Sabtu

Lobak Putih Korea Gergasi Hidup Membesar di Bumi Sabah.

Tags



Bila tanomkinotuan mempunyai kelapangan tanomkinotuan akan menonton rancangan-rancangan memasak di channel TLC. Pada masa itu memaparkan rancangan masakan korea yang enak dan sedap khususnya jenis jeruk seperti kimchi yang pelbagai. Cukup teruja dengan lobaknya yang bersaiz besar gempal dan memnpunyai hijau pada pangkal lobaknya dan putih di bahagian bawah. Tanomkinotuan terfikir mana hendak dapatkan benihnya.

Setahu tanomkinotuan tidak ada benih jenis lobak putih sebegini dijual di sini apatah lagi lobaknya. Ada pun lobak jenis memanjang yakni lobak putih cina. 

Tanomkinotuan berangan-angan hendak menanam lobak putih korea di mana bolehlah membuat kimchi mengikut resepi asal di negara tersebut. Tanomkinotuan sudah lama mengidam menanam lobak jenis ini. Keesokan harinya tanomkinotuan menghantar email sahabat di korea untuk meminta tolong belikan benih lobak putih tersebut. Semua berjalan lancar dan alhamdullilah Allah permudahkan segalanya. 3 minggu dari itu benih lobak putih korea sudah ada di tangan. Senyuman sudah sampai ke telinga, sudah tidak sampai untuk menyemainya.



usia sebulan


Namun begitu sebelum benih tiba tanomkinotuan sudah sediakan batas untuk menanam benih lobak putih itu nanti. Batas saiz kecil sahaja kira-kira 7 kaki X 2 kaki sahaja. Apa yang tanomkinotuan lakukan ialah tanah digembur dan ditambah ziolite 2 genggam, kompos tinja ayam terproses 5 kilo ditabur dan digaul merata. Kemudian siram dengan mol pisang. Sesudah itu tanomkinotuan sungkupkan dengan rumput kering biarkan tanah dan bahan dicampurkan itu sebati. Maka tanah/batas tersebut direhatkan selama 3 minggu hingga benih sampai.

Sampai dirumah petangnya tanomkinotuan alihkan rumput kering dan didapati tanah batas tersebut sangat hitam kehijauan (lumut) menandakan tanah sangat berkondisi baik untuk ditanam apa-apa jenis sayuran. Gembur sekali untuk proses menyebatikan semua bahan dan buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak 1 kaki lebih. Tanomkinotuan tanam benih dua biji satu lubang. Just in case jika sebiji tak bercambah bolehlah satu biji lagi tampung agar lubang yang dibuat ada benih untuk bercambah.


Tuaian Lobak putih korea


Lobak putih korea atau deopyeong ini pertumbuhannya mengambil masa 4 ke 5 hari percambahan. Pada usia satu minggu pertumbuhannya sangat perlahan tetapi setelah usia dua minggu dan seterusnya pokok mula membesar dengan cepat. Seiring dengan usia pokok lobaknya mula kelihatan dan membesar. Tanomkinotuan membajanya hanya menggunakan baja subur jenis fellet yang banyak dijual di kedai pertanian atau kedai hardware. Tabur dua minggu sekali. Disiram pagi petang jika musim kemarau dan tidak perlu ketika hujan.

Sangat mengujakan dengan daun berbuluh sedikit tidak seperti lobak biasa di mana daun halus mulus. Lobaknya mula meninggi dengan hijau di atasnya. hal ini berlaku kerana terkena sinaram matahari menyebabkan ianya berubah menjadi warna hijau.

Selepas hampir 3 bulan tanomkinotuan sudah tidak sabar untuk menuai. Makanya pagi-pagi lagi tanomkinotuan sudah bersedia di kebun mini dengan besen kecil untuk tempatnya. Tanomkinotuan pilih yang bersaiz besar ketika itu dan cabut pokok dari tanah. Sangat-sangat mengujakan. Bentuk lobak yang besar dan gemuk tetapi sedikit kontot haha. Di tempat asalnya lobak deopyeong ini ditanam pada musim sejuk kerana ianya tahan dengan suhu sejuk malah lobaknya 3 kali ganda besar berbanding di gambar milik tanomkinotuan.

