Selasa

Panduan Menyemai Lobak Merah Variati Scarlet Nantes

Tags















Lobak Merah Scarlet Nantes











PENGENALAN PADA LOBAK MERAH SCARLET NANTES






Lobak Merah atau nama saintifiknya Daucus Carota ialah tumbuhan berisi dalam tanah yang dituai untuk dijadikan makanan yang enak dan sedap. Pada pos lepas tanomkinotuan ada berkongsi panduan menanam lobak merah dalam besen terbuang dan dalam polibag terpakai. Hari ini Tanomkinotuan ingin berkongsi panduan menyemai lobak merah variati Scarlet Nantes. Lobak merah ini termasuk dalam kumpulan lobak merah yang digelar variati Nantes. Selain variati nantes kita juga akan menjumpai 3 variati lain iaitu lobak merah variati Imperator, lobak merah variati Chantenay dan lobak merah variati Miniature. Setiap variati ini juga terdapat pelbagai jenis di dalamnya.






Lobak merah scarlet nantes ini juga boleh digelar sebagai early Coreless Carrot. Ianya sayuran musim sejuk yang mempunyai lobak berbentuk silinder yang boleh mencapai 7 inci panjang mengikut keadaan media atau tanah. Pokok lobak merah scarlet nantes ialah jenis biennial iaitu bermaksud pokok cepat dituai hasilnya. Berikut panduan untuk menanam lobak merah scarlet nantes.










PENYEDIAAN MEDIA TANAMAN






Bagi mereka yang ingin menanam lobak merah di atas batas elok membuat pengemburan terlebih dahulu. Korek tanah sedalam 8 inci atau 1 kaki dalam dan gembur tanah sehingga menjadi serpihan-serpihan halus yang poros dan gembur. Buang segala benda asing seperti akar, rumput, ranting, semen, paku dan batu, ini bertujuan agar pembentukan lobak tidak terganggu. Naikkan batas setinggi 2 kaki.

Tabur kompos setinggi 2 inci pada keseluruhan batas dan jika perlu tabur 2 genggam kapur pertanian pada saiz batas 2 X 6 kaki persegi (kuantiti kapur pertanian mengikut saiz batas anda). Kemudian tabur baja NPK subur nisbah 10-10-10 pada batas tersebut dan gaul hingga merata. Kuantiti baja subur yang digunakan berdasarkan pada jadual pemakaian pada pembungkusnya. Sila baca dengan teliti sebelum menggunakannya.

Bagi mereka yang menanam lobak merah scarlet nantes menggunakan raised bed tanpa mengorek tanah pula ialah perlu menyediakan kayu yang sesuai untuk membuat raised bed. Cari kayu bersaiz 10 inci lebar dengan saiz muatan batas ialah 2 X 6 kaki persegi (ikut kesesuaian penanam berapa sukatan raised bed yang ingin dibuat). Sediakan media dengan menggunakan campuran cocopeat, kompos, pasir serta baja NPK 10-10-10 atau beli 5 bundle potting mix atau secukupnya di kedai-kedai nusery atau kedai pertanian berhampiran. Masukkan ke dalam raised bed yang dibuat hingga penuh.

Bagi mereka yang ingin menanam lobak merah scarlet nantes pada pasu/kontena hanya perlu menyediakan media yang boleh dibeli di nusery berhampiran. Masukkan media ke dalam pasu sehingga penuh.




PENYEDIAAN BENIH LOBAK MERAH SCARLET NANTES

Dapatkan benih lobak merah scarlet nantes di kedai-kedai pertanian atau jualan benih online yang terpercaya, pastikan anda membeli benih yang tidak tarikh luput iaitu masih baharu.




MENYEMAI BENIH LOBAK MERAH SCARLET NANTES






Buka pembungkus lobak merah scarlet nantes tersebut dan masukkan ke dalam satu bekas yang bersih, campurkan 4 sudu makan pasir dan gaul merata. Pastikan guna pasir yang agak kering sedikit agar benih dapat dijarakkan semaksima mungkin. Pada tapak penanaman batas, raised bed atau pasu, anda boleh membuat satu garisan alur sedalam 1 inci untuk menyemai benih lobak merah tersebut dan benih lobak merah yang telah dicampurkan ke dalam pasir itu disemai ke dalam alur yang telah dibuat tadi. Tutup alur tersebut dengan tanah ditepinya dan siram dengan air secara sederhana. Media jangan terlalu basah cukup media lembab.


