ganda.

Manfaat segelas cincau hijau jenis perdu dipercayai boleh menurunkan panas badan, mengatasi seriawan, masalah usus dan darah tinggi. 100 gram daun cincau kaya dengan 122 kal kalori, 6 gram protein, 26 gram karbohidrat, 100 mg lemak, 11 UI vitamin A, 80 mg vitamin B, 17 mg vitamin C, 100 mg kalsium, 3.3 mg zat besi, 100 gram fosforus dan 6.2 mg serat. Dengan demikian memang cincau hijau terbaik dengan kesihatan kita. Ia membekalkan beberapa zat makanan untuk tubuh badan secara konsisten jika diamalkan meminum air atau jeli cincau mengikut ketetapan yang dibenarkan.

Disuratkan juga meminum air atau memakan jeli cincau hijau sangat bermanfaat untuk mencegah penyakit barah. Ini kerana daun cincau mengandungi alkaloid dan isokandrodendrin yang mampu melawan dan mencegah barah terutamanya barah ginjal dan tumor.

Cincau hijau enak dibuat jeli yang dicampurkan pelbagai bahan asas kesukaan sendiri malah enak dijadikan minuman yang ditambah perisa disukai. Jom menanam pokok cincau untuk homemade cincau di rumah. 

Selamat bertani dan menuai hasil...

3 Teknik Percambahan benih Wajib Diketahui: scarification, stratification dan soaking

Tags



Bertemu kembali diruangan entry kali ini. Nampak gayanya sudah lama tanomkinotuan tidak berasmaradana di sini akibat kerja-kerja yang tidak habis-habis dan perlu disiapkan mengikut due date. Petang ini dapatlah menjeguk sebentar blog ini dan menambah entry untuk dikongsi bersama pembaca diluar sana.

Entry ini membincangkan secara santai mengenai 3 teknik atau kaedah percambahan benih yang wajib digunakan oleh pembaca untuk menyemai benih bagi mendapatkan cambahan benih yang tinggi. Untuk pengetahuan pembaca semua, Setiap benih mempunyai tingkat perbezaan percambahan di antara satu dengan lain berdasarkan beberapa kreteria seperti saiz, bentuk, ketebalan kulit dan ketahanan pada suhu serta kedalaman menyemai. Tempoh percambahan benih sawi tak sama dengan benih terung. Begitu juga dengan benih strawberry dengan benih buncis. Oleh yang demikian, maka kita harus menggunakan beberapa teknik yang sesuai dan boleh membantu untuk percambahan benih seperti mana disarankan oleh pakar-pakar pertanian selain cara percambahan secara manual.

Umumnya terdapat 3 teknik mencambahkan benih yang sering digunakan iaitu kaedah scarification atau skarifisasi, kaedah Stratification atau stratifikasi dan soaking atau rendaman. Setiap benih sesuai menggunakan 1 atau dua teknik ini untuk bercambah.


PERCAMBAHAN MELALUI TEKNIK SKARIFISASI

Apakah maksud skarifisasi (scarification) dalam bidang pertanian? scarifisasi bermaksud mengupas, mengikis, melukakan benih-benih yang yang mempunyai benih berkulit tebal dan keras agar kelembapan boleh masuk ke dalam benih bagi mempercepatkan percambahan benih tersebut. Teknik scarifisasi ini boleh dibahagikan kepada 3 kaedah seperti:

1. Skarifisasi secara mekanikal - Menggunakan tukul, pisau, batu keras, alat pemotong kuku, kikir dan kertas pasir untuk memecahkan, melukakan dan mengikis kulit benih yang keras tersebut. Cukup sekadar terluka kulitnya tanpa menjejaskan isi di dalamnya. Tujuannya mempercepatkan kelembapan memenuhi ruang benih dan seterusnya benih bercambah dengan cepat.

2. Skarifisasi secara kimia - Menggunakan bahan kimia untuk mempercepatkan kulit keras bertukar menjadi lembut dan pecah. Ianya mempercepatkan benih bercambah seperti menggunakan sulfuric asid.

3. Skarifisasi air panas - rendam benih terpilih pada air panas pada suhu 212 F sehingga air menjadi sejuk dan semai benih tersebut secepatnya. hanya benih terpilih sahaja yang sesuai menggunakan kaedah ini. Sila maklum ya...

Antara benih yang sesuai menggunakan teknik di atas ialah seperti benih bunga morning glory, artichoke, kekacang, hyacinth, benih canna, crap apple, benih pokok oak, Pistachio, camillia sinensis dan lain-lain.


