Rabu

Kumpulan Pokok Herba Yang Tumbuh di KBR

Tags







Selain dari jenis sayuran yang ditanam, tanomkinotuan juga mula berjinak-jinak menanam pelbagai herba jenis kunyit dan kecur yang mana sangat menerika perhatian tanomkinotuan. Pokok-pokok herba ini banyak kegunaan dalam perubatan tradisional dan mampu mengubati penyakit-penyakit ringan. tidak hairanlah pokok-pokok herba ini banyak ditanam secara kecil-kecilan di laman rumah sebagai alternatif rawatan.

Tanomkinotuan juga menyukai pelbagai jenis pokok herba. Asal mendengar atau terbaca akan pokok berkhasiat disitulah tangan gatal ingin mencari dan mendapatkan pokok tersebut. Masalah juga sifat dan perilaku sedemikian hingga emak tanomkinotuan membebel memanjang hehe.






Jom lihat gambar-gambar berikut mengenai pokok herba dalam koleksi laman KBR.









Herba pertama yang ingin ditunjukkan ialah pokok sambung nyawa batik. Pokok ini sekeluarga dengan sambung nyawa hijau dan ungu. Dikatakan baik untuk mengurangkan kadar kolestrol dalam darah. Daunnya boleh dimakan sebagai salad, dibuat jus atau dimasak bersama telur dadar.









Ini pula pokok herba sambung nyawa hijau. Tumbuh baik pada cuaca panas seperti cuaca di negara kita. Fungsinya sama dengan pokok sambung nyawa yang lain dan juga boleh dimakan.









Pokok sambung nyawa ungu atau Gynura nepalliensis dalam bahasa botaninya adalah pokok beraroma sedap dan kuat. Enak dijadikan salad dan dicampur dalam telur dadar. Fungsinya juga boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah. Sebab itu pokok ini juga digelar sebagai Cholesterol Spinach herb.









Halia bara atau halia merah tidaka asing lagi dengan kita. Pokok ini banyak ditanam di negara kita secara perseorangan dan kecil-kecilan. Khasiatnya sebagai herba untuk kesihatan sudah diketahui umum. Tanomkinotuan tanam sepokok sebagai koleksi pokok herba di laman rumah.











Tidak bermakan jika daun sup ini tidak disertakan dalam masakan soto. Ia sangat beraroma dan sangat berkhasiat kepada pemakannya. Dikatakan ia boleh membantu mengubati anemia, menurunkan kadar kolesterol dalam darah, meningkatkan imunisasi dan batuk.









Pokok terang mata adalah nama pokok ini (tidak rasmi). Menyukai kawasan suhu sejuk di kawasan tanah tinggi. Sebab itu di Kundasang dan Cameron highland banyak ditanam pokok ini secara ladang. Ia mempunyai kandungan vitamin A yang tinggi. Tanomkinotuan mencuba menanamnya di lowland dan boleh hidup dengan baik cuma pokok dan daun tidaklah selebar pokok yang ditanam di tanah tinggi.











Pokok lidah buaya pokok herba yang banyak manfaat. Jika tangan melecur terkena api potong daunnya dan sapukan pada tempat melecur tersebut. Pokok lidah buaya tidaklah cerewet untuk dijaga dan tidak perlu membaja dengan kerap. Cukup sekadar menyiram dengan air bagi senantiasa melembabkan media maka tumbuhlah pokok ini dengan baik.









Pokok bawang dayak atau nama saintifiknya ialah Eleutherine palmifolia ini sangat cepat membiak jika media yang digunakan poros dan kaya zat makanan. Bunganya cantik berwarna putih disukai kelulut menghinggapinya. Khasiat pokok ini untuk mengurangkan masalah barah payu dara dan barah hati sangat berkesan.









Pokok lempoyang isi merah adalah tumbuhan asal di Asia. banyak ditanam kerana salah satu bahan untuk digunakan dalam mandian ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Aroma kuat dan sangat cepat membiak.









Ini pula pokok herba oregano, aromanya sama seperti bangun-bangun bagus untuk mengurangkan selsema dan batuk-batuk. Daunnya dicarik-carik dan direndam dalam air panas dan minum sesudah air tersebut menjadi suam-suam kuku. Ia juga enak dicampurkan dalam daging untuk bahan perap.






Borage herb asal tumbuhan luar negara berjaya tumbuh sempurna di bumi Malaysia hingga berbunga. Bunganya cantik berwarna biru terang. Bunga ni sesuai dijadikan hiasan dalam air minuman sejuk.










Sayur pucuk ranti hitam atau tutan hitam (bahasa di sini) merujuk kepada satu jenis meranti yang tumbuh di kebun dan kawasan semak. Ia sangat sedap dimakan sebagai sayur namun rasa pahit sedikit berbanding sayur pucuk ranti hijau. Sangat mujarab menghilangkan ketuat pada badan. Ambil dua helai daun, hancurkan dan sapu pada ketuat 2 kali sehari hingga ketuat hilang.