Walaupun tidak memperolehi lobak bersaiz besar tetapi tanomkinotuan sudah cukup bersyukur diberikan rezeki sedemikian rupa. Tanomkinotuan masak sup ayam dicampurkan dengan lobak putih korea dan sebahagian lagi dibuat kimchi lobak putih. Lobak putih korea tidaklah lidas seperti lobak biasa yang dijual di pasaran. ia agak keras dan mampat bentuknya. Tanaman kedua tanomkinotuan tanam menggunakan pasu pula, lihat apa hasilnya.

Berminat menanam lobak putih korea gergasi (deopyeong) tanomkinotuan ada benihnya rm2.00 sepeket (25 biji) atau dapatkan benih-benih sayuran di SINI.

Selamat bertani dan menuai hasil.



Moringa Pokok Yang Berkhasiat Untuk Kesihatan

Tags




Masa tanomkinotuan masih kecil teringat tanomkinotuan banyaknya rumah-rumah orang Kadazan/Dusun ditempat tanomkinotuan menanam pokok ini. Tetapi seingat tanomkinotuan tidak ada yang makan sebagai sayur. Mereka hanya menanamnya untuk dituai dan dijual ke pasar mingguan di pekan Keningau. Pernah tanya orang-orang tua dahulu kenapa tidak memakan sebagai sayur. orang tua tersebut mengatakan tidak biasa dan tidak tahu cara makan walaupun selalu berinteraksi dengan pembeli tegar pokok moringa ini di tamu. Istilah pertama yang menyapa ke telinga tanomkinotuan ialah pokok kelor. Kaum Bugis dan Bajau di Sabah sangat menyukai memakan daun pokok ini. Hingga sekarang setiap kediaman mereka atau kawasan penempatan mereka wajib ada sepokok dua pokok moringa. Tetapi hari ini, sudah ramai menanam pokok ini tidak kira bangsa.

Bila sudah menginjak dewasa barulah tahu pokok ini sangat berkhasiat kepada tubuh badan. Daunnya dituai dan daun bersaiz kecil ini ditanggalkan dari batang daunnya lalu di masak dengan pelbagai resepi kegemaran.

Pokok moringa atau kelor ini dikenali sebagai Moringa Oleifera dalam bahasa botaninya dan tergolong dalam keluarga moringaceae. Juga digelar sebagai moringa, murunggui, morunggai, kelor, drumstick tree. Moringa adalah pokok asli dari wilayah kaki himalaya dan India dan sesuai tumbuh pada iklim tropika dan sub-tropika. Daunnya dimakan sebagai sayur dan bijinya boleh dijadikan minyak dan digunakan sebagai ubat di sesetengah tempat khususnya di India dan sekitarnya.

Tanomkinotuan memperolehi benih moringa ini pada seorang nenek yang ada menanam pokok tersebut. Nasib tanomkinotuan sangat baik kerana masa itu pokok moringa berbuah lebat dan sudah ada yang matang. banyak buahnya jatuh ke tanah. jadi tanomkinotuan hanya nmengambil satu batang buah yang dah jatuh dengan keizinan nenek tersebut.

tanomkinotuan menanamnya di kebun jalan kimanis batu 6. Tanah ni tanah yang ditanam pokok getah. Ada sebahagian tanah yang terbiar dan inilah tempat tanomkinotuan tanam benih moringa ini. tanomkinotuan tidak menggunakan method penanaman yang diwar-warkan oleh pakar pertanian. Apa yang tanomkinotuan buat ialah korek lubang 3 inci dan tanam benih kemudian timbus. Tidak siram pun. Dua minggu lepas tanomkinotuan ke kebun semula dah bercambah dengan baik. Dan kini pokok tu dah besar panjang menjulang tinggi. Abang tanomkinotuan telah membuat pemangkasan dan tidak lama kemudian ia bertunas dengan tunas yang sangat cantik seperti mana dalam gambar di atas.

Jika anda ingin menanam benih moringa ini janganlah ikut cara tanomkinotuan. Sila ikuti panduan ringkas di bawah untuk menanam benih moringa. Pokok moringa menyukai apa-apa jenis media/tanah. dari jenis tanah loam, gambut atau clay tetapi yang penting tanah tersebut harus diperkayakan dengan zat makanan jika anda menanamnya dalam pasu.

Sediakan media campuran yang boleh dibeli di kedai nusery berhampiran. Masukkan ke dalam pasu (sila pilih pasu bersaiz besar) hingga penuh dan hentak-hentakkan secara perlahan bagi memadatkan tanah tersebut tambah tanah lagi jika perlu. buat lubang ditengah sedalam 3 inci dan masukkan benih. Timbus lubang kemudian siram dengan air banyak. Percambahan mengambil masa 14 hari ke atas untuk bercambah atau mengikut kondisi benih anda. Baja tanah dua minggu sekali dengan menggunakan baja subur organik atau sebulan sekali jika menggunakan baja kimia. Selain benih moringa juga boleh ditanam menggunakan keratan batang.

Kandungan nutrient pada pokok moringa sangat tinggi terutama pada daunnya. 5 cup daun pokok moringga mengandungi Vitamin B, vitamin C, Provitamin A (beta-korotin), vitamin K, mangan dan protein. Buah moringa muda pula mengandungi vitamin C, fiber, potasium, magnesium dan mangan. Bijinya pula tinggi kandungan vitamin C dan sedikit vitamin B. Oleh yang demikian, memakan bahagian dari pokok moringa ini memberikan zat makanan yang berguna kepada tubuh badan.


Selalunya bahagian yang dituai untuk makanan dan perubatan ialah daun, buah dan bijinya. Daun dimasak sebagai sayur, boleh ditambah dalam telur dadar (omelet) atau dimasak tumis. daun juga sedap dijadikan jus. Buah muda juga dituai untuk dimasak sebagai sayur. Amat sedap dicampurkan ke dalam menu kari ayam atau ikan. Ia lembut dan berlemak sedikit. Bijinya pula digunakan sebagai serbuk dan diminum untuk kesihatan, selain itu bijinya juga diproses sebagai minyak moringa.

Sekiranya anda mempunyai pokok moringa ini, tuai daunnya dan keringkan daun tersebut hingga kering. Simpan ditempat bekas bertutup. Jika hendak guna ambil daun kering secukupnya dan rendam dalam air hingga lembut bolehlah dimasak mengikut kesukaan atau dikisar sebagai jus minum pagi sebelum serapan. Tanomkinotuan amalkan meminum jus daun moringa waktu pagi sebelum serapan.

Kepada pembaca sekalian. Keperluan pokok moringa di abad ini sangatlah berguna. Tanam sepokok pokok moringa boleh menceriakan anda sekeluarga. Ia bukan sahaja boleh menjadi ubat alternatif tetapi juga boleh petik daun dicampurkan ke dalam telur dadar untuk serapan ahli keluarga. Tidakkah anda teruja akan pokok moringa ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Variati Cili Yang Pernah Ditanam di KBR

Tags

Salam aidilfitri kepada semua umat Islam di mana sahaja berada. Semoga raya tahun ini membawa seribu makna kepada kita bersama keluarga dan sahabat handai. Berkunjunglah ke rumah saudara mara dan rakan taulan bagi mengeratkan lagi silaturahim sesama kita. Makanlah juadah yang dihidangkan dan beringatlah jangan makan berlebihan.

Tanomkinotuan beraya secara sederhana sahaja. Tidaklah terlalu ghairah. Kebun mini di laman rumah dah di penghujung tanaman. Lepas ni nak mula dari bawah. Dua tahun sebelum ini tanomkinotuan menggunakan batas sebagai medium tanaman tetapi pertengahan tahun ini mencuba pula menanam sayuran dalam pasu pula. Nak susun kat depan rumahlah lepas ini. Tanomkinotuan ingin berkongsi sedikit mengenai tanaman cili yang pernah tanomkinotuan tanam di laman rumah. Tentunya tanomkinotuan teruja menanam cili-cili yang sememangnya cantik dipandang dan berguna untuk keperluan dapur. Kata orang cili adalah sebahagian menu dalam sesetengah resepi. Memang tidak boleh nafikan. berikut gambar dan huraian ringkas mengenai pokok cili yang sempat diambil gambarnya.



1. Cili putih borneo adalah variati cili yang banyak ditanam di Sabah, sarawak dan Kalimantan Indonesia. Cili ini sangat tahan kekeringan dan serangan penyakit jika dijaga tanahnya. Sesuai ditanam dikawasan tanah tinggi hingga kawasan tanah rendah dan menyukai ditanam di pasu dan batas.

Tahun lepas tanomkinotuan menanamnya pada batas. Siram menggunakan kompos teh bagi mengelak serangan daun kerinting. hasilnya memang terbaik pokok tumbuh subur, daun lebar dan hijau dan hasilkan buah yang banyak. 

Puaslah tanomkinotuan makan buahnya. Cili putih gugur sahaja bunganya buahnya dah putih dari saiz kecil hingga bersaiz besar/matang dan bertukar menjadi orange ke warna merah setelah masak. Bila sudah berubah warna ke merah ini tandanya buah tersebut sudah boleh dituai untuk benih tanaman seterusnya. Antara resepi popular menggunakan cili putih ini ialah dijeruk dicampurkan dengan bosou/jeruk ikan sungai, campuran bawang lokio, ikan masin, lada putih, kantan, tuhau. bila ada kenduri kendara resepi ini memang resepi wajib yang dihidangkan. Sekilo cili putih boleh mencecah rm15 sekilo dan boleh sampai rm35 sekilo jika permintaan terlalu tinggi.

menanam cili ini tidaklah cerewet, tanam seperti menanam cili yang lain. serangan penyakit ialah daun kerinting, serangan oleh serangga pengorek buah dan serangan pada akar.




2. Cili hijau atau juga di sabah dipanggil cili kaling/cili giling ini sangat mudah tumbuh dan mudah dijaga. Menyukai tanah yang subur dan kaya nutrient. Boleh ditanam di dalam pasu dan juga di batas. daun hijau tua dan mempunyai buah ini sering ditanam oleh petani secara ladang kerana permintaan yang tinggi di pasaran.

cara tanam juga tidak susah kerana ia sesuai dengan cuaca di negara kita.




3. Lada benggala atau kapisum hijau ini sebenarnya hanya sesuai ditanam di kawasan tanah tinggi kerana ianya menyukai cuaca sejuk. Lagi sejuk sekeliling buah terhasil adalah bersaiz besar. tanomkiotuan mencuba menanam di laman rumah dua tahun yang lepas. Pokok berjaya tumbuh dan berbuah tetapi buahnya agak bersaiz kecil. tanomkinotuan sudah bersyukur kerana tidak perlu membeli lada kapsikum ini.

Agak cerewet sedikit menanam cili ini. Harus menggunakan media yang cukup zat makanan. Serangga menyukai pokok lada jenis ini makanya haruslah dijaga dan diberi perhatian sewajarnya.




4. Nama cili ini ialah Variegated Local Explosive Ember atau singkatannya cili EE. Panjang sangat nama jadi tanomkinotuan singkatkan sahaja. Buah berwarna ungu gelap lebih gelap berbanding dengan cili ungu bolivia. Daunnya bercorak batik dengan hijau putih keungguan. batangnya berwarna ungu gelap. Pokok yang senang nak jaga dan tidak cerewet.





5. Akhir sekali ialah aji charapita merah. Buah jenis bulat dan bertukar menjadi warna merah apabila sudah masak. Buahnya mudah tanggal dari tangkai. tahap kepedasan lebih kurang dengan cili padi hutan. Pokok ni juga jarang terkena penyakit jika dijaga dengan betul dan boleh bertahan sehingga 2 tahun. Makluman kepada pembaca sekalian. pokok cili pada gambar di atas ialah benih dari induk pertama. Induknya masih gigih hasilkan buah yang banyak, belum mati lagi dan uniknya tanam dalam pasu sahaja.

Begitulah cerita sang cili-cili yang pernah ditanam di KBR. Uniknya cili-cili ini sangat sesuai ditanam di laman rumah. Kena cara menanam ia boleh bertahan lamanya. Jom tanam cili pula lepas raya ni.

Benih cili di atas masih available jika pembaca nak beli atau klik SINI untuk pelbagai benih menarik untuk anda.

Selamat bertani dan menuai hasil...