PERCAMBAHAN MELALUI TEKNIK STRATIFIKASI

Teknik kedua pula ialah dikenali sebagai teknik stratifikasi atau stratification. Kaedah ini boleh digunakan untuk percambahan sesetengah benih yang bersesuaian. Majoriti pembaca menggunakan teknik ini untuk menyemai benih bunga atau sayuran.

Dalam kaedah ini benih akan disimpan bersama media terpilih ke dalam satu bekas dan disejukkan ke dalam peti sejuk dengan tempoh-tempoh tertentu. Sesudah cukup tempoh yang dikehendaki bolehlah dikeluarkan dan direhatkan selama 2 hari, kemudian disemai seperti biasa. 


Proses percambahan mengikut teknik ini juga boleh dibiarkan benih di dalam peti sejuk hingga berakar. Pastikan media yang disimpan di dalam peti sejuk tersebut tidak mengalami kekeringan. Spray jika media kering dan wajib dilihat senantiasa jika benih sudah berakar atau belum. Jika akar sudah keluar dari benih bolehlah keluarkan dan tanam. Bagi benih yang hanya disejukkan dalam tempoh tertentu bolehlah rujuk petikan diatas.


Boleh menggunakan media seperti perlite, vermiculite, peatmoss, cocopeat atau pasir yang dibasahkan. Boleh juga menggunakan media campuran bersama di atas. Masukkan contoh-contoh media di atas ke dalam plastik berzip log dan masukkan benih ke dalamnya. Spray media dalam plastik berzip log hingga lembab atau hampir basah dan zipkan plastik serta masukkan ke dalam peti sejuk di bahagian sayuran.

Lazimnya benih bersaiz sederhana sesuai digunakan kaedah semaian ini seperti benih fennel, swiss chard, strawberry dan sebagainya.

PERCAMBAHAN MELALUI TEKNIK RENDAMAN

Kaedah rendaman juga salah satu kaedah terbaik dalam mempercepatkan cambahan benih dan mendapatkan jumlah percambahan benih yang tinggi. Kaedah rendaman benih hanya menggunakan air paip biasa kira-kira 30 minit hingga 3 hari bergantung kepada jenis benih yang direndam.

Tujuan rendaman benih ialah agar benih menjadi lembab dan bersaiz berkali ganda dari yang asal bagi mempercepatkan benih bercambah bila ditanam kelak. Antara benih yang sesuai dicambahkan melalui rendaman ialah benih kacang pea, buncis, benih herba, jagung, tomato dan sebagainya.

Tidak semua teknik di atas sesuai untuk semua benih. Oleh yang demikian pembaca harus melihat ciri-ciri benih terlebih dahulu sebelum mencuba 3 kaedah di atas agar dapat mengurangkan masalah kerugian pada diri sendiri. Terdapat benih yang boleh disemai secara langsung tanpa menggunakan kaedah di atas seperti semua benih sawi dan benih bayam. Teknik atau kaedah di atas boleh diaplikasikan kepada benih yang agak sukar bercambah khususnya benih dari luar negara. Jadi apa yang dirisaukan lagi, teknik percambahan sudah dikongsi kepada semua... jomlah menanam benih sayuran untuk kesihatan keluarga kita..

Selamat bertani dan menuai hasil.

Panduan Menyemai Benih Pistachio Variati Antep

Tags

Kadang-kadang kita teruja dan berminat menanam pokok-pokok dari luar negara yang sememangnya enak dijadikan snek atau makanan yang sihat. Biasalah tu... di negara-negara Barat pun mempunyai fiil dengan rakyat Malaysia di mana sangat menyukai menanam benih sayuran, herba dan pokok dari negara-negara Asia hingga siap dengan kajian dan penyelidikan kesesuaian pokok tumbuh di negara mereka. Contohnya mereka sangat teruja menanam pokok pisang kerana bagi mereka pokok ini sangat-sangat unik. Siap dengan cara untuk menjaganya dari mati semasa musim dingin dan salji. Jadi apa beza dengan kita kan?

Pentingnya di sini ialah teknik yang betul untuk menyemai sehinggalah dari teknik penjagaan pokok. Lihat strawberry di negara kita ada yang telah berjaya menanam terutamanya pengusaha dari Cameron highland dan Kundasang di Sabah. Trend masa kini pula ialah orang berlumba-lumba menanam pokok tin atau fig tree yang berasal dari Timur tengah hingga ke Eropah sana. Tidak lupa juga dengan pokok-pokok berry seperti raspberry, blueberry dan lain-lain lagi.

Kali ini tanomkinotuan berkongsi cara menyemai benih pistachio atas kekacang yang sangat enak dan mahal harganya di pasaran. Kekacang pistachio ini juga sangat baik untuk menguatkan daya ingatan kepada si pemakannya. Pertama sekali dapatkan benih pistachio yang boleh dibeli secara online dalam negara atau luar negara. Anda harus memastikan website berkenaan terpercaya dan diyakini agar anda tidak rugi wang anda hilang. Pokok pistachio juga mempunyai pelbagai variati, anda boleh mencuba menana benih pistachio variati Antep asal Turki ini.





Dapatkan benih pistachio yang segar dan baharu. Benih segar dan baharu mempunyai kebarangkalian untuk bercambah sangat tinggi. Kadang-kadang mereka mengeringkan buah pistachio bercama-sama dengan kulit. 




Anda sudah mendapatkan benih pistachio tersebut maka jika benih mempunyai kulitnya anda perlu rendam selama 40 minit untuk melembutkan kulit tersebut. Guna air paip pun boleh.





Beginilah rupa benih pistachio yang telah direndam. Tujuan merendam benih tersebut agar benih cukup kelembapan di dalamnya dan mempercepatkan percambahan dan juga melembutkan kulit dan dibuang.






Dengan menggunakan media peatmoss dan dicampurkan sedikit tanah hitam/topsoil isikan ke dalam cup semaian hingga penuh. Buat lubang sedalam 3 inci ditengahnya. 





Masukkan benih pistachio ke dalam lubang yang telah dibuat dan timbus semula dengan media. Siram dengan air secukupnya tetapi jangan terlalu basah lecun. Benih pistachio tidak menyukai media tersangat basa. Ia akan membusuk dan tidak akan bercambah.






Simpan cup semaian di tempat selamat dan jauh dari gangguan serangga lain. Tempat tersebut harus terkena cahaya pagi atau petang. Benih pistachio mengambil masa lama untuk bercambah. Jadi kena sabar untuk menunggunya.

Selamat bertani dan menuai hasil...

Sabtu

Panduan Menanam Kentang Kundasang

Tags




Menanam kentang sendiri merupakan satu kepuasan yang sangat berbaloi dalam diri kita. Dimaklumi bahawa kentang adalah tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan dan telah ditanam oleh kaum Inca dan Mayan 2000 tahun yang lampau. Menyebar ke Eropah dan USA serta di seluruh dunia kerana kepentingannya dalam diet pemakanan harian khususnya di negara-negara Barat.

Walau bagaimanapun terdapat satu variati kentang yang tumbuh asli di Sabah, khusunya Daerah Ranau. Variati kentang kundasang ini menyukai suhu sejuk dan sesuai tumbuh di tanah tinggi serta menyukai hujan lebat tidak seperti kentang variati import yang tidak menyukai media terlalu basah lecun. Cuma saiz kentang kundasang atau juga disebut oleh orang tempatan sebagai kentang kampung ini mempunyai ubi bersaiz kecil dan warna kulit pucat kecoklatan.

Berikut ialah panduan menanam kentang jenis kentang kundasang. Tanomkinotuan berpandukan kepada kentang jenis kundasang ini. Jika anda menanam jenis kentang import pastikan ditanam di bawah teduhan DIY bagi mengelak hujan menimbah media anda.



Dapatkan benih kentang kundasang ini melalui pembelian secara online atau datang ke Sabah dan pergi ke gerai di kundasang sana dan bertanya kepada penjual tentang kentang kundasang. Anda pasti dilayan dengan senyuman manis para penjual yang putih melepak. Tidak percaya.... sila ke Kundasang.. hihi. Pilihlah ubi kentang yang matang, kurang penyakit dan sihat. Elak membeli ubi kentang yang berpenyakit dan bersaiz kecil sangat.

Sebelum ditanam, ubinya harus di biarkan ditempat suhu bilik untuk membolehkan ubinya bertunas. Tunggu hingga kira-kira 2 ke 3 minggu untuk proses penunasan ubi kentang Kundasang anda. 

Sementara menunggu ubi-ubi kentang ini bertunas, anda bolehlah menyediakan batas atau media penanaman. Kentang sesuai ditanam pada batas yang poros, kaya nutrient dan saliran air dan udara yang baik. Gembur tanah sedalam 1 kaki dalam dan 2 kaki lebar. Anda harus membuat batas jika menanam kentang kundasang dalam skala yang besar. Tabur kompos (kompos dari tumbuhan atau tinja binatang) untuk membaikpulih tanah anda. Untuk makluman anda, pokok kentang adalah jenis pokok yang perlukan nutrient yang banyak. PH tanah sesuai untuk kentang ialah 5.5 hingga 6.5 di mana sedikit berasid. Pokok kentang tidak berapa sesuai ditanam pada ph tanah 7.0 ke atas. Mungkin tumbuh dan membesar tetapi ubinya agak kurang.

Jika menanam pada pasu pula, anda boleh membuat media campuran sendiri atau membeli tanah campur di nusery berhampiran. Campurkan cocopeat, pasir sungai dan kompos dengan nisbah 2:1:1, anda boleh menggunakan pasu, polibag atau box yang besar untuk hasil pokok yang memuaskan. Biarkan batas dan media dalam pasu tersebut sehingga 2 minggu untuk menyebatikan tanah dan kompos.

Setelah ubi-ubi kentang tersebut telah bertunas kira-kira 1 inci maka ubi-ubi kentang tersebut bersedia untuk ditanam ke batas atau pasu anda. Caranya, Gembur semula batas yang dibiarkan selama 2 minggu, tidak perlu menambah apa-apa masa ini kerana sudah ditambah pada permulaan proses pengemburan tanah yang lalu. buat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara pokok 2 kaki ke 3 kaki. Tanam ubi kentang anda ke dalam lubang dengan mata tunas menuju ke atas. Kemudian timbus dan siram dengan air secukupnya.

Bagi menanam pada pasu pula, sediakan pasu bersaiz besar dan masukkan setengah media ke dalam pasu. Hanya setengah sahaja ya jangan penuhkan pula. Buat lubang di tengahnya dan tanam ubi kentang dengan mata tunas menengak ke atas. Timbus dengan tanah dan siram.

Percambahan mata tunas ubi kentang kundasang mengambil masa 14 hari untuk keluar dari permukaan tanah. Pada masa ini tidak ada proses yang perlu dibuat hanya dengan menyiramnya dua kali sehari ketika musim kemarau. Setelah anak pokok kira-kira 8 hingga 10 inci maka anda harus membuat hilling atau meninggikan batas anda dengan mengorek tanah disamping batas dan menambahnya disekeliling anak pokok. Tujuannya ialah agar berisi banyak dan dapat melindungi ubi kentang dari sinaran matahari. Bagi dalam pasu pula, anda hanya menambah tanah ke dalam pasu sehingga penuh. Perhatian yang perlu dimaklumi, jangan menimbus anak pokok kentang sehingga tidak kelihatan. ia akan mati.


Masa proses ini anda boleh menambah baja subur organik disekeliling tanah untuk pertumbuhan pokok yang sihat dan subur. Pembajaan perlu untuk tumbuhbesaran pokok kentang dan lupa menaburkan baja isi disekeliling pokok. Pokok kentang kundasang memerlukan tanah yang subur dan kaya nutrient untuk menghasilkan ubi yang banyak.

Sekiranya musim kemarau siram pokok dua kali sehari pagi dan petang. Tidak perlu ketika hujan. Pokok Kentang sudah boleh dituai setelah berusia 3 bulan ke 4 bulan. Jom menanam kentang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Ahad

Keterujaan Menanam Tomato Indigo Rose

Tags



Menanam pokok tomato di laman rumah adalah satu kepuasan yang tidak terhingga kepada tanomkinotuan, dari mula di semai hinggalah menuai hasil penat lelah selama ini berbayar setelah pokok tomato yang ditanam menghasilkan buah yang cantik. 

Sebelum ini tanomkinotuan pernah mencuba menanam pelbagai jenis tomato seperti tomato ceri, tomato ceri anggur, tomato brandywine, tomato roma, tomato sungold, tomato plum gelap dan tomato ceri woodwick. Jika boleh tanomkinotuan mencuba menanam semua jenis tomato yang wujud tetapi disebabkan kekangan bekalan benih di Malaysia di mana kurang menyediakan benih tomato pelbagai variati. Oleh yang demikian sambil-sambil berguru kepada google terpandang satu jenis pokok tomato berwarna hitam. Adrenalin tanomkinotuan naik mendadak apabila terlihat buah tomato hitam ini. Keterujaan semakin bertambah.

