Khamis

Cara Buat Tanah Pasu (Potting Soil) Sendiri


Tanah pasu dengan kulit padi

Apakah yang dimaksudkan dengan tanah pasu? tanah pasu adalah terjemahan daripada frasa English bagi perkataan potting soil atau potting mix iaitu campuran mana-mana media tertentu khas digunakan di dalam pasu atau kontena bagi penanaman sayuran, bunga-bungaan dan herba. Kadang-kadang tanah pasu tidak sesekali menggunakan tanah kebun atau tanah biasa dan terdapat juga tanah pasu yang mengandungi tanah kebun. Untuk mendapatkan istilah benar dalam persuratan Bahasa Melayu, tanomkinotuan telah bersusah payah mendaftarkan diri di Khidmat Nasihat DBP online untuk bertanya terjemahan yang tepat. Tidak lama kemudian email dari DBP online sampai dengan mengetengahkan jawapan seperti berikut 'tanah pasu'. Jadi dalam entry ini tanomkinotuan menggunakan istilah tanah pasu untuk perbincangan yang merujuk kepada potting soil.  

lazim diketahui bahawa menanam menggunakan tanah kebun atau tanah di laman rumah mempunyai masalah besar yang ketara bilamana digunakan dalam penanaman sayuran. Ia cecara perlahan-lahan menjadi padat apabila selalu disiram dengan air atau menerima curahan air hujan ketika musim hujan. Mampatan tanah tersebut mengurangkan pengudaraan dalam tanah, saliran air menjadi teruk, pertumbuhan mikrob baik yang kurang dan sudah tentu nutrient makanan kurang yang seterusnya boleh merencatkan pertumbuhan pokok tanaman. Tanah kebun juga boleh menularkan beberapa penyakit yang boleh membunuh tanaman anda. Sebab itulah disarankan menggunakan tanah pasu berkualiti bagi mendapatkan hasil yang maksima.   

Pengalaman tanomkinotuan bertani sayuran di belakang rumah. Batas yang dibuat nampak tinggi namun tidak sampai 3 minggu ia susut 90%. Apabila tanomkinotuan menanam semula kali kedua pada batas yang sama, perlu digembur semula kerana tanahnya sudah mampat atau padat. Ini mengakibatkan tanaman sayuran berdaun seperti sawi kerinting akan layu pada tengahari kerana akar tidak dapat menyerap air secukupnya untuk disalurkan ke seluruhan pokok dan daun. Lagi pula tanah mampat/padat ini air tidak mudah memasuki ke dalamnya kerana kekurangan liang-liang dalam tanah.

Campuran tanah pasu berkualiti haruslah tidak cepat mampat, pengudaran dan saliran air yang baik, kelembapan dan tidak cepat kering, kaya nutrient, bebas benih rumput rumpai dan paling penting ialah bebas penyakit. Pengenalan kepada beberapa bahan media yang sering digunakan di dalam tanah pasu adalah seperti berikut.

1. Tanah

Tanah merupakan bahan semulajadi yang wujud di mana-mana. Ia kaya nutrient dan mikrob baik untuk membantu penguraian bahan terampai di dalam tanah. Kadang-kadang pekebun menggunakan tanah dalam campuran tanah pasu sebagai media campuran sebagai media penanaman contohnya tanah atas (topsoil). Topsoil adalah tanah 30 cm dari permukaan tanah yang kaya humus dan nutrient. Untuk menghapuskan mikrob jahat dalam tanah terlebih dahulu bakar tanah tersebut di dalam oven selama 20 minit dengan darja kepanasan (suhu) kira-kira 200 darjah celsius. Gaul tanah tersebut selang 5 minit untuk menghapuskan mikrob jahat secara menyeluruh.

2. Pasir sungai

Pasir sungai adalah sumber terbaik untuk campuran tanah pasu di mana ia berfungsi dengan menambah liang-liang pada media dengan pengudaraan yang baik di dalamnya. Selain itu pasir sungai juga sangat menyerap air dengan banyak dan cepat kering. Pasir jika ditambah dalam skala banyak dapat menjadikan pasu lebih berat sedikit untuk mengelak daripada tumbang atau jatuh apabila ditiup angin. Lebih-lebih lagi pasu tersebut diletakkan di balkoni atau beranda.