Pokok kunyit sudah membesar ditanam di laman rumah. Raya tahun ini pokok kunyit ini akan dikorbankan. Tanomkinotuan akan tanam semula untuk kegunaan raya tahun depan. Jadi tidak perlu membeli kunyit guna sahaja yang ditanam.





Bawang kucai beraroma dan sedap dimakan bersama tumis ikan masin, lada putih dan cendawan sisir. Sayur tumis kegemaran tanomkinotuan. Pokok bawang kucai ini sangat mudah dijaga dan mudah ditanam di dalam pasu. Tuai dengan potong pangkal batangnya sahaja tanpa dicabut. Ia akan bertunas semula.











Tootache plant atau pokok herba ubit gigi ini mempunyai rasa tajam apabila dikunyah. Mulut, lidah dan sekitar mulut akan terbius seketika sebab itu ia sesuai untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut, gigi dan sebagainya.








Basil itali adalah pokok herba yang popular di negara Itali sebagai penambah aroma kepada masakan. Siapa tidak kenal dengan spaghetti di mana sosnya dicampurkan dengan daun basil ini bagi meningkatkan sensasi aroma masakan.








Pokok herba rerama hijau tidak asing lagi kerana khasiatnya berkesan mengurangkan darah tinggi, kolesterol dan penyakit barah.





Pokok bayam brazil ini boleh dibuat sayur. Pokok renek bercabang dan membiak banyak daun mudanya sedap dimasak sebagai sayuran. Tidak berlendir dan sesuai masak tumis.





Pokok roselle putih jarang orang menanamnya. Kegunaannya sama seperti roselle merah tetapi menariknya ia sangat sedap di buat jem. Sapu sekeping roti anda dengan secalit jem roselle putih pasti enak dan mengujakan.








Kencur daun gelap adalah pokok herba yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Tanomkinotuan menanamnya sebagai tambahan pokok herba di laman rumah.












Ini adalah pokok jari buaya yang dibawah masuk ke sabah dari Pahang. Pokok jenis menjalar dan berubi ini mempunyai daun 6 jejari dengan bunga berwarna merah jampu gelap. Ubat mujarab untuk penyakit jantung kata orang. Isinya dituai dan dicuci bersih, dihiris halus-halus dan dikeringkan. Ambil sekeping dua dan tuang dengan air panas dalam gelas. Sejukkan hingga suam dan minum airnya.





Bayam new zealand asal pokok dari New zealand. Daun nya boleh dibuat sayur dan salad. Sangat enak dan lazat. Cuma ia berlendir sedikit seperti bendi.





Pokok herba perilla hijau atau juga dikenali sebagai shiso. Daunnya dimakan dengan meletakkan bahan-bahan kesukaan di atasnya seperti daging, nasi, lauk pauk dan sos, dilipat dan dimakan. Alaahhhh macam dalam drama Korea itulah.





Ini kononnya kunyit hitam daun merah tetapi tanomkinotuan belum menilik lagi apakah benar isinya berwarna hitam. kita tengok selepas pokoknya berusia 3 tahun.





Pokok cincau hitam vietnam, inilah pokok untuk menghasilkan cincau hitam yang selalu kamu makan dan minum di restoran sekitarnya. Kaya dengan zat besi sesuai di makan ketika cuaca panas. Kata orang boleh mengurangkan panas badan.






Pokok ginseng jawa atau akar som ini manfaatnya sangat baik untuk para lelaki dan untuk mengurangkan keletihan badan. Pucuk muda enak dimasak bersama telur dadar atau dicampurkan ke dalam sup ayam atau daging.





Satu lagi variati kunyit hitam yang ditanam dalam pasu. Isi berwarna hitam dan gelap. Banyak digunakan dalam perubatan untuk merawat terkena sihir.













Dan akhir sekali ialah rumput beijing yang dikatakan boleh mengubati penyakit kanser. Juga boleh dicampurkan ke dalam masakan daging untuk mempercepatkan daging tersebut empuk.

Inilah antara pokok herba yang ada ditanam di laman rumah tanomkinotuan. Tanomkinotuan sangat suka mengumpulkan pokok-pokok herba sebagi hobi sampingan. Bolehlah digunakan untuk mencantikkan laman rumah sendiri. Kawan-kawan apa kata tanam sepokok pokok herba dirumah anda. Anda pasti boleh melakukannya

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen

cikgu.. lidah buaya tu bila jual benih nya.. hehehe

Dijual dah anak pkk lidah buaya tu. Klo nak whatsapp 019-5320756


EmoticonEmoticon