Tanomkinotuan mencuba mendapatkan maklumat tomato tersebut dan ianya adalah jenis heirloom dan non-GMO. Dengan berbekalkan azam chewahhhh.... maka tanomkinotuan membeli benih tomato hitam ini yang digelar tomato indigo rose (Indigo rose tomato). Selepas dua minggu benih tomato indigo rose sampai di tangan tanomkinotuan. 







Ketibaan benih tersebut menyebabkan semangat dan keterujaan tanomkinotuan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata mahu pun tulisan, memanglah sebab tanomkinotuan pun tak mampu menulis perasaan dan keterujaan itu di sini... hahaha.

Oleh yang demikian bermulalah episod tanomkinotuan untuk memulakan projek baharu menanam benih tomato indigo rose tomato ini. Oleh kerana variati baharu, tanomkinotuan mencuba sedaya upaya menyediakan batas yang seeloknya. Rugi jika benih ini tidak diberi perhatian sepenuhnya.

Tomato menyukai full sun atau semi-shade, tanah poros dan kaya nutrient. Oleh yang demikian tanomkinotuan mencuba untuk menyediakan batas menggunakan campuran tanah hitam dan habuk kayu reput. Dengan memasang batas (raised bed) tanomkinotuan penuhkan dengan media campuran tanah hitam, serbuk kayu reput, cocopeat dan vermicast. Sedikit kapur pertanian bagi membaikipulih tanah dari berasid. Tanomkinotuan rehatkan 2 minggu dan sambil merehatkan media tersebut tanomkinotuan semai benih indigo rose tomato pada bekas semaian.

Tanomkinotuan menggunakan peatmoss sebagai media semaian. Meedia peatmoss memang terbaik untuk semaian. Boleh beli peatmoss di kedai nusery berhampiran. Peat moss dan cocopeat adalah dua benda berbeza. Jangan terseilap. Jika tidak ada peat moss bolehlah menggunakan cocopeat. Dengan menaburkan benih di atas permukaan tanah dan siram. Benih akan tenggelam dengan sendiri dan juga ada benih yang timbul tetapi jangan risau kerana akarnya akan masuk ke dalam.

Tips menyemai benih tomato adalah media janganlah terlalu basah sangat sekiranya diletakkan ditempat  semi-shade. Ini kerana bila media terlalu basah kulat mudah membiak dan boleh menyebabkan akar anak pokok tomato anda diserang dan mati.

Selepas dua minggu media pun sudah boleh digunakan dan benih tomato juga sesuai dialihkan ke batas.





Tibalah masa mengalihkan anak pokok tomato ke batas, tanomkinotuan periksa sekali lagi tanah tersebut dan mengemburkannya sekali lagi.  Tujuannya untuk mendapatkan kualiti pengudaraan yang baik dalam tanah. Tanomkinotuan berpuas hati. Nampak tanah tersebut subur dan kaya dengan nutrient dengan memperlihatkan lumut biru pada media. Ini tandanya tanah berada dalam keadaan subur.

Dengan membuat lubang 3 inci dalam dengan jarak 3 kaki, tanomkinotuan tanam anak pokok tomato indigo rose dengan hati-hati. Oleh kerana tanomkinotuan semai benih tomato indigo rose secara rawak. Maka tanomkinotuan terpaksalah mencabutnya dan tanam ke dalam batas. Untuk mengelakkan anak pokok tomato indigo rose tomato mengalami layu dan mati tanomkinotuan sungkup dengan jaring hitam selama seminggu.



Selepas 7 hari tanomkinotuan buka jaring hitam tersebut kerana anak pokok sudah kuat menerima cahaya matahari terik. Apa yang harus dilakukan ialah menyiramnya dua kali sehari untuk elak kekeringan pada musim panas. 

Selepas dua minggu dialihkan tanomkinotuan tabur baja subur untuk membantu pokok tomato ini membesar dengan baik. Harus diingat pokok tomato mudah diserang penyakit akar di mana kesannya daun akan mengeriting. Oleh yang demikian jaga media tersebut dengan tidak menyiram dengan air yang banyak.

Sebulan selepas dialihkan pokok tomato indigo rose sudah menampakkan kudup bunganya. Pada masa ini bolehlah menabur baja buah untuk kudup bunga kuat dan menghasilkan buah yang berkualiti tinggi. Tanomkinotuan sangat-sangat teruja apabila pokok tomato indigo rose yang berjumlah 7 pokok ini menghasilkan buah kali pertama. Buah yang terhasil pada mulanya ialah berwarna hijau muda dan bertukar menjadi ungu/hitam di atas apabila terkena cahaya matahari.

Buah tomato indigo rose tidaklah jadi hitam sepenuhnya, mana bahagian buah yang terkena cahaya matahari maka disitulah akan berubah warna ke warna hitam/ungu. Bahagian yang tidak bertukar menjadi ungu/hitam ia akan bertukar menjadi merah-oren apabila sudah masak.

Kini tanomkinotuan mula menuai buah masak tomato indigo rose ini. Buahnya separa keras dan sangat sedap tetapi tidaklah semanis rasa seperti sungold tomato. Namun keunikan tomato indigo rose ini menyebabkan tanomkinotuan bersemangat untuk menanamnya. Kata orang pelbagai variati tomato ditanam dapat menambah pengetahuan kepada pokok tomato dari pada rasa, struktur, buah, cara menanam dan paling penting pengetahuan kita akan berkembang. Jom menanam pokok tomato...

untuk benih indigo rose tomatoes ini boleh hubungi saya di email borosmomogun@gmail.com atau no whatsapp 019-5320756 (jus) untuk pertanyaan lanjut. Dijual sepeket rm2.00 dengan postage rm4. Tempah sekarang....

Panduan menyemai benih rhubarb victoria

Tags



Bagi masyarakat di negara ini masih belum mengenali pokok rhubarb secara dekat kerana ianya bukan pokok asal dari Asia khususnya di Asia Tenggara. Pokok rhubarb banyak ditanam di negara Barat. 

Batang daunnya dituai dan dimakan dan dijadikan sebagai tat, jem dan sebagainya.

Ia boleh ditanam melalui biji benih atau crown akar/mahkota akar seperti asparagus. Pokok ini mempunyai tahap atau tempoh hidup yang lama. 

Bahan yang diperlukan untuk menyemai benih rhubarb victoria:

1. Benih rhubarb
2. Media campuran
3. Bekas semaian
4. Air untuk menyiram

Berikut adalah panduan menanam benih rhubarb:

1. Dapatkan benih rhubarb victoria yang boleh dibeli di kedai pertanian atau kedai online. 

2. Sediakan media dengan menggunakan media campuran berkualiti tinggi. Boleh didapati di kedai nusery.

3. Beli tray semaian atau gunakan pasu kecil terlebih dahulu untuk menyemainya. Anda juga boleh menggunakan apa-apa jenis bekas semaian yg sesuai.

4. Masukkan media ke dalam bekas semaian hingga penuh. Padatkan sedikit tanah dan tambah tanah jika perlu.

5. Buat lubang ditengahnya sedalam 1 inci dan masukkan sebiji atau dua biji benih ke dalam lubang. Timbus lubang tersebut.

6. Siram dengan air yg cukup kemudian letak bekas semaian di tempat selamat dan terkena cahaya matahari pada waktu pagi. 

7. Tunggu benih rhubarb bercambah. Benih rhubarb mengambil masa kira-kira 5 hingga 14 hari untuk bercambah. Cabut satu anak pokok rhubarb untuk memberikan ruang sepokok pada bekas semaian untuk membesar dengan baik.

8. Apabila anak pokok rhubarb telah mempunyai 4 helai daun. Pindahkan ke batas yang tanahnya poros, kaya nutrient dan gembur. 

9. Jika menanam pokok rhubarb pada pasu/kontena, gunakan kontena saiz besar iaitu kira-kira 24 inci ke atas. Akar pokok rhubarb sama seperti pokok asparagus yakni sangat banyak. 

Pokok rhubarb sangat suka media yang agak lembab dan bukan ditakungi banyak air. Jika menanam dalam pasu/kontena besar guna tanah kompos yang kaya dengan nutrient. Boleh beli di kedai pertanian atau nusery berhampiran.

Pokok rhubarb sedia dituai selepas 2 tahun ditanam. Tanomkinotuan memaksa diri untuk menanam pokok ini di tempat tanomkinotuan dan lihat sama ada ianya sesuai atau tidak. Mana tahu rhubarb victoria sama dengan pokok swiss chard boleh tumbuh dengan baik di negara kita.

Jika anda inginkan benih rhubarb sila klik pada pautan iklan benih online di atas dan dapatkan benih rhubarb victoria dengan hanya rm2.00 sepeket. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu

Kumpulan Pokok Herba Yang Tumbuh di KBR

Tags






Selain dari jenis sayuran yang ditanam, tanomkinotuan juga mula berjinak-jinak menanam pelbagai herba jenis kunyit dan kecur yang mana sangat menerika perhatian tanomkinotuan. Pokok-pokok herba ini banyak kegunaan dalam perubatan tradisional dan mampu mengubati penyakit-penyakit ringan. tidak hairanlah pokok-pokok herba ini banyak ditanam secara kecil-kecilan di laman rumah sebagai alternatif rawatan.

Tanomkinotuan juga menyukai pelbagai jenis pokok herba. Asal mendengar atau terbaca akan pokok berkhasiat disitulah tangan gatal ingin mencari dan mendapatkan pokok tersebut. Masalah juga sifat dan perilaku sedemikian hingga emak tanomkinotuan membebel memanjang hehe.






Jom lihat gambar-gambar berikut mengenai pokok herba dalam koleksi laman KBR.









Herba pertama yang ingin ditunjukkan ialah pokok sambung nyawa batik. Pokok ini sekeluarga dengan sambung nyawa hijau dan ungu. Dikatakan baik untuk mengurangkan kadar kolestrol dalam darah. Daunnya boleh dimakan sebagai salad, dibuat jus atau dimasak bersama telur dadar.









Ini pula pokok herba sambung nyawa hijau. Tumbuh baik pada cuaca panas seperti cuaca di negara kita. Fungsinya sama dengan pokok sambung nyawa yang lain dan juga boleh dimakan.









Pokok sambung nyawa ungu atau Gynura nepalliensis dalam bahasa botaninya adalah pokok beraroma sedap dan kuat. Enak dijadikan salad dan dicampur dalam telur dadar. Fungsinya juga boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah. Sebab itu pokok ini juga digelar sebagai Cholesterol Spinach herb.









Halia bara atau halia merah tidaka asing lagi dengan kita. Pokok ini banyak ditanam di negara kita secara perseorangan dan kecil-kecilan. Khasiatnya sebagai herba untuk kesihatan sudah diketahui umum. Tanomkinotuan tanam sepokok sebagai koleksi pokok herba di laman rumah.











Tidak bermakan jika daun sup ini tidak disertakan dalam masakan soto. Ia sangat beraroma dan sangat berkhasiat kepada pemakannya. Dikatakan ia boleh membantu mengubati anemia, menurunkan kadar kolesterol dalam darah, meningkatkan imunisasi dan batuk.









Pokok terang mata adalah nama pokok ini (tidak rasmi). Menyukai kawasan suhu sejuk di kawasan tanah tinggi. Sebab itu di Kundasang dan Cameron highland banyak ditanam pokok ini secara ladang. Ia mempunyai kandungan vitamin A yang tinggi. Tanomkinotuan mencuba menanamnya di lowland dan boleh hidup dengan baik cuma pokok dan daun tidaklah selebar pokok yang ditanam di tanah tinggi.











Pokok lidah buaya pokok herba yang banyak manfaat. Jika tangan melecur terkena api potong daunnya dan sapukan pada tempat melecur tersebut. Pokok lidah buaya tidaklah cerewet untuk dijaga dan tidak perlu membaja dengan kerap. Cukup sekadar menyiram dengan air bagi senantiasa melembabkan media maka tumbuhlah pokok ini dengan baik.









Pokok bawang dayak atau nama saintifiknya ialah Eleutherine palmifolia ini sangat cepat membiak jika media yang digunakan poros dan kaya zat makanan. Bunganya cantik berwarna putih disukai kelulut menghinggapinya. Khasiat pokok ini untuk mengurangkan masalah barah payu dara dan barah hati sangat berkesan.









Pokok lempoyang isi merah adalah tumbuhan asal di Asia. banyak ditanam kerana salah satu bahan untuk digunakan dalam mandian ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Aroma kuat dan sangat cepat membiak.









Ini pula pokok herba oregano, aromanya sama seperti bangun-bangun bagus untuk mengurangkan selsema dan batuk-batuk. Daunnya dicarik-carik dan direndam dalam air panas dan minum sesudah air tersebut menjadi suam-suam kuku. Ia juga enak dicampurkan dalam daging untuk bahan perap.






Borage herb asal tumbuhan luar negara berjaya tumbuh sempurna di bumi Malaysia hingga berbunga. Bunganya cantik berwarna biru terang. Bunga ni sesuai dijadikan hiasan dalam air minuman sejuk.










Sayur pucuk ranti hitam atau tutan hitam (bahasa di sini) merujuk kepada satu jenis meranti yang tumbuh di kebun dan kawasan semak. Ia sangat sedap dimakan sebagai sayur namun rasa pahit sedikit berbanding sayur pucuk ranti hijau. Sangat mujarab menghilangkan ketuat pada badan. Ambil dua helai daun, hancurkan dan sapu pada ketuat 2 kali sehari hingga ketuat hilang.