3. Kompos

Kompos adalah bahan yang murah, kaya nutrient dan sesuai ditambah ke dalam campuran tanah pasu. Ia juga kaya dengan mikrob baik. Kompos terhasil daripada 2 sumber yang utama iaitu sumber binatang dan tumbuhan. Ia mampu meningkatkan tahap pertumbuhan tanaman ke tahap maksimum. Namun begitu sumber nutrient dalam kompos bergantung kepada bahan yang digunakan.

Kulit kayu hancur

Lazimnya dalam campuran tanah pasu yang boleh diperolehi di pasaran kadang-kadang dicampur dengan kulit kayu hancur seperti kulit kayu pine hancur (pine bark). Ia bertujuan memberikan ruang-ruang udara dalam media juga mengudaraan dan saliran baik dalam media itu sendiri. Untuk kes di negara kita anda boleh membeli kulit kayu pine hancur ini di pasaran atau boleh mendapatkan habuk kayu mana-mana kilang berdekatan. Pokok kayu acacia juga sesuai mengantikan kulit kayu pine hancur ini. 

4. Peat moss

Tanomkinotuan maklum semua pembaca mengetahui dan selalu dengar istilah peat moss, lebih-lebih lagi kepada mereka yang suka menanam bunga khususnya pokok bunga rose dan orkid. Sebab media ini digunakan untuk menanam kedua pokok bunga tersebut.

Peat moss ialah sejenis lumut yang dikenali sebagai lumut sphagum yang dikeringkan diproses menjadi setengah serbuk. Ia berfungsi sebagai menyerap air bagi mengelak daripada kekeringan yang cepat. Memperbaiki pengudaraan media dan saliran air dalam media. Peat moss adalah bahan utama dalam campuran tanah pasu. tetapi ianya bersifat alkali yang boleh menjejaskan pertumbuhan sesetengah tanaman. Walaupun begitu untuk mengurangkan kadar alkalinya hanya tambah sedikit kapur pertanian.

5. Serat kelapa hancur

Serat kelapa hancur atau juga disebut cocopeat dan coir di dalam bahasa Englishnya. Fungsinya sama dengan peat moss ini di mana ia dapat mengekalkan kelembapan dalam tempoh lama, memperbaiki pengudaran dalam media dan meningkatkan aliran air dalam media. Mempunyai sedikit nutrient seperti potosium dan membekalkan nutrient apabila terurai di kemudian hari. Namun cocopeat tidak bersifat alkali seperti peat moss. Jika anda sukar mendapatkan peat moss anda boleh mengantikan serat kelapa hancur ini dalam campuran tanah pasu.

6. Perlite

Perlite ialah abu vulkano yang dijadikan asas dalam campuran tanah pasu. Ia mampu meningkatkan kadar pengudaraan dalam media, memperbaiki saliran air malah mampu menyerap air dalam tempoh yang lama. Namun peringatan untuk membaca bahawa perlite mengandungi mikroskopik silika dalam abunya dan boleh merosakkan paru-paru bila terhidu. Gunakan penutup mulut dan hidung apabila menggunakan perlite dalam campuran tanah pasu.

7. Vermiculite

Vermiculite adalah bahan yang juga sering digunakan dalam campuran tanah pasu. Ia padat dan mampu memberikan pengudaraan yang baik dalam media.

8. Humus tanah cacing

Humus tanah cacing atau vermicast adalah bahan kumuh yang dikeluarkan oleh cacing dalam tanah yang dipelihara atau diternak oleh pekebun. Ia kaya dengan zat galian dan nutrient untuk tumbuhan anda. Ia adalah bahan tambahan yang dicampurkan ke dalam tanah pasu.

Anda boleh mendapatkan tanah pasu atau potting soil di pasaran. Setiap kedai menjual alat kelengkapan pertanian dan baja adan menjual tanah pasu. Tetapi perlu diingat bahawa setiap jenama mempunyai bahan berbeza di dalamnya. Maka di sini hak pengguna harus digunakan untuk mendapatkan tanah pasu yang sesuai dan berkualiti tinggi. Sila baca dengan teliti bahan-bahan yang digunakan sebelum membeli. terdapat juga tanah pasu yang dibubuh baja organik dan baja urea untuk tindakbalas pada tanaman secara cepat. 

Tanah pasu yang baik dan berkualiti harus menggunakan bahan-bahan asli dan organik tanpa digabungkan dengan bahan sampingan yang tidak berkualiti. Campuran tanah pasu asas adalah seperti mengandungi peat moss, perlite, vermiculite, kulit kayu hancur atau habuk kayu dan sedikit humus dan kompos. 

Kualiti tanah pasu juga diukur dengan cara pengudaraan yang baik, saliran air yang baik, tinggi nilai nutrient, tidak memerangkap jumlah air dalam tempoh lama (menyebabkan akar pokok lemas dan mati), tidak mudah mampat, ringan dan bebas penyakit.

Cara menghasilkan tanah pasu sendiri di rumah adalah seperti berikut:

Bahan-bahannya:

1. 2 bahagian peatmoss (boleh diganti dengan cocopeat)

2. 2 bahagian kompos

3. 1 bahagian kulit kayu pine hancur (boleh diganti dengan habuk kayu atau apa-apa jenis kulit kayu hancur)

4. 1 bahagian vermiculite (boleh diganti dengan pasir kasar atau pasir sungai)

5. 1 bahagian humus tanah cacing (vermicast) 

6. 1/2 bahagian kapur pertanian.

7. 1 bahagian tanah atas (topsoil) -optional-

'bahagian' dalam senarai bahan di atas merujuk kepada bekas kuantiti yang anda gunakan seperti gelas, tin milo, pasu atau pun baldi.


Cara penyediaan:

1. Masukkan 2 bahagian peat moss ke dalam satu bekas yang bersaiz besar seperti besen, anda boleh menggunakan apa-apa bekas yang sesuai. Jika anda menggunakan blok cocopeat. Terlebih dahulu direndam dengan air sehingga kembang 2 kali ganda. Anda tidak perlu menambah kapur pertanian jika menggunakan cocopeat.

2. Seterusnya masukkan vermiculite atau pasir kasar/pasir sungai ke dalam besen. gaul hingga sebati. 

3. Kemudian tambah kompos, kapur pertanian dan humus tanah cacing ke dalam besan serta digaul hingga sebati kesemuanya.

4. Sukat nilai PH media tanah pasu anda, gunakan penyukat nilai PH yang boleh dibeli di kedai nusery. PH tanah pasu yang sesuai ialah 6.0 hingga 7.0. Sekiranya nilai PH rendah daripada 6.0 tambah dolomite atau kapur pertanian untuk meningkatkan nilai PH. Jika nilai PH melebihi 7.0 pula tambah sulfur untuk menutralkan PH tanah pasu anda.

5. Tanah pasu anda siap untuk proses penanaman. Masukkan tanah pasu ke dalam kontena atau polibag atau pun pasu dan sedia untuk menanam anak pokok sayuran anda. 

Anda boleh menambah sumber atau bahan sampingan apabila sayuran anda sudah mula membesar seperti batu mineral, baja organik NPK dan juga serbuk rumpai laut yang boleh dibeli di pasaran. Tabur bahan-bahan tersebut secara selang seli. Anda juga boleh meningkatkan kualiti tanah pasu anda dengan menyiram baja cecair seperti baja cecair ikan, kompos teh atau serum EM1 secara selang seli. 

Tips tanomkinotuan:

1. Gunakan bekas yang besar untuk keselesaan sewaktu melakukan kerja-kerja tersebut.

2. Gunakan sarung tangan dan penutup hidung bagi mengurus bahan organik ini bagi mengelak masalah pemindahan penyakit dan sebagainya.

3. Gunakan pasir sungai jika anda mahu pasu tersebut berat dan tidak mudah jatuh atau tumbang sekiranya ditiup angin.

4. Jangan biarkan tanah pasu anda mengalami kekeringan, sering kali melihat jika berlaku sedemikian dan siram untuk mengekalkan kelembapan.

5. Tambah kompos sekali sekala pada tanah pasu anda kerana nutrient dalam kompos cepat habis.

6. Jika anda ingin membeli tanah pasu di pasaran, tanomkinotuan sarankan pilih tanah pasu yang tidak menggunakan perlite.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Seorang cikgu lelaki yang berkebun di keliling rumah. Kini tinggal di Keningau, Sabah.

2 komen


EmoticonEmoticon