Sabtu

Panduan Menanam Kentang Kundasang

Tags





Menanam kentang sendiri merupakan satu kepuasan yang sangat berbaloi dalam diri kita. Dimaklumi bahawa kentang adalah tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan dan telah ditanam oleh kaum Inca dan Mayan 2000 tahun yang lampau. Menyebar ke Eropah dan USA serta di seluruh dunia kerana kepentingannya dalam diet pemakanan harian khususnya di negara-negara Barat.

Walau bagaimanapun terdapat satu variati kentang yang tumbuh asli di Sabah, khusunya Daerah Ranau. Variati kentang kundasang ini menyukai suhu sejuk dan sesuai tumbuh di tanah tinggi serta menyukai hujan lebat tidak seperti kentang variati import yang tidak menyukai media terlalu basah lecun. Cuma saiz kentang kundasang atau juga disebut oleh orang tempatan sebagai kentang kampung ini mempunyai ubi bersaiz kecil dan warna kulit pucat kecoklatan.

Berikut ialah panduan menanam kentang jenis kentang kundasang. Tanomkinotuan berpandukan kepada kentang jenis kundasang ini. Jika anda menanam jenis kentang import pastikan ditanam di bawah teduhan DIY bagi mengelak hujan menimbah media anda.



Dapatkan benih kentang kundasang ini melalui pembelian secara online atau datang ke Sabah dan pergi ke gerai di kundasang sana dan bertanya kepada penjual tentang kentang kundasang. Anda pasti dilayan dengan senyuman manis para penjual yang putih melepak. Tidak percaya.... sila ke Kundasang.. hihi. Pilihlah ubi kentang yang matang, kurang penyakit dan sihat. Elak membeli ubi kentang yang berpenyakit dan bersaiz kecil sangat.

Sebelum ditanam, ubinya harus di biarkan ditempat suhu bilik untuk membolehkan ubinya bertunas. Tunggu hingga kira-kira 2 ke 3 minggu untuk proses penunasan ubi kentang Kundasang anda. 

Sementara menunggu ubi-ubi kentang ini bertunas, anda bolehlah menyediakan batas atau media penanaman. Kentang sesuai ditanam pada batas yang poros, kaya nutrient dan saliran air dan udara yang baik. Gembur tanah sedalam 1 kaki dalam dan 2 kaki lebar. Anda harus membuat batas jika menanam kentang kundasang dalam skala yang besar. Tabur kompos (kompos dari tumbuhan atau tinja binatang) untuk membaikpulih tanah anda. Untuk makluman anda, pokok kentang adalah jenis pokok yang perlukan nutrient yang banyak. PH tanah sesuai untuk kentang ialah 5.5 hingga 6.5 di mana sedikit berasid. Pokok kentang tidak berapa sesuai ditanam pada ph tanah 7.0 ke atas. Mungkin tumbuh dan membesar tetapi ubinya agak kurang.

Jika menanam pada pasu pula, anda boleh membuat media campuran sendiri atau membeli tanah campur di nusery berhampiran. Campurkan cocopeat, pasir sungai dan kompos dengan nisbah 2:1:1, anda boleh menggunakan pasu, polibag atau box yang besar untuk hasil pokok yang memuaskan. Biarkan batas dan media dalam pasu tersebut sehingga 2 minggu untuk menyebatikan tanah dan kompos.

Setelah ubi-ubi kentang tersebut telah bertunas kira-kira 1 inci maka ubi-ubi kentang tersebut bersedia untuk ditanam ke batas atau pasu anda. Caranya, Gembur semula batas yang dibiarkan selama 2 minggu, tidak perlu menambah apa-apa masa ini kerana sudah ditambah pada permulaan proses pengemburan tanah yang lalu. buat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara pokok 2 kaki ke 3 kaki. Tanam ubi kentang anda ke dalam lubang dengan mata tunas menuju ke atas. Kemudian timbus dan siram dengan air secukupnya.

Bagi menanam pada pasu pula, sediakan pasu bersaiz besar dan masukkan setengah media ke dalam pasu. Hanya setengah sahaja ya jangan penuhkan pula. Buat lubang di tengahnya dan tanam ubi kentang dengan mata tunas menengak ke atas. Timbus dengan tanah dan siram.

Percambahan mata tunas ubi kentang kundasang mengambil masa 14 hari untuk keluar dari permukaan tanah. Pada masa ini tidak ada proses yang perlu dibuat hanya dengan menyiramnya dua kali sehari ketika musim kemarau. Setelah anak pokok kira-kira 8 hingga 10 inci maka anda harus membuat hilling atau meninggikan batas anda dengan mengorek tanah disamping batas dan menambahnya disekeliling anak pokok. Tujuannya ialah agar berisi banyak dan dapat melindungi ubi kentang dari sinaran matahari. Bagi dalam pasu pula, anda hanya menambah tanah ke dalam pasu sehingga penuh. Perhatian yang perlu dimaklumi, jangan menimbus anak pokok kentang sehingga tidak kelihatan. ia akan mati.


Masa proses ini anda boleh menambah baja subur organik disekeliling tanah untuk pertumbuhan pokok yang sihat dan subur. Pembajaan perlu untuk tumbuhbesaran pokok kentang dan lupa menaburkan baja isi disekeliling pokok. Pokok kentang kundasang memerlukan tanah yang subur dan kaya nutrient untuk menghasilkan ubi yang banyak.

Sekiranya musim kemarau siram pokok dua kali sehari pagi dan petang. Tidak perlu ketika hujan. Pokok Kentang sudah boleh dituai setelah berusia 3 bulan ke 4 bulan. Jom menanam kentang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.


EmoticonEmoticon