Pokok kunyit sudah membesar ditanam di laman rumah. Raya tahun ini pokok kunyit ini akan dikorbankan. Tanomkinotuan akan tanam semula untuk kegunaan raya tahun depan. Jadi tidak perlu membeli kunyit guna sahaja yang ditanam.





Bawang kucai beraroma dan sedap dimakan bersama tumis ikan masin, lada putih dan cendawan sisir. Sayur tumis kegemaran tanomkinotuan. Pokok bawang kucai ini sangat mudah dijaga dan mudah ditanam di dalam pasu. Tuai dengan potong pangkal batangnya sahaja tanpa dicabut. Ia akan bertunas semula.











Tootache plant atau pokok herba ubit gigi ini mempunyai rasa tajam apabila dikunyah. Mulut, lidah dan sekitar mulut akan terbius seketika sebab itu ia sesuai untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut, gigi dan sebagainya.








Basil itali adalah pokok herba yang popular di negara Itali sebagai penambah aroma kepada masakan. Siapa tidak kenal dengan spaghetti di mana sosnya dicampurkan dengan daun basil ini bagi meningkatkan sensasi aroma masakan.








Pokok herba rerama hijau tidak asing lagi kerana khasiatnya berkesan mengurangkan darah tinggi, kolesterol dan penyakit barah.





Pokok bayam brazil ini boleh dibuat sayur. Pokok renek bercabang dan membiak banyak daun mudanya sedap dimasak sebagai sayuran. Tidak berlendir dan sesuai masak tumis.





Pokok roselle putih jarang orang menanamnya. Kegunaannya sama seperti roselle merah tetapi menariknya ia sangat sedap di buat jem. Sapu sekeping roti anda dengan secalit jem roselle putih pasti enak dan mengujakan.








Kencur daun gelap adalah pokok herba yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Tanomkinotuan menanamnya sebagai tambahan pokok herba di laman rumah.












Ini adalah pokok jari buaya yang dibawah masuk ke sabah dari Pahang. Pokok jenis menjalar dan berubi ini mempunyai daun 6 jejari dengan bunga berwarna merah jampu gelap. Ubat mujarab untuk penyakit jantung kata orang. Isinya dituai dan dicuci bersih, dihiris halus-halus dan dikeringkan. Ambil sekeping dua dan tuang dengan air panas dalam gelas. Sejukkan hingga suam dan minum airnya.





Bayam new zealand asal pokok dari New zealand. Daun nya boleh dibuat sayur dan salad. Sangat enak dan lazat. Cuma ia berlendir sedikit seperti bendi.





Pokok herba perilla hijau atau juga dikenali sebagai shiso. Daunnya dimakan dengan meletakkan bahan-bahan kesukaan di atasnya seperti daging, nasi, lauk pauk dan sos, dilipat dan dimakan. Alaahhhh macam dalam drama Korea itulah.





Ini kononnya kunyit hitam daun merah tetapi tanomkinotuan belum menilik lagi apakah benar isinya berwarna hitam. kita tengok selepas pokoknya berusia 3 tahun.





Pokok cincau hitam vietnam, inilah pokok untuk menghasilkan cincau hitam yang selalu kamu makan dan minum di restoran sekitarnya. Kaya dengan zat besi sesuai di makan ketika cuaca panas. Kata orang boleh mengurangkan panas badan.






Pokok ginseng jawa atau akar som ini manfaatnya sangat baik untuk para lelaki dan untuk mengurangkan keletihan badan. Pucuk muda enak dimasak bersama telur dadar atau dicampurkan ke dalam sup ayam atau daging.





Satu lagi variati kunyit hitam yang ditanam dalam pasu. Isi berwarna hitam dan gelap. Banyak digunakan dalam perubatan untuk merawat terkena sihir.













Dan akhir sekali ialah rumput beijing yang dikatakan boleh mengubati penyakit kanser. Juga boleh dicampurkan ke dalam masakan daging untuk mempercepatkan daging tersebut empuk.

Inilah antara pokok herba yang ada ditanam di laman rumah tanomkinotuan. Tanomkinotuan sangat suka mengumpulkan pokok-pokok herba sebagi hobi sampingan. Bolehlah digunakan untuk mencantikkan laman rumah sendiri. Kawan-kawan apa kata tanam sepokok pokok herba dirumah anda. Anda pasti boleh melakukannya

Selamat bertani dan menuai hasil.