PERCAMBAHAN DAN PENJARAKKAN ANAK POKOK LOBAK MERAH SCARLET NANTES






Lobak merah scarlet nantes mengambil masa untuk bercambah kira-kira 2 minggu (14 hari). Jadi kepada pembaca sila bersabar jika menyemai benih lobak merah ini. Selepas 20 hari kita boleh membuat penjarakkan anak pokok dengan mencabut beberapa anak pokok yang tidak diperlukan. Jarak yang sesuai antara anak pokok ialah 5 atau 6 inci. Jadi cabut anak pokok tersebut untuk mengelakkan persaingan mendapatkan makanan dan paling penting untuk membuat penjarakan anak pokok ialah mendapatkan lobak yang bersaiz standard dan cantik. Jika tidak dijarakkan lobaknya bersaiz kecil. Maka dengan itu kepada para pembaca diluar sana jangan anda rasa sayang jika mencabut anak lobak tersebut kerana reward akan datang ianya berbaloi dengan mendapat isi lobak yang sama dengan isi lobak yang dijual di kedai. hihi....

Untuk mengekalkan kelembapan pada tanah, anda boleh menyulamnya dengan menanam benih radish di antaranya. Benih radish amat cepat bercambah dan cepat dituai. Ini adalah saranan dan cara biasa yang diguna pakai oleh pekebun luar negara bilamana menanam lobak merah.










PENYIRAMAN DAN PENJAGAAN POKOK LOBAK MERAH SCARLET NANTES






Setelah anak pokok lobak merah bercambah, siram anak pokok menggunakan air secukupnya iaitu 2 minggu sekali. Jangan sesekali media menjadi kering kerana ia membantutkan anak pokok lobak membesar dengan baik. Jangan pula terlebih siram sehingga media basah lecun, ini juga tidak baik untuk pokok lobak anda. Siram secara sederhana dengan melihat media di mana jika media masih lembab dan merasakan ia cukup kandungan air dalam tanah tidak perlu disiram. Cabut rumput rumpai yang tumbuh di kawasan batas, raised bed atau pasu jika ada. Kita tidak mahu ada persaingan mendapatkan makanan di antara pokok lobak dan rumput rumpai.

Penjagaan pokok lobak merah variati scarlet nantes tidaklah rumit. Ia mudah dijaga dan tidak perlu memberi perhatian berlebih-lebihan. Yang penting di sini ialah cukup kelembapan tanah, baja sudah memadai. Oh ya pengetahuan ini sangat diperlukan oleh penanam lobak merah. Lobak merah ditanam untuk mendapatkan isi lobaknya, jadi di sini tidak perlu membaja terlalu kerap. cukup sekadar sekali pada masa penyediaan media. Pokok lobak merah tidak perlu baja (nitrogen) yang banyak dalam tanah. Ini akan merimbunkan daun pokok lobak dan isi lobak yang terhasil adalah bersaiz kecil dan bercabang. Jadi sila ambil perhatian....




TUAIAN DAN CARA PENYEDIAAN MASAKAN LOBAK MERAH SCARLET NANTES






Tuai lobak merah scarlet nantes setelah berusia 70 hingga 75 hari dengan menggunakan alat serampang tangan. Korek tanah dan tuai isi lobak tersebut. Buang daunnya dan bersihkan tanah dengan air. Toskan air dengan meletakkan lobak merah di atas tuala bersih atau tisu. Kemudian masukkan ke dalam bekas kontena kedap udara seterusnya simpan ke dalam peti sejuk.

Lobak merah variati scarlet nantes sesuai di masak seperti masak panggang, masak stem, dibuat air jus, atau dicampurkan ke dalam salad. Juga ia sesuai dimasak mengikut resepi budaya sendiri. Nikmatilah lobak merah tanam sendiri bersama keluarga anda.

Selamat bertani dan menuai hasil

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon